Bagaimana Akademi JDT Bersinar Sebagai Ahli Emas

Ketika skuad Harimau Malaya sedang bersiap-sedia menjelang kejohanan AFC Piala Asia 2023, tumpuan penyokong dan pemerhati tidak lagi terarah kepada barisan pemain-pemain naturalisasinya. Sebaliknya fokus ke arah kem Malaysia di Qatar kini teralih ke pemain tempatannya – terutamanya Arif Aiman.

Bintang muda JDT berusia 21 tahun tersebut telah menyumbang 6 gol dan 5 bantuan gol dalam 8 perlawanan Harimau Malaya sepanjang 2023. Apa yang lebih mengagumkan, produktiviti Arif tidak terjejas walaupun dituntut beraksi di luar posisi kegemarannya (sayap kanan) untuk Harimau Malaya. Ini adalah bukti konkrit – tiada cara lebih baik untuk membina skuad kebangsaan yang kompetitif selain program pembangunan akar umbi dan belia yang berkualiti dan berterusan.

Selepas hampir separuh dekad FAM menaturalisasikan pemain asing untuk skuad Harimau Malaya, peminat mendapati ia sedang menuju ke haluan sama seperti program naturalisasi Indonesia. Indah khabar dari rupa. Program rekrut pemain warisan pula tidak mampan untuk jangka masa panjang. Ini adalah bukti bahawa membangunkan bakat pemain tempatan merupakan strategi jangka masa panjang yang paling berkesan untuk menaikkan kualiti skuad kebangsaan.

Tidak popular

Membangunkan program akar umbi dan belia, sejak dari dahulu lagi, memang bukan tugas popular dalam kalangan kelab profesional tempatan. Walaupun liga telah diprofesionalkan sejak 1993, tiada kelab profesional yang ada inisiatif membangunkan dan menguruskan sendiri program pembangunan pemain muda – sehinggalah DYAM Tunku Ismail (TMJ) menubuhkan Akademi JDT pada tahun 2015.

Sebelum Akademi JDT, kelab-kelab Malaysia bergantung harap kepada produktiviti pengurusan Harimau Muda, Sekolah Sukan, dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (atau lebih dikenali dengan NFDP) untuk mendapat generasi baharu pemain. Malah, sesetengah pengurusan skuad senior masih mengadakan sesi uji bakat terbuka (open trials) untuk tujuan sama. Dalam erti kata lain, kelab-kelab profesional di Malaysia menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab membangunkan pemain muda kepada kerajaan – yang dibiayai oleh duit pembayar cukai.

Keengganan kelab untuk melabur dalam akademinya sendiri – disebalik jutaan ringgit yang melimpahi ekosistem liga profesional tempatan sejak zaman 90-an – ternyata memberi kesan besar kepada saiz kolam (pool) pemain domestik. Saiz kolam yang kecil menyebabkan kelab sukar untuk mendapatkan pemain yang betul-betul berkualiti. Kesukaran ini membuatkan kualiti liga merudum secara langsung. Kesan riaknya (ripple effect) dapat dilihat melalui persembahan skuad kebangsaan, yang menyebabkan ranking FIFA Malaysia terperosok di kelompok bawahan.

Keghairahan kelab mengejar kejayaan jangka masa pendek, terutamanya untuk memenangi trofi melalui skuad senior, membayangi inisiatif jangka masa panjang. Membangun dan mengurus akademi sendiri menjadi kerja tidak popular. Cukuplah sekadar dengan mengadakan sesi uji bakat terbuka untuk skuad Piala Belia dan Presiden, dan berdoa kepada Tuhan pemain yang dipilih berevolusi menjadi pemain skuad senior yang berkualiti selepas lima tahun.

Akademi JDT membuka mata

Apabila TMJ memulakan perjalanan membangunkan Akademi JDT, baginda faham kepentingan mencari inspirasi dan rujukan di luar sempadan Malaysia. Masakan tidak, ini adalah negara sama yang menggantung Datuk Ahmad Basri Akil selama tiga tahun kerana mengkritik FAM kerana menutup akademi bola sepaknya sendiri pada tahun 2000.

Sejak dari hari pertama mengambil alih Persatuan Bola Sepak Negeri Johor dan menubuhkan JDT, TMJ telah cakna dengan kepentingan membangun dan mengurus akademi kelab sendiri. “Pasukan lain hanya memberi keutamaan mendapatkan empat pemain import setiap tahun, kemudian membayar gaji yang besar kepada mereka sehinggakan persatuan menghadapi masalah untuk membayar gaji pemain tempatan. Saya lebih mengutamakan perancangan jangka panjang iaitu program pembangunan akar umbi, pembangunan infrastruktur yang mantap, dan bajet yang kukuh serta stabil,” menurutnya pada tahun 2014.

