Lee Tuck Pasang Impian Untuk Kembali Bersama Terengganu

Pemain tengah Harimau Malaya, Lee Tuck ketika ini dilaporkan berminat untuk kembali beraksi dalam dunia bola sepak profesional di Malaysia, dengan Terengganu menjadi salah satu kelab impiannya.

Untuk rekod, Lee Tuck merupakan salah seorang pemain paling berjaya dengan status import untuk mewakili Terengganu pada suatu ketika walaupun beliau memulakan karier bersama Negeri Sembilan terlebih dahulu.

Sepanjang bersama Terengganu, Lee Tuck sudah pun merekodkan 42 penampilan secara keseluruhan bersama 15 gol serta lapan bantuan jaringan dihasilkan pemain naturalisasi itu.

Kali terakhir Lee Tuck beraksi di Malaysia ialah pada tahun lalu dengan beliau buat pertama kali menyarung jersi Kedah Darul Aman (Kedah) sebelum pemain tersebut menamatkan kontrak lebih awal untuk pulang ke England.

Bersama Kedah, Lee Tuck sempat beraksi sebanyak 16 perlawanan secara keseluruhan di pentas domestik dengan lima gol serta tujuh bantuan jaringan direkodkan pemain tengah menyerang itu.

Ketika ini, Lee Tuck mengakui beliau sedia untuk kembali mewakili Sang Penyu jika dirinya menerima tawaran rasmi daripada pasukan berkenaan untuk saingan akan tiba.

Menerusi kenangan-kenangan manis Lee Tuck sewaktu mewakili Terengganu, termasuk dua orang anaknya dilahirkan di negeri tersebut, jelas beliau merindui untuk kembali beraksi buat Sang Penyu.

Selain itu, Lee Tuck juga mengakui isterinya turut gembira untuk kembali ke Terengganu walaupun kini mereka berada jauh di England seisi keluarga.

Walaupun begitu, pemain kebangsaan tersebut mahu menilai terlebih dahulu tawaran kontrak daripada Terengganu jika pasukan tersebut berminat mendapatkannya atau ada mana-mana kelab lain menagih khidmat beliau.

“Terkini saya tidak bermain dengan mana-mana kelab, TFC adalah sebuah kelab yang begitu hebat, saya mempunyai begitu banyak kenangan indah di sana (Terengganu) bersama orang Terengganu selain pasukan.

“Dua anak saya lahir di Terengganu, jadi ia adalah tempat yang begitu istimewa buat keluarga kami. Jadi saya sedia menyarung jersi TFC sekiranya ada tawaran daripada pasukan itu pada musim ini.

“Bagaimanapun setakat ini saya tidak dihubungi oleh pihak pengurusan TFC untuk berbincang mengenai perkara itu (menyarung jersi TFC), jika ada saya anggap ia satu keuntungan buat saya, namun apa-apapun terpulang kepada pihak pengurusan TFC,” kata beliau menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.

Pada masa sama, bintang naturalisasi Harimau Malaya itu juga mengakui dirinya tetap mengekalkan kecergasan walaupun kini bekerja dalam bidang hartanah di England.

“Bagi memastikan saya sentiasa cergas walaupun tidak lagi bermain bola sepak, saya juga berlumba dalam kejuaraan Velites Hyrox Barcelona 2023 dengan muncul sebagai juara, ia begitu menyeronokkan,” kata Tuck akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN