Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Pengalaman Di Luar Negara, Dorongan Jurulatih Jadikan Pemain AMD Yakin Di Hadapan Kamera

Skuad Bawah-18 tahun negara kendalian Brad Maloney berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah-19 Tahun  selepas menewaskan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir saingan kelayakan Kumpulan G semalam.

Ia jelas pusingan kelayakan yang sukar buat skuad muda negara kerana memerlukan mereka mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanan sebelum mengesahkan kelayakan.

Pemain produk keluaran Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Umar Hakeem muncul wira negara apabila menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan tersebut – untuk memastikan cabaran pasukan negara diteruskan di Uzbekistan pada tahun hadapan.

Namun kredit turut harus diberikan kepada keseluruhan pasukan kerana kejayaan ini mustahil untuk dicapai tanpa usaha keras yang ditampilkan oleh setiap pemain.

Selain daripada kemenangan ke atas Thailand, turut mencuri tumpuan semalam adalah kepetahan dan keyakinan oleh Umar Hakeem ketika ditemuramah oleh media di Kemboja.

Ketika ditanya mengenai gol kemenangan yang dijaringkan oleh wartawan di dalam Bahasa Inggeris, Umar tenang menjawab.

“I’m feeling great, absolutely. Because, you know, it’s a team effort goal we win the game. Everybody giving their best, and we deserved to win,” jawab Umar di dalam Bahasa Inggeris.

Mengenai keyakinan beliau akan cabaran pasukan negara di pusingan akhir pada tahun hadapan pula, jelas sekali pemain ini tiada keraguan akan kemampuan pasukan untuk membawa cabaran negara di Uzbekistan nanti.

“Yes, of course. We are a great team. Great team only plays with great teams.” jawab beliau.

Bagi yang sentiasa mengikuti temubual pemain selepas atau sebelum perlawanan, cara dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Umar dianggap sebagai luar dari kebiasaan.

Tiada jawapan yang bernada ‘cringe’ seperti “Saya akan cuba buat yang terbaik” atau “Nasib menyebelahi kami” kedengaran pada kali ini.

Bukanlah mahu menidakkan atau merendahkan generasi pemain-pemain negara sebelum ini, atau kelompok pemain keluaran negeri yang berada di dalam skuad kendalian Brad Maloney pada hari ini.

Tetapi cara atau teknik yang digunakan oleh pemain pasukan Bawah-18 tahun negara menjawab soalan membuatkan kami tertanya-tanya.

Apakah yang mendorong mereka tampil lebih yakin? Adakah ia berkaitan dengan modul yang diterapkan di dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di AMD?

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Abu Bakar, pemain-pemain di AMD sememangnya pernah didedahkan dengan kelas khas Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Jerman sebagai bahasa ketika ketika berusia 14 tahun.

Malaysia B-18, Brad Maloney

Foto: FAM

Namun walaupun proses pembelajaran tersebut hanya diadakan selama setahun pada ketika itu akibat kekangan bajet, kemahiran pemain ketika berhadapan dengan media sebenarnya diperolehi oleh pemain ketika beraksi di luar negara dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa dan juga dorongan oleh jurulatih.

“Itulah kepentingannya apabila pemain didedahkan ke luar negara. Di sana mereka belajar berinteraksi dengan pemain-pemain dari pasukan lain,” ujar beliau ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA.

“Keyakinan itu pula datangnya dari jurulatih. Ketika berinteraksi misalnya, pemain diajar untuk turut berinteraksi melalui mata, harus pandang tepat ke mata jurulatih. Ia membantu membina keyakinan pemain.”

Bagi Safirul, kemahiran Umar bertutur lancar menggunakan Bahasa Inggeris sebenarnya tidak menghairankan. Pemain yang sudah dilamar oleh JDT ini sememangnya sudah mempunyai latar belakang bertutur di dalam Bahasa Inggeris sejak usia muda.

“Apa yang paling penting ialah keyakinan para pemain. Walaupun bukan bertutur di dalam Bahasa Inggeris, kita boleh lihat bagaimana tahap keyakinan mereka ketika tampil di hadapan media.

“Pengalaman itu juga pemain perolehi ketika berinteraksi bersama jurulatih-jurulatih asing yang pernah membimbing mereka sejak usia muda.

“Adakala cara mereka bertutur tampak angkuh. Ia sebenarnya bukan angkuh. Tetapi itu adalah tahap keyakinan yang harus dibawa dan mereka perlukan untuk menjadi kompetitif ketika perlawanan,” tambahnya.

“Kerana itu saya sering menekankan betapa pentingnya pemain didedahkan dengan pertandingan-pertandingan dan latihan di luar negara.

Skuad Malaysia B13 ke Ibercup 2015:

Penyerang:

Asman Asrul #8
Luqman Hakim #10
Arif Aiman #13
Danial Amali #33

#NFDP #TourOfEurope #Ibercup

Posted by NFDP Malaysia – PPBN on Saturday, June 13, 2015

“Ia membuka minda pemain sejak usia muda, membantu mereka membentuk mentaliti, cara berfikir dan budaya bola sepak profesional yang betul.”

Satu lagi sumber dalaman dari AMD yang enggan dinamakan turut mendedahkan perkara yang sama kepada kami.

Tidak ada modul khusus di dalam NFDP atau AMD untuk membentuk kemahiran pemain. Tetapi ia adalah sebahagian daripada mentaliti dan budaya ‘mutual respect’ yang diterapkan oleh jurulatih dan bekas Pengarah AMD, Lim Teong Kim.

SKUAD MALAYSIA B-14 KE JELAJAH EROPAH PPBN 2016

Berikut merupakan barisan pemain yang akan membentuk skuad Malaysia…

Posted by NFDP Malaysia – PPBN on Tuesday, May 24, 2016

“Di sini pemain-pemain sering digalakkan berinteraksi sesama sendiri. Apa sahaja masalah mereka boleh luahkan, tak kira sesama pemain atau pun dengan jurulatih.

“Kerana itu kita boleh lihat sikap profesional pemain di dalam dan di luar padang yang amat baik. Mereka dibentuk untuk mempunyai disiplin. Ia membantu mereka tidak mudah termakan provokasi lawan atau penyokong ketika dalam perlawanan,” ujar beliau.

Skuad NFDP Untuk AFF B-15 2017. Foto: NFDP Malaysia.

Apa yang kita harapkan ialah supaya NFDP dan AMD terus diperkasakan untuk memastikan barisan pelapis pemain negara yang berkemampuan terus dihasilkan pada masa hadapan.

Kejayaan generasi pertama AMD ini juga membuktikan pembangunan akar umbi adalah cara paling tepat untuk kelab dan negara menuju ke depan di dalam bola sepak.

Apa yang dilakukan AMD selama ini bukan sekadar melahirkan pemain berbakat. Lebih daripada itu, mereka turut melahirkan insan-insan yang sentiasa bersemangat berbakti kepada negara melalui bola sepak di masa hadapan.

Semoga ia turut membuka mata semua pihak yang berkenaan.