Bekas Pemain JDT Sifatkan Pengendali Persija Jakarta Persis Shin Tae-yong Dalam Sesi Latihan

Pemain muda berbakat Indonesia, Syahrian Abimanyu boleh disifatkan sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan pengalaman berguna dalam kariernya untuk dilatih oleh dua pengendali berpengalaman luas dalam bola sepak.

Ketika ini Syahrian yang beraksi bersama Persija Jakarta telah dikendalikan oleh bekas Pengurus Borrusia Dortmund iaitu Thomas Doll dan pada masa sama beliau juga dilatih oleh Shin Tae-yong bersama skuad kebangsaan.

Menurut bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, beliau menyifatkan kaedah kejurulatihan yang diterapkan oleh dua individu tersebut lebih kurang sama dan gemar melatih dengan cara agak keras.

“Corak latihan yang diterapkan oleh Thomas Doll dan Tae-yong lebih kurang sama sahaja menurut saya. Kedua-dua mereka ini gemar melatih pasukan dengan kaedah yang keras.

“Untuk Thomas Doll, beliau setakat ini berjaya memberi kaedah latihan serba baharu dalam pasukan iaitu memerlukan kami lebih banyak bergerak tanpa bola. Ianya memerlukan kekuatan fizikal yang baik,” jelas Syahrian menerusi Bola.com.

Walaupun aksi sulung pengendali tersebut bersama Persija Jakarta berakhir dengan kekalahan di tangan Bali United dengan keputusan 0-1, namun sesuatu yang positif berjaya dikesan sepanjang perlawanan.

Antaranya, Persija Jakarta berjaya menguasai perlawanan dengan sangat baik sepanjang 90 minit permainan dan mereka tidak melepaskan bola dengan mudah kepada pihak lawan.

Dalam perlawanan tersebut juga menyaksikan 62% penguasaan menjadi milik mereka serta banyak peluang berjaya dicipta untuk membuka peluang buat penyerang mencipta sesuatu.

Selain itu, seorang lagi pemain muda yang beraksi bersama skuad kebangsaan iaitu Braif Fatari juga menjelaskan secara individu corak permainannya juga semakin meningkat ketika bersama Thomas Doll.

“Pada awal sesi latihan memang jelas kami masih belum mencapai prestasi yang diinginkan. Namun, selepas kami perlahan-lahan memahami kaedah diinginkan jurulatih, segalanya tampak semakin serasi,” terang Braif.

Formasi baharu diterapkan Thomas Doll

Thomas Doll datang ke Persija Jakarta dengan segalanya serba baharu termasuk formasi permainan dan kaedah dalam latihan.

Pengendali dari Jerman itu setakat ini menerapkan formasi 3-4-2-1 dalam pasukan berbanding bentuk asas kelab tersebut selama ini iaitu 4-3-3.

“Secara peribadi, saya sebelum ini sudah terbiasa bermain dengan empat pertahanan dalam permainan. Setakat ini saya masih lagi berusaha untuk cepat menyesuaikan diri dengan pembaharuan diterapkan oleh jurulatih, ulas Firza Andika selaku pertahanan utama Persija Jakarta.

Dalam formasi baharu diterapkan kini, Firza telah beroperasi selaku pemain ‘wingback’ kiri untuk pasukan yang memerlukan beliau untuk sentiasa membantu serangan Persija Jakarta.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply