Para pemain Bolton Wanderers mengancam akan memboikot 2 perlawanan terakhir Liga Championship jika gaji mereka tidak dibayar. Bolton sudah pun tersingkir.
Bolton Wanderers berhadapan dengan isu tunggakan gaji. Ianya dipercayai kerana ada konflik pada pemilikan kelab.
Pengerusi Bolton pada ketika ini, Ken Andrew sudah bersedia untuk menjual kelab itu kepada bekas pemilik Watford, Laurence Bassini. Namun pertukaran pemilikan itu berhadapan dengan masalah.
Isu ini memberikan impak kepada aliran dana kelab tersebut. Jika para pemain masih tidak dapat bayaran, mereka menyatakan tidak teragak-agak untuk memboikot baki perlawanan musim ini.
Minggu ini menyaksikan tiada sidang media sebelum perlawanan kerana pemain enggan memberikan komitmen selagi-lagi pemilik tidak mengeluarkan kenyataan tentang gaji mereka.
Para pemain pula mengeluarkan kenyataan media khas berbunyi: “Krisis kewangan yang berlarutan di kelab ini sudah pun didokumentasikan. Hakikatnya, kami semua tidak menerima gaji kami untuk bulan Mac. 5 daripada jurulatih kami juga masih belum menerima gaji mereka bulan lalu.”
“Walaubagaimanapun, kami terus berlatih dan memberikan komitmen untuk bermain ketika masa sukar ini. Namun nampak gayanya, pihak pengurusan tidak ambil serius untuk menyelesaikan masalah ini.”
“Kami awalnya merasakan pengambilalihan kelab ini akan menyelesaikan masalah ini, namun kesulitan semakin kompleks dan membuatkan tiada perkembangan.”
“Situasi ini mewujudkan tekanan mental yang teruk, masalah emosi dan bebab kewangan yang menimpa orang yang tidak bersalah.”
“Tekanan mental yang semakin tinggi ini membuatkan beberapa orang daripada kami tidak mampu melaksanakan kerja mereka dengan baik.”
“Perkara ini memberikan kesan kepada aspek kehidupan kami, serta keluarga.”
“Buat masa ini kami masih bersabar dan menuntu penjelasan. Namun malangnya, informasi daripada kelab tersangat terhad dan mengelirukan. Apa maklumat yang kami terima sentiasa berubah-ubah.”
“Dengan penuh kekesalan, kami memutuskan untuk tidak melaksanakan tugasan kami untuk baki perlawanan – kecuali gaji kami dibayar. Kami faham tindakan ini membuatkan penyokong kami sedih, kami meminta maaf dengan penuh ikhlas.”
“Kami tahu ini pilihan yang sangat drastik – masalahnya, kami tiada pilihan lain.”
“Kami membuat keputusan ini selepas pertimbangan sedalamnya. Kami menderita dengan beberapa isu musim ini yang dicetuskan oleh kegagalan pengurusan kelab.”
“Kami semua telah beroperasi dalam persekitaran yang sangat rumit. Oleh kerana terlalu banyak isu melanda, maka keputusan ini yang kami ambil.”
Perlawanan di antara Bolton dan Brentford antara yang terpaksa ditunda dahulu kerana pemain Bolton memberitahu enggan bermain.