Pada tahun sama, setahun sebelum Akademi JDT dibuka secara rasmi, TMJ giat mengkaji struktur ‘kilang-kilang’ prolifik penghasilan pemain dari seantero dunia, seperti Manchester City, AC Milan, Jepun, Valencia dan Borussia Dortmund. Baginda akhirnya memilih model Dortmund sebagai rangka asas Akademi JDT. Beberapa jurulatih belia Dortmund direkrut, hasil kerjasama JDT dengan gergasi Jerman itu, untuk mengetuai pengurusan akademi.

Pada 12 Disember 2015, 11 pemain bawah-12 dipilih menyertai program Akademi JDT. Pada bulan-bulan berikutnya, ada beberapa lagi pemain diserap masuk ke akademi hasil sesi uji bakat terbuka seluruh Johor – menjadikan JDT kelab profesional pertama di Malaysia yang mempunyai struktur skuad yang komprehensif, meliputi skuad senior, bawah-21, bawah-19, bawah-17, bawah-15, bawah-14, bawah-13 dan bawah-12. Semuanya diurus oleh kelab sendiri.

Disinilah bezanya TMJ dengan presiden kelab-kelab profesional Malaysia yang lain. Pengkritik cuba meremehkan usaha baginda, “Ada duit boleh lah buat.” Tetapi ironinya tiada siapa pernah menghalang kelab-kelab lain untuk menubuhkan akademi sendiri ketika liga tempatan menikmati duit tajaan dari syarikat tembakau antarabangsa. Atau ketika mereka mempunyai kekuatan kewangan untuk membayar puluhan ribu USD setiap bulan untuk mendapatkan pemain import. “Tumpuan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan dan bukan hanya kepada empat orang pemain import sahaja”, kata baginda.

Komitmen TMJ kepada akademi

Komitmen TMJ terhadap Akademi JDT sama besar jika tidak lebih besar dengan skuad seniornya. Bermula dengan merekrut barisan kejurulatihan belia Dortmund sebagai tunjang pengurusan akademi, TMJ kemudiannya menyediakan sebuah kompleks akademi berkeluasan 35 ekar di Nusajaya sebagai tapak ‘kilangnya’. Langkah seterusnya? Memperkasakan proses rekrut pemain belia.

Untuk tujuan tersebut, JDT menubuhkan Liga Bawah-9 dan Bawah-11 di semua daerah di Johor, termasuk Pasir Gudang. Pada masa yang sama, pihak pengurusan akademi giat mengadakan sesi uji bakat terbuka di semua daerah di Johor, sepanjang tahun. SOP komunikasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga dibuat untuk memastikan kelinciran kalendar program akademi.

Untuk meninggikan lagi kebarangkalian akademi melahirkan bakat generasi melangkaui sempadan Johor, JDT melantik Diego Griffa – bekas peninjau bakat Boca Juniors dan Independiente – sebagai Ketua Pembangunan Belia & Peninjau Bakat akademi. Dengan Griffa dan barisan peninjau bakat di bawahnya, JDT mempunyai rangkaian rekrut belia paling berpengalaman, luas dan lengkap dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Kualiti Akademi JDT terbukti secara empirikal apabila diiktiraf oleh FAM dan AFC. Ia muncul akademi kelab pertama di Malaysia yang dianugerahkan status Ahli Emas Piagam Suparimau dan Akademi Dua Bintang dari AFC Elite Youth Scheme. Dua anugerah berprestij ini mengesahkan kecemerlangan kualiti Akademi JDT dalam lima kriteria dari FAM dan sebelas kriteria dari AFC.

Kriteria FAM Piagam Suparimau Kriteria AFC Elite Youth Scheme
Kepimpinan Staf
Perancangan Pelan pembangunan
Fasiliti Pertandingan
Pertandingan akar umbi Jurulatih
Pendidikan Pengenalpastian bakat
Servis perubatan
Sains sukan
Pendidikan & kebajikan
Fasiliti
Falsafah
Akademi

“Saya bukan membina pasukan. Saya membina sebuah organisasi. Pasukan sentiasa mencari bajet setiap tahun untuk bertanding. Organisasi mempunyai program pembangunan yang berkesan, fasiliti terbaik, kukuh dari segi kewangan yang boleh memberikan kestabilan dan kualiti untuk 30-40 tahun,” beritahu baginda kepada media pada 2014.

Semakin pantas kelab-kelab Liga Super lain mendengar dan bertindak dari nasihat TMJ itu, semakin sihatlah situasi bola sepak Malaysia pada masa hadapan. Lebih ramai Arif Aiman akan dilahirkan. Jika tidak, semakin jauhlah mereka akan ditinggalkan JDT.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN