Pasukan Impian Liga Super Malaysia 2016 Pilihan Semuanya BOLA

Musim Liga Super 2016 sudahpun hampir berakhir. Berikut adalah pasukan impian  kami di Semuanya BOLA. Dari segi formasi, kami memilih 4-4-1-1.

Jurulatih

Mario Gomez (JDT)

Mario Gomez / JDT - Kredit gambar : Nizam Rahman |asiana.my
Mario Gomez / JDT – Kredit gambar : asiana.my

Di JDT, Mario Gomez diberikan sumber dan sokongan yang sama seperti Bojan Hodak. Cuma bezanya, Gomez jauh lebih konsisten berbanding Hodak.

Meskipun Tengku Mahkota Johor telah mengurangkan bajet perbelanjaan pasukan pada awal musim ini, Gomez tetap berjaya mengekalkan standard permainan dan dominasi JDT.

Dengan membawa masuk Juan Lucero, Gomez berjaya membangunkan pemain yang asalnya bermain di posisi tengah menyerang menjadi pemain no.9 terbaik dalam Liga Super pada musim ini.

Selain itu, Gomez juga bijak memanipulasi pihak lawan dan memiliki perancangan taktikal yang mantap.

Penjaga Gol

Izham Tarmizi (JDT)

Izham Tarmizi/JDT - Kredit Gambar: asiana.my
Izham Tarmizi/JDT – Kredit Gambar: asiana.my

Musim 2016 adalah musim Izham! Pada musim ini, beliau berjaya merampas slot sebagai penjaga gol nombor 1 JDT daripada senior beliau, Farizal Marlias di semua peringkat.

Aksi cemerlang beliau penting bagi JDT pada musim ini. Lebih-lebih lagi selepas beberapa pemain pertahanan tengah di depannya seperti Marcos Antonio mula menunjukkan kemerosotan prestasi.

Bek Tengah

Shukor Adan  (Felda United) 

shukor-adan
Shukor Adan/Felda Utd – Kredit gambar: asiana.my

Dalam usia yang sudah menjangkau 35 tahun, Shukor Adan membuktikan usia itu hanyalah nombor. Kudrat beliau masih kuat. Beliau masih lagi merupakan antara pertahanan tengah tempatan yang berada di kelas tinggi.

Shukor bertanggungjawab menjadi kapten dan pemain penting untuk membantu Felda United mengharungi kempen Liga Super yang cemerlang pada musim ini.

Khairul Helmi (Kedah)

Khairul Helmi/Kedah - kredit gambar : asiana.my
Khairul Helmi/Kedah – kredit gambar : asiana.my

Selain merupakan seorang kapten yang sangat berpengaruh di atas padang, Khairul Helmi adalah bek tengah yang memiliki kecerdasan membaca perlawanan. Kualiti sebeginilah yang menjadi idaman jurulatih.

Pada awal musim, pertahanan Kedah agak goyah. Namun menjelang ke saingan saat-saat akhir, Khairul Helmi bertanggungjawab memastikan Kedah memperbaiki isu tersebut pada separuh kedua musim.

Bek Kanan

S.Kunanlan (JDT)

Sehingga kini, kita perlu mengaku S. Kunanlan masih lagi merupakan bek kanan terbaik di negara kita.

Bermain hampir dalam setiap perlawanan meskipun tempatnya disaingi oleh Azrif Nasrulhaq dan Mahali Jasuli, S. Kunanlan adalah senjata penting JDT untuk menguasai bahagian sayap kanan ketika menyerang.

Ketika bertahan, beliau tiada masalah mematikan serangan balas pihak lawan kerana memiliki kelajuan dan stamina yang tinggi.

Bek Kiri

Fazly Mazlan (JDT)

fazly

Seperti Izham Tarmizi, Fazly Mazlan menjadikan musim 2016 adalah musim beliau memperkenalkan diri beliau kepada peminat bola sepak di luar Johor. Beliau sangat konsisten sepanjang musim ini.

Disebalik usianya yang muda, permainan Fazly matang dan juga berkualiti. Tidak sukar sebenarnya bagi kami untuk memikirkan nama Fazly sebagai bek kiri terbaik di Malaysia.

Pemain Tengan Bertahan

Harris Harun (JDT)

harris
Harris Harun/JDT – Kredit gambar : asiana.my

Dalam beberapa perlawanan penting JDT musim ini, bek tengah mereka kelihatan agak tidak konsisten. Namun kelemahan itu sentiasa ditutup oleh Harris Harun.

Harris Harun salah seorang pemain yang paling cergas pada musim ini. Beliau terpaksa diturunkan dengan kerap kerana krisis prestasi yang tidak konsisten pemain lain di posisi tersebut.

Maka, jika ada satu dua perlawanan yang dia kurang bagus kami faham. Sebab dia terpaksa bermain banyak perlawanan.

