Sekali lagi, pasukan Liga Super iaitu Selangor terpalit dengan isu pemain lebih sudu dari kuah apabila mengumumkan perpindahannya ke kelab itu sebelum diumumkan secara rasmi.
Sebelum ini, pemain dari Jordan iaitu Baha’ Abdel-Rahman telah menyertai Selangor dengan mengumumkan perpindahannya mendahului pengumuman kelab.
Sehingga kini, Selangor masih tidak mengumumkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kemasukan Abdel-Rahman.
Selangor Dapatkan Bintang Import Baharu, Tapi Kenapa Pemain Umum Dulu Sebelum Kelab?
Perkara yang terjadi hampir sebulan lepas berlaku sekali lagi bulan ini apabila pemain bernama Yazan Al-Arab pula yang mengumumkan perpindahannya ke Selangor mendahului pengumuman kelab.
Dalam hantaran Instagramnya, Al-Arab mengatakan yang beliau tidak sabar untuk menyertai Selangor pada musim hadapan.
“Saya cukup gembira untuk menyertai Selangor FC pada musim hadapan.”
“Perjalanan baharu akan menambah lagi pengalaman. Saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada pelan untuk mencapai cita-cita baharu.”
Siapa Yazan Al-Arab?
Yazan Al-Arab merupakan pemain pertahanan tengah yang berusia 25 tahun.
Berkaki kiri, Al-Arab merupakan bekas pemain Al-Wehdat yang sebelum ini menamatkan saingan liga utama Jordan ditangga kedua dibelakang Al Ramtha dengan perbezaan jaringan.
Beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Asia apabila beraksi di Liga Juara-Juara AFC dengan melakukan lima penampilan musim ini.
Al-Wehdat terkandas di peringkat kumpulan yang dianggotai oleh Al-Nassr (Arab Saudi), Al-Sadd (Qatar) dan Foolad (Iran).
Al-Arab turut mempunyai pengalaman bermain bersama skuad kebangsaan Jordan dengan melakukan 31 penampilan sambil menjaringkan satu gol untuk negaranya.
Menurut rekod, Selangor bakal jadi pasukan pertamanya di luar Jordan dan ini dijangka menjadi pengalaman yang menarik buat pemain tersebut.
Sekarang ini tinggal pengumuman rasmi sahaja dari Selangor mengenai ketibaan beliau dan juga Abdel-Rahman, tetapi bila mereka nak umumkan?