Penyerang England, Harry Kane kini telah pun memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak negara tersebut sepanjang zaman.
Menjaringkan gol hasil sepakan penalti ketika England membenam Itali dalam aksi kelayakan EURO 2024, ianya sudah cukup untuk meletakkan Kane melepasi Wayne Rooney dengan penyerang Tottenham Hotspur itu kini sudah mempunyai 54 jaringan antarabangsa.
Bagi Kane, ianya adalah satu pencapaian yang cukup hebat dengan dan ini membantunya untuk terus maju bersama England.
“Ia adalah segalanya [menjadi penjaring terbanyak England].
“Saya sangat teruja untuk menyarung jersi England, turun ke padang nak memulakan kempen untuk layak ke EURO pada tahun hadapan.
“Apabila saya menjaringkan penalti dan bola menerjah jaring, ia adalah detik penuh emosi buat saya. Saat yang penuh dengan magis,” kata Kane menerusi Daily Mail.
Dalam masa yang sama, Kane turut gembira apabila jaringannya itu membantu England menewaskan Itali di laman Azzurri sendiri.
Ianya adalah kemenangan pertama England di Itali sejak 1961.
“Ianya adalah satu malam yang cukup baik, kami sudah lama tidak menang di Itali. Untuk menjaringkan gol dan menang adalah cukup istimewa,” tambah Kane lagi.
Selepas rekodnya dipecahkan oleh Kane, Rooney turut berkongsi detik indah itu dengan memberikan ucapan tahniah.
Pengendali DC United itu menulis di Twitter, “Tahniah kepada Harry Kane yang menjadi penjaring terbanyak England sepanjang zaman.
“Saya tahu rekod itu boleh dipecahkan dengan sekejap tetapi ini cukup pantas. Individu yang hebat, penjaring gol yang memukau dan legenda England. Tahniah Kane!,” ujar Rooney lagi.
Kane memecahkan rekod Rooney dengan kurang 39 perlawanan berbanding apa yang dilakukan oleh legenda Manchester United itu sebelum ini.