Penang ketika ini menjadi antara pasukan paling aktif untuk membuat persediaan lebih awal bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan dengan sedikit rombakan bakal dibuat.
Terdahulu, Penang terpaksa melalui musim yang begitu mencabar dalam saingan Liga Super pada tahun lalu selepas mereka tampil dengan tidak begitu konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi.
Musim lalu menyaksikan Penang menamatkan cabaran Liga Super di tangga ke-10, dengan pasukan itu turut melantik Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai jurulatih sementara bagi merehatkan seketika khidmat Manzoor Azwira serta Chong Yee Fatt.
Secara keseluruhan, Penang mempunyai masalah daripada kualiti penyudah mereka yang ketika itu dibarisi penyerang import iaitu Abdul Abdeen Temitope sepanjang saingan berlangsung.
Pastinya perubahan musim hadapan menyaksikan kelab tersebut ingin membuat rombakan semula dalam kalangan pemain di posisi itu demi memperkukuhkan kembali aspek serangan mereka berbanding tahun lalu.
Disebabkan itu, maka tidak hairan beberaa nama pemain serangan kini mula dikaitkan bakal ditandatangani pemain tersebut untuk saingan pada musim hadapan.
Menurut perkongsian daripda wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom di media sosial X, dua pemain import iaitu Casagrande serta Ousmane Fane dijangka bakal menyertai Penang pada saingan 2024/2025.
Manakala dua pemain tempatan iaitu Sikh Izhan Nazrel serta bekas penyerang Harimau Malaya juga turut diintai Penang untuk saingan hadapan.
“Casagrande & Ousmane Fane khabarnya bakal kembali ke Penang FC musin 2024/2025. Selain Sikh Izhan Nazrel & Syafiq Ahmad turut berada dalam radar Penang FC,” jelas Fina di X.
Untuk rekod, Casagrande sebelum ini pernah menyarung jersi Penang untuk beberapa musim bersama rekod gol memberangsangkan sebelum menyertai Negeri Sembilan pada tahun lalu.
Pemain dari Brazil ini umumnya sudah pun dikenali ramai penyokong setia Penang dan sudah berada lama di Malaysia bersama konsistensi sendiri selaku antara peledak gol berbisa dalam saingan Liga M.
Selain itu, Syafiq yang dilepaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan hadapan selaku status pinjaman telah pun dikaitkan bersama Kedah Darul Aman (Kedah), sebelum kini Penang turut menyasarkan beliau.
Malah, pemain import Kedah pada tahun lalu iaitu Manuel Hidalgo juga dilaporkan turut berada bawah pemantauan pasukan tersebut untuk ditandatangani bagi saingan musim hadapan.