Arif Aiman Mungkin Rehat, Tapi Ada Pemain Lain ‘Hilang’ Dalam Padang

Kim Pan-gon komen pemain tak ikut rentak Arif Aiman hilang

Semua penyokong Harimau Malaya terkejut melihat Arif Aiman Hanapi ‘hilang’ dalam senarai pemain yang turun untuk aksi persabahatan.

Walaupun mengatasi pasukan di ranking ke-135 dunia, Turkmenistan, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon masih tidak berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya yang turun beraksi malam tadi.

Malaysia menang tipis 1-0 hasil jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-28 untuk sekali lagi mengecewakan pasukan dari Asia Tengah tersebut.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung adalah pada Jun 2022 – Malaysia menang 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Bukit Jalil.

Menurut Kim, walaupun sedar ia sukar, terdapat di kalangan pemainnya yang gagal untuk memberikan corak permainan yang diinginkannya.

Permainan yang begitu sukar kerana saya menekankan ketahanan fizikal dan mental, juga disiplin yang tinggi daripada pemain. Ada pemain yang tidak dapat ikuti gaya permainan, jadi mereka harus pertingkatkan lagi prestasi,memetik kata-katanya di sidang media daripada portal Grandstandkita.net.

Apa yang telah dibangkitkan Kim di sidang media ini ada benarnya kerana walaupun menang, masih terdapat masalah corak permainan yang sedikit longgar ditonjolkan oleh beberapa pemain yang telah diturunkan beraksi.

Jika diamati, beliau ada membuat pertukaran awal iaitu di permulaan babak kedua dengan memasukkan Nooa Laine menggantikan Endrick dos Santos.

Endrick dilihat seperti hilang dan tenggelam dalam perlawanan tersebut.

Beliau lebih banyak berada di zon bawah bersama Brendan Gan seperti membentuk ‘double pivot’ tetapi tiada keberkesanan seperti mana Brendan.

Hanya terdapat satu hantaran lolosnya yang dilihat berjaya memberikan masalah kepada kubu pasukan pelawat sepanjang aksi babak pertama.

Bukan hanya Endrick sahaja, Kim menjelaskan pemain-pemain ini juga akan diberi perhatian khusus ketika sesi latihan nanti. “Feroz [Baharudin], Endrick, Fayadh [Zulkifli], Nooa Laine, Paulo [Josue] tampak masih bergelut untuk menyerap corak taktikal yang pratikkan tapi saya akan bantu mereka untuk menyesuaikan diri secepat mungkin,jelas lanjut Kim di sidang media itu.

Nampaknya, bukan hanya Arif Aiman yang ‘hilang’, tetapi ada pemain yang berada di padang juga boleh kita anggap ‘lesap’ walaupun turun beraksi.

Arif mungkin direhatkan Kim kerana pemain berusia 20 tahun itu bukan sahaja tiada dalam kesebelasan utama, malah tiada di bangku simpanan.

Sedangkan pemain yang diberi tanggungjawab untuk bermain, hanya seperti penumpang di dalam pasukan. Ini yang membebankan keseluruhan pasukan. Mujur sahaja Turkmenistan tidak mencetak gol penyamaan.

Menang ke atas Turkmenistan adalah satu perkara yang positif untuk meneruskan momentum skuad kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Asia 2023. Malaysia akan bertemu Hong Kong untuk aksi kedua pemanas badan, juga di lokasi yang sama, Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Mac ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN