PDRM dijangka tidak menghadapi masalah pada perlawanan malam ini bagi aksi Liga Super 2023 untuk berdepan cabaran Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Terdahulu, PDRM berjaya mencipta momentum sangat positif musim ini dalam saingan Liga Super setelah kejayaan pasukan tersebut untuk mengejutkan beberapa pasukan gergasi termasuk Selangor.
Walaupun tidak memiliki ramai pemain berstatus bintang, secara keseluruhan PDRM berjaya menampilkan kualiti permainan cukup berdisiplin di atas padang.
Pasukan tersebut juga tidak terlepas daripada kontroversi selepas bekas pengendali mereka iaitu Azzmi Aziz secara tiba-tiba ditamatkan kontrak untuk memberi laluan kepada Dato’ Ahmad Yunus Alif selaku jurulatih utama.
Namun, konsistensi dipamerkan oleh PDRM tetap tidak luntur selepas pasukan tersebut tidak merekodkan sebarang kekalahan sejak enam perlawanan lalu.
Malah, mereka juga berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir MFL Challenge Cup 2023 selepas PDRM menundukkan cabaran Penang di separuh akhir.
Untuk aksi Liga Super, PDRM terus mengorakkan langkah mereka untuk bergelar selaku ‘The Giant Killer’ apabila pasukan itu mengatasi Sri Pahang di Stadium Darul Makmur (SDM) menerusi keputusan 3-2.
Untuk aksi seterusnya ini, pasukan tersebut dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi cabaran Negeri Sembilan bagi mendapatkan terus tiga mata penting sebelum persaingan liga tamat.
Apa tidaknya, Negeri Sembilan kini tampil dengan serba tidak menyakinkan sejak beberapa perlawanan lalu selain terbabit dengan krisis gaji yang tertunggak.
Negeri Sembilan sehingga kini masih belum merekodkan sebarang kemenangan atau seri selepas mengharungi lima perlawanan.
Kali terakhir mereka mencipta kemenangan pada 20 Ogos lalu dalam saingan 16 terbaik Piala Malaysia 2023 untuk menewaskan cabaran Kelantan United menerusi keputusan 4-2.
Bagi keputusan saingan Liga Super terbaharu, Negeri Sembilan mencipta kekalahan 0-3 di tangan Kedah Darul Aman (Kedah) bersama aksi cukup tidak menyakinkan di segenap posisi.
Maka peluang ini perlu direbut sebaik mungkin oleh PDRM untuk mendapatkan tiga mata seterusnya supaya mereka dapat menamatkan cabaran Liga Super musim ini pada kedudukan lebih baik.