Mengapa Semua Pemain JDT Mencukur Rambut Sebelum Menentang Pahang?

Bagi sesiapa yang menonton perlawanan Pahang menentang JDT dalam aksi Liga Super 2017 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur malam tadi, anda pasti perasan bahawa semua pemain JDT telah mencukur rambut mereka.

Daripada Izham Tarmizi sehinggalah Mohammad Ghaddar, semua pemain JDT menggayakan gaya rambut yang sama – ibarat baru keluar dari maktab tentera.

Gelagat pemain-pemain JDT ini turut membuatkan peminat bola sepak tidak dapat mengelak untuk membandingkan mereka dengan gelagat pasukan bola sepak lain yang pernah berbuat perkara sama.

Penulis bebas, Hairi Mohd membandingkan fenomena ini dengan gelagat pemain Romania semasa kempen Piala Dunia 1998.

Ketika itu, semua pemain Romania mewarnakan rambut mereka dengan warna emas (blonde) selepas berjaya menewaskan England 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Credit: David Cannon /Allsport

Media pada ketika itu berspekulasi gelagat pemain Romania ini adalah untuk membawa ‘nasib yang baik (good luck)’. Ada juga yang memberi teori – ia adalah untuk memudahkan pemain Romania mengesan pemain mereka sendiri di padang.

Walau apa pun sebab mereka, ia tak menjadi kerana Romania tumpas 0-1 kepada Croatia dalam pusingan kalah mati.

Kenapa pemain JDT cukur kepala?

Seperti gelagat peminat bola sepak selepas pemain Romania semuanya mewarnakan rambut mereka dengan warna blonde pada 1998, peminat bola sepak tempatan juga tertanya-tanya sebab mengapa pemain-pemain JDT semuanya mencukur kepala mereka.

Setakat ini Johor Southern Tigers tidak membuat sebarang kenyataan rasmi untuk menjelaskan kenapa.

Tetapi berdasarkan kandungan-kandungan yang dikeluarkan media sosial Johor Southern Tigers sejak 2-3 bulan lepas, kami mungkin telah mendapat idea mengapa.

Sejak pelancaran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor pada 6 Ogos 2016, JDT aktif dalam program-program kebajikan untuk menambah dana operasi yayasan kanser tersebut.

Sumber: Johor Southern Tigers

Yayasan ini merupakan ilham daripada Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan.

Ia diberi nama sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil ini juga sebagai mengenang semangat dan kekentalan Almarhum Tunku Laksamana Johor melawan penyakit kanser yang dihidapi sekaligus memberikan inspirasi kepada semua pihak.

Pada 7 Julai 2017 lepas, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengadakan satu perlawanan amal bola sepak Tunku Laksamana Johor antara pasukan pilihan baginda menentang pasukan Pilihan Alistair Edwards.

Sumber: Johor Southern Tigers

Perlawanan telah berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin dan turut dihadiri oleh penyokong JDT.

Matlamat perlawanan amal ini adalah untuk mengumpul dana yang kemudiannya akan disalurkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Dalam perlawanan tersebut, TMJ turut dilihat menggayakan potongan rambut pendek – ibarat baru keluar dari maktab tentera.

Tindakan solidariti

Barangkali tindakan pemain-pemain JDT yang mencukur rambut semalam merupakan tindakan solidariti mereka kepada usaha TMJ untuk membantu Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Jika tindakan ini dianggap asing di Malaysia, ia sudah menjadi norma di luar Malaysia. Membotakkan kepala adalah tindakan solidariti anda kepada pesakit kanser yang biasanya akan mengalami keguguran rambut ketika rawatan kemoterapi.

Ia menunjukkan sokongan anda. Bahawa anda prihatin dengan kesakitan yang dihadapi pesakit kanser.

Malah pemain Athletic Bilbao juga pernah membuat perkara sama ketika salah seorang pemain mereka, Yeray Alvarez sah menghidapi kanser zakar. Kami pernah melaporkan berita ini di artikel ini.

Selain itu, tindakan pemain JDT ini juga secara tidak langsung akan membuatkan kita – komuniti peminat bola sepak tempatan – bercakap mengenai kanser.

Ia akan membuatkan kita sedar tentang kewujudan Yayasan Kanser Tunku Laksaman Johor serta usaha-usaha murni yang dilakukan oleh yayasan tersebut untuk membantu pesakit kanser.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN