Bagi pemain PSG, kegembiraan malam mereka tidak berakhir selepas menewaskan Borussia Dortmund 3-2 secara agregat awal pagi waktu Malaysia tadi.
Ia hanya berakhir selepas mereka beramai-ramai bergambar dengan melakukan pose yoga beramai-ramai.
Ia pose sama yang dilakukan oleh penyerang Dortmund, Erling Haaland ketika menjaringkan dua gol menewaskan PSG dalam perlawanan pertama di Westafalonstadion.
PSG bangkit menewaskan Dortmund 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Parc des Princes yang kosong kerana perintah kuarantin wabak COVID-19 di Perancis. Gol dijaringkan oleh Neymar dan Juan Bernat.
Neymar terlebih dahulu memulakan troll terhadap Haaland apabila meraikan gol jaringannya pada minit ke-28 dengan pose yoga tersebut.
Walaupun Lucien Favre mengarahkan anak buahnya bermain dengan garisan defensif tinggi, Dortmund jarang-jarang menguji pertahanan PSG.
Haaland yang menjaringkan dua daripada 12 gol yang telah dijaringkannya sejak tiba pada Januari 2020, nampak langsung tidak berbahaya dalam perlawanan awal pagi tadi.
Hanya ada satu peluang yang hadir untuknya – tetapi gagal disempurnakan dengan baik selepas menerima hantaran bola rendah dari kanan pada separuh masa pertama.
Penyerang sayap England Jadon Sancho juga senasib dengan Haaland. Penjaring gol terbanyak Dortmund dengan 19 gol setakat ini, dua kali menguji Keylor Navas. Tetapi ia lebih kepada percubaan rutin berbanding percubaan yang betul-betul mengancam penjaga gol Costa Rica itu.
Troll atau tidak?
Untuk berlaku adil kepada Neymar dan pemain PSG, pemain lain juga sebenarnya sudah lama melakukan pose yoga untuk meraikan jaringan – lebih lama sebelum Haaland buat tiga minggu lepas.
Mohamed Salah, misalnya pernah melakukan pose sama untuk meraikan jaringannya ketika menentang Huddersfield pada musim lepas.
Malah Haaland sebenarnya boleh dikatakan ‘meniru’ cara Antoine Griezmann meraikan jaringan. Ini kerana Griezmann merupakan pemain pertama yang melakukan pose yoga ini untuk meraikan jaringannya ketika Atletico Madrid menewaskan Monaco 2-0 pada November 2018.