Paul Scholes Dilantik Pengurus Sementara Salford City

Paul Scholes

Legenda Manchester United, Paul Scholes yang merupakan pemilik bersama kelab saingan League Two [liga divisyen empat England], Salford City telah dilantik sebagai pengurus sementara pasukan tersebut.

Hal ini kerana Salford telah memecat pengurus terdahulu, Graham Alexander walaupun kelab itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan liga musim 2020/21 hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri setakat ini.

Sembilan mata yang dicatatkan selepas mengharungi lima perlawanan liga itu juga telah meletakkan Salford City di kedudukan kelima liga League Two.

Keadaan itu jelas mengejutkan banyak pihak selepas Alexander sebelum ini berjaya membawa Salford City layak ke League Two 2019/20 serta turut ke perlawanan akhir Leasing.com Trophy pada musim tersebut.

Perlawanan terakhir dikendalikan oleh Alexander adalah pada 10 Oktober lalu di mana Salford yang satu ketika mendahului Tranmere Rovers 2-0 terpaksa menelan kepahitan apabila lawan tersebut bangkit di lewat permainan untuk mengikat kedudukan.

”Kelab Bola Sepak Salford City mengumumkan bahawa pengurus, Graham Alexander telah meninggalkan kelab dengan serta-merta,” kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab.

”Kelab telah bertemu dengan Graham pada pagi ini dan selepas perbincangan dilakukan telah bersetuju untuk berpisah. Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Graham atas segala sumbangan dan kerja kerasnya.”

”Pada musim pertamanya, dia telah membawa kelab ini ke Wembley [perlawanan akhir play-off], dengan hasilnya membawa kelab ke League Two dan pada musim kedua dia membawa ke perlawanan akhir Leasing.com Trophy.”

”Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga yang terbaik buatnya pada masa hadapan. Jurulatih skuad utama, Chris Lucketti, juga akan meninggalkan kelab. Paul Scholes akan bertindak selaku ketua jurulatih interim sementara kelab mencari pengurus baharu.”

”Warren Joyce, yang ketika ini dikuarantin, akan menyertai Paul sebaik sahaja beliau kembali.”

Seperti diketahui, Salford City merupakan kelab yang sahamnya dimiliki Paul Scholes bersama-sama Gary Neville, Phillip Neville, Nicky Butt, Ryan Giggs dan David Beckham

Kredit featured image: AMA/Corbis via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Salford City:

Leave a Reply