Manzoor Azwira: Terima Kasih, Inilah Hadiah Istimewa Kepada Para Penyokong

Pulau Pinang layak Liga Super 2021 Manzoor Azwira Penyokong

Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira menghadiahkan ucapan penghargaan khas buat para penyokong kerana sentiasa berada bersama pasukan selama ini.

Pulau Pinang berjaya bergelar juara Liga Premier 2020 selepas menang 4-0 ke atas Kelantan United ketika pencabar terdekat, Kuala Lumpur hanya mampu merekodkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Perak II di Stadium Manjung, malam tadi.

Manzoor Azwira tidak mahu bercakap panjang apabila diminta mengulas mengenai perlawanan menentang Kelantan United, tetapi lebih kepada mahu memberikan penghargaan kepada pemain-pemainnya, pengurusan dan juga para penyokong.

“Saya tidak mahu komen mengenai perlawanan malam ini. Saya lebih kepada mahu mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan, kerajaan negeri terutamanya kepada penyokong-penyokong pasukan,” ujarnya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penyokong-penyokong Pulau Pinang yang sentiasa memberi semangat walaupun tidak dapat masuk ke stadium,” tambahnya sambil mengucapkan syukur atas kejayaan diraih malam tadi.

Keempat-empat gol Pulau Pinang dijaringkan oleh Lee Chang-hoon, Al-Hafiz Harun, Bobby Gonzales dan Casagrande untuk memberikan kemenangan kelapan Harimau Kumbang dalam 10 aksi selain meneruskan rentak 19 perlawanan tanpa kalah.

Ia sekaligus menamatkan penantian Pulau Pinang untuk kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia itu selepas kali terakhir beraksi pada musim 2017. Selain itu, ia berjaya menoktahkan perjuangan selama dua musim selepas dinafikan promosi yang diraih musim lalu akibat masalah tunggakan gaji bekas pemain mereka, Reinaldo Lobo.

Istimewanya kali ini, promosi diraih bersama-sama dengan kejuaraan liga. Dan sudah tentu trofi ini sangat bernilai buat semua yang terlibat terutamanya para pemain dan penyokong selepas kali terakhir menjulang trofi pada 2013 di saingan Piala FAM.

Pulau Pinang Kelantan United Liga Premier 2020 Juara
Pemain-pemain Pulau Pinang meraikan kejayaan malam tadi. FOTO: Kelantan United

“Kami ingin menghadiahkan [kejuaraan] kepada para penyokong. Hadiah yang saya rasa cukup bernilai kerana kita tidak tahu bila lagi perkara ini akan berlaku lagi tetapi inilah hadiah istimewa kepada para penyokong,” ucap Manzoor Azwira lagi.

Dalam pada itu, pengendali berusia 43 tahun itu turut berkata yang semangat semua penyokong yang menyokong di luar stadium turut membantu para pemainnya untuk menyerap semangat tersebut dan diterjemahkan menerusi aksi di dalam padang.

Selain itu, tambah Manzoor Azwira lagi dalam sidang media tersebut, “Ini satu pencapaian yang luar biasa. Kita berjaya mendapat juara Liga Premier. Itu satu yang ekstra untuk pasukan dan rakyat Pulau Pinang dan saya sangat-sangat bersyukur.”

“Kekuatan pasukan Pulau Pinang adalah permainan berpasukan. Kita dapat tunjukkan walaupun ketinggalan, kita dapat buat comeback untuk mendapat mata, [sama ada] di tempat sendiri dan lawan. Kita mahukan peningkatan setiap masa,” tegasnya.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Baca lagi artikel mengenai Manzoor Azwira dan Pulau Pinang:

https://semuanyabola.com/manzoor-azwira-mahu-cipta-skuad-persis-perlis-2006-bersama-pulau-pinang/

Leave a Reply