Vietnam seri 2-2 dengan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi pertama Piala AFF Suzuki 2018. Ini juga bermakna mereka memiliki bekalan 2 gol di tempat lawan.
Namun begitu, pengendali Vietnam, Park Hang Seo kecewa kerana anak-anak buahnya terleka dan melepaskan 2 gol kepada pasukan Malaysia sekaligus mereka hilang kelebihan secara agregat.
Vietnam di hadapan pada minit ke-22 hasil percubaan deras oleh Nguyen Huy Hung. 3 minit selepas itu, Vietnam menggandakan kelebihan gol menerusi jaringan dari luar kotak penalti oleh Pham Duc Huy.
Sebelum rehat Malaysia merapatkan jurang gol menerusi Shahrul Saad yang menanduk deras sepakan percuma oleh Syamer Kutty Abba.
Bersambung pada babak kedua Malaysia menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik Safawi Rasid pada minit ke-62.
Park Hang Seo sedar pasukannya memiliki beberapa lagi peluang keemasan yang tidak disempurnakan – Farizal Marlias cemerlang dalam memastikan pintu gol Malaysia tak bocor lebih banyak.
Cikgu Park kemudian menyatakan agak sedikit kecewa kerana melepaskan 2 gol: “Rasanya, para pemain kami sudah memberikan aksi terbaik mereka dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi.”
“Kami berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan ini. Namun begitu kami juga melepaskan 2 bolos kepada pasukan lawan. Ianya agak mengecewakan [kerana melepaskan 2 bolos], namun begitu kami tidak tewas dalam perlawanan ini.”
“Jadi, selepas ini kami akan mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan timbal balik [di My Dinh].”
Beliau mengakui para pemainnya telah bermain seperti mana perancangan taktikal yang telah dirancang.
Perlawanan timbal balik final adalah pada Sabtu ini di Stadium My Dinh. Malaysia perlu mencari jaringan gol di dalam perlawanan itu nanti.