Akademi JDT Wadah Tumpuan Bakat Satu Malaysia

Tradisi kemenangan dan kecemerlangan dalam arena bola sepak Malaysia sudah sinonim dengan JDT sejak 2013. Tetapi jika ada satu tradisi yang mungkin masih boleh dipersoalkan kesinonimannya dengan JDT, ia adalah tradisi menghasilkan pemain tempatan berkualiti.

Untuk berlaku adil kepada JDT, ‘tradisi’ tersebut sebenarnya baru sahaja bermula. Sejak dibuka secara rasmi pada 12 Disember 2015, sejumlah enam graduan Akademi JDT telah dipromosi ke skuad senior. Nama Arif Aiman paling menjadi tumpuan selepas merangkul anugerah Pemain Paling Berharga Musim 2021 dan 2022. Trajektori karier Feroz Baharudin juga berada di landasan betul selepas berjaya mengutip 28 penampilan bersama skuad senior pada musim lepas. Ramadhan Saifullah, Adam Farhan, Aysar Hadi dan Daryl Sham pula mengutip beberapa penampilan sporadik di kejohanan berpiala.

Sejak 2013, pengkritik sering melabel JDT sebagai ‘pembunuh’ bakat pemain tempatan. Kekuatan kewangan Harimau Selatan dituduh punca pemain tempatan ‘mereput’ di bangku simpanan. Suara kritikan menjadi bertambah kuat apabila MFL mengumumkan pasukan yang beraksi di kejohanan Asia boleh mendaftar sehingga 10 pemain import bagi musim 2024/2025.

Tetapi ironinya di sebalik label ‘pembunuh bakat pemain tempatan’ ini, JDT tetap menjadi kelab impian untuk setiap pemain belia dan ibu bapa pemain belia.

“JDT akan terus mendominasi bola sepak Malaysia dalam 10-20 tahun akan datang, bukan kerana kebolehan mereka membeli pemain import. Tapi kerana kebolehan akademi mereka menghasilkan pemain tempatan berkualiti,” ujar Shafiq Ardi, guru sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang juga pemegang Diploma C Kejurulatihan AFC/FAM. “Hampir semua budak sekolah yang pandai bermain bola mahu masuk Akademi JDT,” tambahnya lagi.

Keinginan setiap kanak-kanak di Malaysia untuk masuk ke Akademi JDT menjadi lebih tinggi apabila ia turut disokong oleh ibu bapa pemain. “Ada ibu bapa sanggup membelanjakan ratusan ringgit membeli but bola untuk anak sebagai persiapan menjelang sesi pemilihan Akademi JDT,” beritahu Amirul Nor, peniaga but di Instagram. “Zaman kita dulu majoriti ibu bapa suruh anak utamakan akademik berbanding bola sepak. Tapi zaman sekarang, bola sepak jadi nombor satu kalau anak mereka ada peluang masuk Akademi JDT – walau sekecil mana pun.”

Apabila berita dua murid sekolah rendah, Sa’ap Baharom dan Muhammad Aqil, ditawarkan tempat masuk ke Akademi JDT, ada ibu bapa mengambil satu langkah ke hadapan. “Abang saya siap rekod semua game anak dia, edit, compile dan hantar link Dropbox ke semua staf JDT yang ada LinkedIn,” dedah seorang peminat bola sepak yang tidak mahu dikenali. “Ibu bapa yang bercita-cita menghantar anak mereka ke Akademi JDT buat persiapan macam ibu bapa di Amerika Syarikat yang bercita-cita menghantar anak mereka ke universiti Ivy League,” ujarnya lagi.

Untuk memahami kenapa JDT menjadi kelab impian mereka, anda kena tahu latar belakang bola sepak akar umbi di Malaysia.

Di Malaysia, Akademi JDT merupakan satu-satunya akademi bertaraf dua bintang oleh AFC. Ini bermakna, Akademi JDT juga merupakan satu-satunya akademi kelab profesional di Malaysia yang:

  • Mempunyai skuad lengkap bermula dari peringkat umur bawah-12 hingga bawah-21 tahun.
  • Mempunyai pelatih sepenuh masa yang tinggal bersama, bersekolah bersama dan berlatih bersama.
  • Mempunyai pusat latihan khas lengkap dengan semua fasiliti sesuai.
  • Diperkuatkan dengan kepakaran jurulatih dan modul latihan yang diadaptasi dari Borussia Dortmund dan Valencia.
  • Menerapkan falsafah permainan yang sama dengan skuad senior di semua peringkat umur.
  • Lengkap dengan staf sokongan seperti pakar nutrisi.
  • Menyediakan jaminan pendidikan (program Diploma Sains Sukan & Kecergasan di UTM) kepada semua pelatih.
  • Memberi sekurang-kurangnya 400 jam latihan dan 100 jam perlawanan kompetitif setiap tahun kepada semua pemain.

Ini berbeza dengan realiti bola sepak akar umbi majoriti kelab-kelab profesional lain di Malaysia yang:

  • Hanya mempunyai skuad Bawah-18 dan Bawah-21.
  • Pelatih berasal dari sistem Sekolah Sukan Negeri atau Sekolah Sukan Malaysia.
  • Mempunyai kemudahan bertaraf asas sahaja.
  • Menerapkan modul latihan yang mungkin tidak selari dan berbeza dengan falsafah permainan skuad Liga Super.
  • Tidak menyediakan jaminan pendidikan kepada semua pelatih.
  • Memberi kurang 100 jam perlawanan kompetitif setiap tahun kepada semua pemain.

Keseriusan Akademi JDT untuk menyediakan tidak kurang 100 jam perlawanan kompetitif kepada semua pelatihnya terbukti melalui kenyataan Alistair Edwards pada Mei 2023 lepas:

“Struktur semasa di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Malaysia Football League hanya menyediakan pertandingan untuk pasukan Bawah-18, Bawah-23 hingga ke pasukan senior sahaja. Ianya sangat diperlukan untuk mempunyai pertandingan kompetitif bagi semua pasukan akademi kami kerana kami mempunyai pasukan Bawah-12 hingga Bawah-18 yang kekurangan perlawanan berkualiti disebabkan ketiadaan pertandingan yang sesuai.”

Sebelum Akademi JDT, akademi-akademi swasta di Malaysia cukup ‘pantang’ apabila pemain mereka cuba dirisik – apatah lagi dipinang. “Dulu masalah bola sepak Malaysia adalah ramai orang nak claim dialah yang train pemain sekian-sekian sampai jadi pro. Sedangkan akademi dia masuk tournament pun setahun 2-3 kali. Setidak-tidaknya sekarang mereka berlumba-lumba nak claim mereka yang train budak mereka sampai masuk Akademi JDT” ujar Shafiq Ardi.

Sentimen Shafiq ada asasnya apabila setiap akademi yang menyaksikan pemainnya disambar Akademi JDT, tidak menyembunyikan rasa bangga mereka.

“Perlahan-lahan bola sepak Malaysia dah nampak ada evolusi menjadi industri. Akademi-akademi swasta seluruh Malaysia dah nampak matlamat jelas – impian mereka adalah nak hasilkan pemain sampai masuk Akademi JDT. Sebab kalau pemain mereka betul-betul menjadi, kebajikan pemainnya terjaga. Potensinya dapat dimaksimumkan. Gajinya takkan sangkut. Kalau tak jadi pemain profesional pun, setidak-tidaknya budak itu keluar dengan segulung diploma,” tambah Shafiq.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN