Legenda hidup dan juga ikon Manchester United, Paul Scholes menyifatkan bintang kelab tersebut, Paul Pogba mampu untuk melakukan segalanya sebagai seorang pemain tengah.
Scholes turut melabelkan pemenang Piala Dunia 2018 itu mempunyai banyak persamaan dengan bekas jeneral tengah terbilang Liverpool, Steven Gerrard.
Pogba yang menikmati karier remajanya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu kembali menyertai Manchester United pada musim 2016/17 dengan yuran perpindahan bernilai hampir £90 juta daripada Juventus.
Pernah berada dalam satu pasukan bersama Pogba, Scholes jelas mengagumi kualiti serta melihat sesuatu yang besar mampu dijelmakan oleh pemain tengah berusia 27 tahun itu.
‘”Saya pernah bermain [sedikit perlawanan] bersama dengan Paul [Pogba] dan semua orang tahu bakat yang dimilikinya.”
”Dia sangat baik apabila beraksi bersama Juventus, juga begitu cemerlang untuk Perancis untuk [menjuarai] Piala Dunia dan sangat bagus ketika disini [Manchester United].”
”Dia boleh melakukan apa sahaja sebagai seorang pemain tengah dan anda mungkin akan menyamakannya dengan Steven Gerrard, melihatkan kepantasan, kekuatan dan kemahiran individu dimilikinya.”
”Dia boleh melakukan apa sahaja,” ujar Paul Scholes menurut laporan dikeluarkan Goal.
Sejak kembali semula beraksi bersama Manchester United, Paul Pogba telah berjaya menjaringkan 24 gol dan 25 bantuan jaringan dalam kempen Liga Perdana Inggeris.
Kredit foto: Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images