‘Paling Epik Dalam Sejarah’ – 3 Sebab Kenapa Man City Takkan Mampu Atasi Pencapaian ‘Treble’ Man United

Manchester City United Treble

Masih belum ada mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berjaya menyamai pencapaian Manchester United menjulang tiga kejuaraan termasuk trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) atau sering disebut sebagai ‘treble’.

Hanya selepas 24 tahun berlalu, seteru setempat Manchester City pula kini semakin hampir untuk menjadi pasukan kedua merekodkan pencapaian gemilang tersebut.

Sama ada skuad The Citizen berjaya atau tidak, penulis sukan British, Ian Watson berpendapat kejayaan United yang diraih pada tahun 1999 itu akan kekal menjadi pencapaian paling epik dalam lipatan sejarah bola sepak Inggeris.

Yang pertama

Siapakah manusia kedua yang tiba di puncak Gunung Everest? Siapakah manusia kedua yang mendarat di bulan? Hampir semua orang hanya mengingati pihak pertama yang berjaya melakukan sesuatu rekod bukan?

Itulah Manchester United, pasukan Inggeris pertama yang memenangi ‘treble’ dan kejayaan itu akan kekal di ingatan peminat bola sepak di seluruh dunia. Jika Manchester City mengulanginya selepas 24 tahun, mereka menjadi kelab kedua yang melakukannya.

Roller-coaster

Laluan berliku United untuk mencatat sejarah itu juga dianggap begitu epik. Pengesahan juara EPL ditentukan sehingga hari terakhir dengan skuad kendalian Sir Alex Ferguson mengatasi Arsenal dengan hanya satu mata sahaja.

Ia juga menjadi situasi yang cukup janggal buat penyokong The Gunners yang terpaksa menyokong musuh tradisinya Tottenham Hotspur yang menjadi lawan United pada perlawanan terakhir pada hari penentuan.

United terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol Les Ferdinand. Tetapi jaringan David Beckham dan Andy Cole mematerikan kemenangan 2-1 United dan mengesahkan kejuaraan liga mereka.

Aksi Piala FA pula mungkin lebih dramatik. Arsenal turut dikecewakan United pada aksi timbal balik separuh akhir menerusi gol pada masa tambahan Ryan Giggs. The Red Devils menjulang kejuaraan di Wembley selepas membenam Newcastle United 2-0 pada perlawanan akhir.

Kemuncaknya sudah pasti aksi final UCL di Nou Camp. United dan Bayern Munich masing-masing sedang memburu kejuaraan treble.

Selepas mengharungi 90 minit yang mengecewakan, tempoh tiga minit masa kecederaan mengubah segalanya. Jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solsjkjaer melengkapkan musim gemilang United.

United 1999 vs City 2023

Apa lagi yang menjadikan kejayaan Manchester United begitu epik? Lihatlah senarai pasukan lawan yang berdepan dengan Manchester United sepanjang laluannya ke final. Mereka ditempatkan dalam ‘kumpulan maut’ bersama Bayern Munich dan Barcelona di peringkat kumpulan.

Seterusnya diundi bertemu Inter Milan di suku akhir dan kemudian Juventus pula menanti di separuh akhir. Bayangkan sahaja pasukan-pasukan ini memiliki pemain-pemain terbaik dunia pada waktu itu seperti Ronaldo, Rivaldo, Alessadro Del Piero dan Zinedine Zidane.

Manchester City pada hari ini pula adalah sebuah kelab mewah yang mempunyai pemain terbaik dunia di setiap posisinya.

Malah seluruh dunia tahu pasukan yang dimiliki oleh hartawan Arab, Sheikh Mansour itu berdepan dengan beberapa dakwaan terhadap pelanggaran peraturan kewangan di antara tahun 2009 hingga 2018.

Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sendiri telah beberapa kali cuba untuk mengheret City ke muka pengadilan yang memberi risiko kepada penggantungan terhadap penyertaan dalam mana-mana kejohanan Eropah.

Manakala skuad Manchester United pada 1999 dilihat jauh lebih ‘sederhana’ dan lebih bergantung harap kepada pemain-pemain yang berjiwa besar.

Penutup

Minggu ini Manchester City berpeluang untuk memuktamadkan satu daripada tiga kejuaraan untuk melengkapkan ‘treble’.Jika mereka berjaya, ia tetap menjadi satu pencapaian yang membanggakan buat warga bola sepak Inggeris.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN