Penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid kembali diberi kepercayaan mengemudi pasukan bermula pada kempen Piala Malaysia.
Pengendali, Dato’ Zainal Abidin Hassan difahamkan telah bersetuju untuk memberi ruang kepada Manzoor bermula pada perlawanan terakhir Liga Super berdepan Selangor FC, hujung minggu ini, di Stadium Bandaraya.
Malah, pengurusan pasukan turut mempelawa penyokong untuk hadir ke stadium bagi aksi menentang Selangor pada Sabtu ini secara percuma.
Ia adalah satu inisiatif daripada pengurusan pasukan bagi menghargai sokongan penyokong Harimau Kumbang sepanjang saingan musim ini.
Malah, tarikan utama perlawanan tersebut tentunya dengan kembalinya jurulatih kesayangan mereka, Manzoor yang bakal membuat ‘comeback’.
Manzoor Azwira: Terima Kasih, Inilah Hadiah Istimewa Kepada Para Penyokong
Pengendali yang membawa Penang kembali ke Liga Super 2021 dan menamatkan musim di tangga ke-3 itu masih belum dapat mengemudi pasukan secara sepenuhnya disebabkan belum mendapat lesen Diploma Pro A. Ia dijangka akan selesai selepas musim 2023 melabuhkan tirainya.
Dalam pada itu, Penang turut mengucapkan penghargaan kepada Zainal yang telah sudi mengemudi pasukan sepanjang saingan liga musim ini.
Begitupun, prestasi pasukan dilihat sangat mengecewakan apabila telah merekodkan 15 kekalahan dengan hanya dua kali meraih tiga mata dan empat kali perlawanan berkesudahan dengan kedudukan seri.
Malah, mereka ketika ini sedang berada di dasar Liga Super dengan hanya mengumpul 10 mata dalam 21 perlawanan dan akan menamatkan musim ini di kedudukan tercorot. Mujur buat mereka, tiada penyingkiran apabila saingan Liga Premier telah dimansuhkan bermula pada musim 2023.
📊 KEDUDUKAN – LS21#LigaSuper2022 pic.twitter.com/tG4rgebWsa
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 11, 2022
Manzoor tidak asing buat penyokong Pulau Mutiara apabila membawa Penang kembali ke Liga Super pada musim lalu dan ia dilakukan dua musim berturut-turut – rekod yang tidak pernah dilakar sesiapa disebabkan pada musim 2020, mereka dinafikan slot atas masalah tunggakan gaji.
‘Ramuan’ Manzoor dilihat tepat dengan pasukan dan disukai oleh para penyokong, malah perkhabaran ini telah disambut dengan baik.
Bagi mereka, pengurusan pasukan telah mengambil langkah tepat dengan kembali menagih kudrat Manzoor di saat pasukan amat memerlukan. Mereka turut menghargai tindakan Zainal untuk memberi ruang kepada pengendali berusia 45 tahun itu untuk kembali mengemudi pasukan.
Berikut adalah kenyataan penuh pihak Penang FC berhubung perkara ini.