MSL 2019: Perak Kecapi Nikmat Kemenangan Di Manjung, Menang Bergaya 4-0 Keatas PKNP FC

Perak

Perak akhirnya menamatkan penantian kemenangan selepas lima perlawanan Liga Super Malaysia 2019 apabila mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 menewaskan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Giancarlo Lopes Rodrigues terlebih dahulu mengasak kubu Perak pada minit ke-9 apabila percubaannya dalam kawasan penalti ekoran kesilapan Shahrul Mohd Saad yang gagal mengeluarkan bola berjaya dinafikan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Selepas itu, giliran Mohamad Hafiz Ramdan pula mencemaskan gawang pasukan pelawat hasil sepakan percuma dari sebelah kiri pintu gol Perak yang sedikit melewati palang.

Dua serangan bahaya dijelmakan PKNP FC itu langsung tidak menggentarkan Perak tetapi sebaliknya skuad bimbingan Mehmed Durakovic pantas bangkit untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Brendan Gan.

Brendan yang bijak mencuri peluang di hadapan pintu gol mendapat lorongan daripada Mohd Nor Hakim Hassan lalu melepaskan percubaan menggunakan hujung kaki bagi menewaskan penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar.

Gol tersebut jelas meningkatkan tempo permainan Perak yang hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-25 setelah Nor Hakim yang meluru pantas ke kubu PKNP FC melepasi kawalan pertahanan, namun rembatannya dihalang Asyraaf.

Salah faham antara Asyraaf dan pemain pertahanan, Muhamad Farid Nezal jelas memakan diri buat PKNP FC pada minit ke-30 sehingga menyebabkan gol kedua terhasil.

Asyraaf dan Farid gagal membaca bola hantaran jauh dilakukan Muhammad Rafiuddin Roddin sekaligus memberi peluang buat Brendan bagi menolak bola kearah gawang PKNP FC.

Tolakan lemah Brendan itu gagal dikeluarkan oleh Farid lalu Gilmar Jose Da Silva Filho yang meluru pantas tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Anak buah Abu Bakar Fadzim cuba untuk mengurangkan defisit dua gol itu sebaik sahaja babak kedua bersambung tetapi tandukan Giancarlo hasil sepakan percuma Hafiz Ramdan sedikit tersasar pada minit ke-51.

Perak terus mengukuhkan kedudukan hanya selepas empat minit berselang apabila Shahrul Saad yang tidak dikawal ketika keadaan kelam-kabut dalam situasi sepakan penjuru dengan tenang menjaringkan gol ketiga.

Penguasaan Perak jelas terserlah pada perlawanan di Manjung ini setelah mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-86 akibat kekasaran Muhammad Fadhil Idris terhadap Gilmar.

Namun, penyerang import kelahiran Brazil itu mensia-siakan peluang dimiliki apabila rembatannya sekadar meliar.

Gilmar menebus kesilapannya itu pada minit ke-90 selepas beliau berjaya menanduk masuk bola hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol PKNP FC yang dilakukan Muhammad Firdaus Saiyadi.

Kemenangan 4-0 ini terus meletakkan Perak di tangga ke-8 liga untuk mengumpul 13 mata daripada 11 perlawanan yang dilalui manakala PKNP FC satu tangga dibawah dengan 10 mata diraih.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN