Pemain KL City Akan Terus ‘Dihambat’ Bojan Hodak Musim Depan

Bojan Hodak KL City 2023

Nampaknya jodoh Bojan Hodak bersama KL City FC diteruskan untuk semusim lagi selepas beliau disahkan akan terus kekal di Kuala Lumpur.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard menerusi laman sosial pasukan, pada tengah hari tadi.

“Sukacitanya saya ingin mengumumkan, Bojan Hodak akan terus kekal bersama kami untuk musim ketiganya walaupun beliau menerima pelbagai tawaran dari seluruh pelusuk benua Asia.”

“Musim ketiga Bojan ini selaras dengan sasaran kelab untuk mencapai ketekalan dan daya saing sepanjang masa.”

Stanley Bernard, CEO KL City

Ini terus menutup khabar angin cubaan kelab Singapura, Lion City Sailors FC untuk mendapatkan khidmat pengendali kelahiran Croatia tersebut.

Stanley turut memaklumkan yang mereka akan mengekalkan khidmat pemain-pemain yang berperanan besar dan penting membantu kejayaan dalam dua musim terkini bagi meneruskan kesinambungan pasukan.

Begitupun, beliau tidak mendedahkan nama-nama pemain yang akan dikekalkan dengan besar kemungkinan beberapa pemain ini akan terus berkhidmat di KL City seperti penjaga gol, Kevin Mendoza, Giancarlo Gallifuoco, Romel Morales, Ryan Lambert dan Akram Mahinan.

Menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, kapten pasukan, Paulo Josue juga sah akan kekal semusim lagi walaupun dihimpit rapat oleh Sabah FC.

Setakat ini, hanya seorang pemain yang merupakan tonggak penting di benteng, Irfan Zakaria sah meninggalkan pasukan menyertai Sabah.

Mengapa Irfan Zakaria Dianggap ‘Kad’ Terbaik Kim Swee Kukuhkan Sabah?

Menurut Stanley dalam kenyataannya lagi, mereka dalam fasa akhir untuk memuktamadkan beberapa pemain baharu bagi mengukuhkan pasukan.

Beliau turut mengatakan mereka akan terus mengejar pelbagai kejayaan berdasarkan platform yang telah dibina dalam dua tahun ini. KL City telah meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021 dan mara ke final Piala AFC 2022 sebelum ditewaskan oleh wakil Oman, Al-Seeb dengan keputusan 0-3.

Mereka mengatasi segala ranjau untuk menjadi wakil Malaysia kedua yang berjaya mara ke pentas final Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Di saat khabar beliau akan kekal semusim lagi bersama ‘The City Boys’, tular sekeping gambar Bojan yang dilihat sedang mengejar pemain muda KL City, mungkin ketika sesi latihan di padang, pada musim lalu.

Seperti yang kita sedia tahu, Bojan merupakan pengendali yang tegas di padang tetapi mudah didekati dan disenangi ketika di luar padang.

Leave a Reply