Harris juga memiliki kekuatan fizikal dan kefahaman taktikal yang tinggi. Ini membolehkan beliau bermain dengan komprehensif di bahagian penting iaitu pivot.

Pemain Tengah Menyerang

Zah Rahan Krangar (Felda United)

S.Kunanlan & Zar Rahan - kreidt gambar : asiana.my
S.Kunanlan & Zah Rahan – kreidt gambar : asiana.my

Ada sebab Dollah Salleh memilih Zah Rahan Krangar sebagai antara pemain import yang mahu digunakannya semasa menentang Tottenham Hotspurs pada tahun 2015.

Zah Rahan Krangar mempunyai mobiliti, stamina dan juga kreativiti untuk mencipta namanya sebagai salah satu pemain tengah yang terbaik dalam Liga Super.

Selain itu, beliau juga memiliki penyudah yang berbisa. Zah Rahan sudah menjaringkan 8 gol selepas aksi perlawanan ke-21 Liga Super.

Sayap Kanan

Azamuddin Akil (JDT)

alex

Sukar untuk menafikan bahawa musim 2016 adalah musim terbaik Azamuddin Akil. Maka tidak hairanlah beliau menjadi pilihan utama Mario Gomez mengatasi beberapa nama-nama besar yang lain di dalam pasukan JDT.

Jika di Pahang, Azamuddin terkenal sebagai pemain sayap yang gemar menewaskan bek sisi dengan cara tradisional; iaitu dengan kelajuan di zon sayap, musim ini beliau sudah menvariasi serangannya.

Beliau kerap bermain di zon half space untuk menjayakan taktik ‘box overloading’ JDT. Ini menjadikannya sukar dijangka dan jauh lebih berbahaya.

Sayap Kiri

Hadin Azman (Felda United)

hadin
Hadin Azman/Felda United – Kredit gambar : asiana.my

Hadin Azman mungkin antara pemain berbakat besar yang paling tidak diberikan perhatian oleh ramai pasukan. Dalam erti kata lain, beliau agak underated.

Pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi tengah ini telah menunjukkan aksi cemerlang beliau sepanjang musim 2016, sehingga dikhabarkan bakal menyertai JDT pada musim depan.

Aset beliau adalah kelajuan, kemampuan untuk mencipta peluang dan juga kemahiran menjaringkan gol dari posisi sayap.

Pada musim ini, Hadin telah membantu Felda United bersaing sengit dengan JDT merebut kejuaraan liga dan mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia.

Penyerang Kedua

Jorge Pereyra Diaz (JDT)

kredit gambar: asiana.my
kredit gambar: asiana.my

Pada musim ini, Jorge Diaz telah menjadikan Liga Super seperti sebuah ‘kebun’ untuk beliau mengutip gol dan mencipta banyak bantuan gol. Menjadi pendahulu saingan Kasut Emas Liga Super pada musim ini adalah testimoni ketajaman penyudah beliau di hadapan gol.

Diaz adalah pemain penting untuk JDT. Tak keterlaluan untuk kami mengatakan JDT bukan pasukan sama tanpa kehadiran beliau.

Maka tak hairanlah Diaz menjadi jantung utama sistem serangan Mario Gomez untuk memberikan kejuaraan Liga Super ke-3 berturut-turut untuk JDT.

Penyerang Utama

Issey Farran Nakajima (Kapten)

Terengganu player, Issey Nakajima (in white) and Negeri Sembilan player, Sabri Saha in action during their 2016 Malaysia Cup Group D match played at the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium on 30 July 2016.
Kredit gambar: asiana.my

Dalam suasana suram dan prestasi serba hambar skuad Terengganu, Issey Nakajima adalah watak yang sentiasa memberikan sedikit senyuman di kalangan penyokong-penyokong Terengganu.

Kami memilih beliau kerana mana-mana jurulatih sudah pasti mengidamkan pemain yang ada ‘jiwa’ untuk pasukan seperti Issey. Beliau memiliki komitmen dan kepimpinan yang tinggi.

Namun sayangnya beliau bermain dalam pasukan yang serba tidak menjadi musim ini.

Kualiti beliau agak sukar dibuktikan dengan statistik dan nombor kerana beliau seringkali berjuang sendiri di atas padang untuk mencari gol walaupun ketinggalan di belakang.

Beliau adalah satu-satunya perkara terbaik untuk diceritakan oleh penyokong Terengganu pada musim ini.

sb11

Simpanan

1. Mohd Ifwat Akmal
2. Shahrom Kalam
3. Rizal Ghazali
4. Makan Konate
5. Lucero

Pemain Paling Bernilai  

Jorge Pereyra Diaz

3 Pemain Terbaik

1. Jorge Pereyra Diaz
2. Shukor Adan
3. Izham Tarmizi

Ini adalah pasukan pilihan kami. Bagaimana pula dengan anda?

Baca juga:  5 Calon Jurulatih Yang Berpotensi Menjadi Pengendali Tetap Selangor Musim 2017

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN