Pencari Bakat JDT Berjaya Kesan Hampir 20 Bakat Muda Berkualiti Tinggi Di Utara

Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh dianggap sebagai salah satu pasukan paling serius dalam usaha membangunkan para pemain tempatan berkualiti menerusi pelbagai usaha dilakukan.

Tidak hanya menandatangani bakat-bakat muda di sekitar Johor, pasukan itu juga telah pun bergerak ke seluruh pelosok negeri untuk mengesan tunas baharu berkualiti sebelum diserap masuk ke akademi mereka.

Akademi JDT Wadah Tumpuan Bakat Satu Malaysia

Jika suatu ketika JDT menjadi antara pasukan paling kerap dicemuh kerana tiada bakat muda berkualiti untuk diperkenalkan, kini mereka sudah pun membuktikannya menerusi gerak kerja serta hasil diperoleh.

Lihat sahaja produk mereka yang kini semakin berkembang serta telah pun mengharumkan nama Malaysia seperti Arif Aiman Hanapi, Daryl Sham, Najmudin Akmal, Gabriel Nistelrooy, Feroz Baharudin dan ramai lagi menanti masa untuk mencipta nama di pentas domestik atau antarabangsa.

Konsistensi mereka dalam membangunkan bakat-bakat muda kini boleh dianggap semakin menyakinkan, apatah lagi pencari bakat JDT iaitu Diego Griffa memainkan peranan cukup penting.

Siapa Diego Griffa? Beliau merupakan Ketua Unit Pencarian Bakat & Pembangunan Belia JDT yang dilantik sejak 2020 dengan membawa reputasi cukup besar sebelum itu di luar negara.

Diego Griffa memainkan peranan cukup besar buat pembangunan bakat baharu JDT

Pernah berkhidmat untuk Boca Juniors, Necaxa Club, Independiente Club, serta Aurora Club, beberapa pemain ternama lahir bawah pengamatan beliau selaku pencari bakat profesional.

Antara pemain bintang pernah dilahirkan beliau ialah Giovani Lo Celso, Ezequiel Barco, Walter Montoya, Cesar Meli serta ramai lagi kini berjaya dalam dunia bola sepak profesional.

Terbaharu bawah pengurusannya, JDT berjaya menemui hampir 20 bakat muda berkualiti tinggi di sekitar utara tanah air yang menunggu masa sahaja untuk menjalani pemilihan akhir sebelum diserap masuk ke akademi kelab tersebut.

Siri jelajah pencarian bakat tersebut bermula di Kepala Batas, Penang pada 24 Februari lalu berterusan ke Arau, Perlis sebelum mereka tiba di Taiping, Perak untuk mengesan tunas-tunas muda berkualiti sehingga 28 Februari.

Bakat muda di Perlis turut cuba nasib untuk sertai Akademi JDT

Menurut Muhammad Iddin Bin Juraini yang bertindak selaku pembantu kepada Diego Griffa, beliau mengakui hampir 20 pemain dalam usia lingkungan 11 ke 12 tahun mendapat peluang untuk mendapat penilaian akhir di Johor sebelum diserap menyertai akademi JDT.

“Hampir 20 pemain berusia lingkungan 11 dan 12 tahun mendapat peluang untuk dinilai di Johor terlebih dahulu mengikut terma ditetapkan.

“Dekat Johor, ada beberapa jurulatih lagi bakal menilai aksi permainan mereka di atas padang sebelum para pemain muda itu diserap masuk ke akademi JDT,” ujar beliau eksklusif kepada kami.

Untuk rekod, skuad pembangunan JDT memulakan aksi mereka dengan langkah kanan pada awal tahun ini menerusi kejohanan Singapore Youth League yang berlangsung di Singapura.

Skuad bawah 13 (B-13) Harimau Selatan mudah mencatat kemenangan besar 19-1 ketika mengatasi NDC GIRLS bawah B-15, sementara JDT B-15 mudah meratah WOODLAND LIONS FC menerusi keputusan 24-0.

Apa yang dilakukan pasukan itu jelas memberi isyarat mereka sedia membangunkan lebih ramai bakat-bakat muda berkualiti selepas ini untuk diperkenalkan di peringkat profesional serta menjadi masa depan baharu buat skuad Harimau Malaya.

Tatkala ada pasukan lain masih buntu untuk menaikkan bakat-bakat muda selain ada isu kronisme tanpa tapisan, JDT pula tampil dengan sistem tersusun dan tidak membiarkan tunas baharu berpotensi terbiar begitu sahaja.

Pada masa akan datang, segala kritikan mengenai ketiadaan hasil pemain muda JDT di pentas profesional sudah tentu tidak akan kedengaran lagi dalam kalangan peminat gelap mereka menerusi media sosial.

Muhammad Iddin Bin Juraini turut berperanan penting bersama Diego untuk mengesan bakat muda berkualiti

Sebaliknya, JDT akan menjadi pelopor serta suatu contoh terbaik buat pasukan lain untuk cuba mempelajari kaedah kelab ini dalam menangani para pemain muda bawah satu akademi berkualiti tinggi.

Malah, JDT juga bakal menjadi pembekal terbaik buat bakat-bakat tempatan berkualiti kepada pasukan lain jika kena pada harga serta tawaran berbaloi untuk pasukan lain termasuk dari luar negara, sekali gus membuktikan akademi mereka sebagai antara terbaik pernah diwujudkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN