Khvicha Kvaratskhelia: Siapakah Bintang Muda ‘Jelmaan Maradona’ Yang Menjadi Kesayangan Penyokong Napoli Ini?

Kvaratskhelia Maradona

Apabila pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis membawa masuk Khvicha Kvaratskhelia pada 1 Julai lalu, hampir seluruh dunia tidak mengenali pemain muda Georgia tersebut.

Tetapi hanya dalam masa tiga bulan, pemain berusia 21 tahun yang ditandatangani dengan nilai €12 juta (RM54.6 juta) itu telah pun dibandingan dengan legenda kelab yang juga ikon bola sepak dunia, Diego Armando Maradona.

Namanya kini menjadi pujaan penduduk Naples selepas mencetak 6 gol dan 6 bantuan jaringan daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan pada musim ini.

Bahaya dari kota Tsibilisi

Lebih mudah disebut dengan nama ‘Kvara’, beliau dilahirkan pada 12 Februari 2001 di Tbilisi, Georgia.

Bapanya Badri Kvaratskheila juga merupakan bekas pemain bola sepak profesional dan pernah beraksi untuk Azerbaijan. Beliau pula telah mengumpul 17 kaps bersama skuad kebangsaan Georgia dan menjaringkan lapan gol.

Kvaratskhelia memulakan karier profesionalnya pada usia 16 tahun bersama juara 18 kali liga Georgia, Dinamo Tbilisi pada 2017 sebelum berhijrah ke Rustavi pada 2018.

Di situlah bakatnya mula dikesan sehingga disenaraikan dalam Next Generation 2018: 60 bakat terbaik di dunia oleh The Guardian yang turut menyenaraikan Rodrygo, Takefusa Kubo, Lee Kang-in, Mason Greenwood, Billy Gilmour dan Eric Garcia.

Dalam tempoh ini juga beliau mula membuat penampilan bersama skuad senior Georgia. Debutnya adalah ketika pusingan kelayakan Euro 2020 menentang Gibraltar dan menjaringkan gol pertamanya di pentas antarabangsa ketika seri 1-1 dengan Macedonia Utara.

Bertumbuh mekar di Kazan

Perpindahan singkat secara pinjaman ke Lokomotiv Moscow pada Februari 2019 meningkatkan lagi reputasinya walaupun hanya beraksi 10 perlawanan. Namun beliau gagal untuk ditandatangani secara tetap.

Sebaliknya pada Julai 2019, Kvaratskhelia menyertai Rubin Kazan dengan yuran perpindahan sekitar €550,000 (RM2.5 juta) dan mengikat kontrak selama lima tahun.

Apa yang menarik, dalam debutnya, beliau berdepan bekas kelabnya Lokomotiv Moscow, beliau dimasukkan sebagia pemain gantian pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol penyamaan dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Musim pertamanya menyaksikan beliau menjadi tulang belakang kepada kejayaan Rubin Kazan di peringkat domestik dan nilainya naik sehingga lima kali ganda menjelang Jun 2020.

Pada musim seterusnya, bayangkan pada usia 20 tahun, beliau telah dicalonkan untuk anugerah pemain terbaik bulanan hasil undian penyokong kelab sebanyak empat kali iaitu tiga kali berturut-turut pada Ogos, September, Oktober dan seterusnya pada April.

Prestasi luar biasa yang dipamerkan Kvaratskhelia telah menarik perhatian pencari bakat dari seluruh kelab ternama Eropah. Pada awal 2021, L’Equipe telah menerbitkan senarai 50 pemain terbaik yang lahir pada abad ke-21 dengan pemain ini berada pada kedudukan ke-34.

Langit tidak selalunya cerah. Kecemerlangan pemain ini di Rusia tidak dapat diteruskan disebabkan tindakan Moscow menceroboh Ukraine pada awal tahun 2022.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pemain asing di Liga Rusia menggantung atau membatalkan kontrak dengan kelab masing-masing sehingga Jun 2022.

Rubin Kazan mengumumkan kontrak Kvaratskhelia telah digantung pada 24 Mac 2022 dan pada hari yang sama pemain tersebut ‘balik kampung’ apabila diumumkan menyertai kelab negara asalnya, Dinamo Batumi secara pinjaman sehingga akhir musim.

Dalam tempoh singkat, beliau terus menyerlah dengan menjaringkan lapan gol dan mencatat dua bantuan jaringan daripada 11 perlawanan dan seterusnya membantu kelab tersebut menjuarai Liga Georgia.

Kvaratskhelia lantas dipilih sebagai pemain terbaik bagi pusingan kedua liga utama Georgia berkenaan meskipun beliau hanya beraksi untuk tempoh April hingga Jun sahaja.

Buruan utama

Tidak hairanlah mengapa kelibat pemain ini diintai oleh deretan kelab gergasi Eropah. Manchester United, Tottenham Hotsuper, Juventus, Roma dan AC Milan antara pasukan yang ‘beratur’ untuk memburu khidmat pemain ini.

Bagaimanapun, Napoli – yang sedang berdepan tempoh transisi selepas kehilangan pemain utama seperti Lorenzo Insigne, Kalidou Koulibaly dan Dries Mertens – berjaya melengkapkan pembelian Kvaratskhelia pada 1 Julai 2022 dengan kontrak selama lima tahun.

Permulaannya di Itali cukup memberangsangkan dan pengendali The Parthenopeans, Luciano Spalletti menjadi individu paling gembira dengan persembahan pemain baharunya itu.

“Da adalah pemain dengan kualiti semula jadi dan profesional,” ujar Spalletti.

“Caranya mengatasi lawan dan dia tahun di mana gawang gol untuk melepaskan sepakan tidak kira menggunakan kaki kiri atau kanan. Saya percaya masih banyak lagi dia akan berikan selepas ini.”

Napoli kini sedang memimpin saingan Serie A selepas sembilan perlawanan dan turut cemerlang di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menang semua tiga perlawanan untuk mendaului kumpulan A.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN