Qatar 2022: Polisi Stadium Tanpa Alkohol Terbukti Selamat Buat Wanita, Pengajaran Buat Negara Barat

Piala Dunia Alkohol Stadium

Apabila Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia 2022 mengambil keputusan untuk menguatkuasakan larangan membawa masuk minuman beralkohol ke dalam stadium, berpusu-pusu media dan penyokong terutamanya dari negara barat mengkritiknya.

Kumpulan ini melabel negara teluk arab tersebut sebagai kolot, konsorvetif dan tidak bertamadun kononnya melanggar ‘hak kebebasan’ penyokong.

Bagaimanapun langkah tersebut nampaknya telah menunjukkan kesan positif yang amat ketara dan ia telah mendapat respon yang cukup positif daripada penyokong wanita yang kini dapat menikmati perlawanan dengan rasa selamat.

“Saya awalnya menjangkakan ia [Qatar] tempat yang bahaya untuk wanita. Saya tak rasa saya akan selamat di sini. Tetapi sejak dari awal, tiada sebarang kes berlaku dan sebagai pengembara wanita saya akui amat berasa selamat di sini,” ujar penyokong England, Ellie Molloson kepada Reuters.

Molloson merupakan salah seorang duta bagi kempen #HerGameToo yang melawan seksisme dalam bola sepak. Gerakan tersebut muncul setalah kerap kali berlaku keganasan atau gangguan seksual terhadap golongan wanita semasa menonton perlawanan bola sepak di stadium.

Beliau berkata bapanya sangat risau dan bercadang untuk mengiringinya sepanjang berada di Qatar untuk memastikan keselamatannya terjamin.

Tetapi sebaliknya berlaku, nampaknya kempen tersebut tidak diperlukan kerana keadaan di stadium jauh berbeza dengan kejohanan-kejohanan sebelum ini dengan ketiadaan penyokong yang ‘hilang akal’ dek kerana mabuk.

“Saya rasa suasana masyarakat yang lebih konservatif dari segi sosial adalah asbabnya,” tambahnya lagi.

“Saya berpendapat selama ini alkohol telah pun banyak menyumbang kepada permusuhan dan perkara-perkara seperti siulan ejekan dan gangguan seksual.

“Jujurnya saya suka lebih banyak lawan sorakan, saya sukakan suasana meriah, tetapi ia agak sukar untuk dilihat di sini, ia sangat berbeza. Tetapi dengan keadaan seperti ini ia dilihat lebih tenang, lebih mesra keluarga.”

Ariana Gold, penyokong wanita dari Argentina pula ketika ditemubual mengakui beliau pada awalnya amat gementar sebelum mengembara ke Timur Tengah memandangkan beliau tidak pasti apa yang akan dihadapi.

“Sebenarnya keadaan di sini sangat selamat untuk wanita, apatah lagi untuk seseorang seperti saya yang amat sukakan bola sepak,” ujar Ariana.

“Pada awalnya saya fikir mungkin ini [Qatar] adalah tempat untuk lelaki sahaja dan kurang selesa buat wanita, tetapi hakikatnya tidak. Saya sangat sele dan ini negara ini sangat indah.”

Meskipun dilarang dari dibawa masuk ke stadium, minuman beralkohol masih boleh didapati di beberapa bar dan hotel di Qatar. Tetapi jelas pengambilannya jauh berkurangan berbanding kebiasaan setiap kali penganjuran kejohanan tersebut pada edisi-edisi sebelum ini.

Keadaan tersebut akhirnya menyedarkan sebahagian besar peminat bola sepak terutamanya dari barat akan sisi negatif minuman tersebut yang hakikatnya merosakkan nilai kemanusiaan.

“Jelas suasana di sini cukup baik apabila tidak ada orang yang mengambil minuman beralkohol, jadi semua orang berfikiran waras. Semua orang kini gembira menerimanya,” ujar penyokong England, Emma Smith.

“Saya benar-benar rasa selamat, kerana tiada lagi alkohol dibenarkan.”

Leave a Reply