C.D Palestino: Kelab Bola Sepak Palestin Di Bumi Chile Yang Lantang Membidas Israel

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Ramai rakyat Palestin tercedera dalam serangan yang berlaku beberapa hari lalu. Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap jemaah yang sedang menunaikan solat pada hari-hari terakhir Ramadan adalah satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

Malaysia tidak ketinggalan mengecam pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka, termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Tidak ketinggalan lantang bersuara demi rakyat Palestin sejak dahulu lagu ialah sebuah kelab bola sepak yang berpengkalan di Chile.

Penghijrahan bina penempatan baharu

Agak sukar untuk membayangkan bagaimana sebuah kelab bola sepak yang bersalasilahkan Palestin seperti Club Deportivo Palestino, berkembang sehingga dikenali ramai di sebuah negara seperti Chile. Bagaimana ia boleh terjadi?

Peperangan adalah sesuatu yang hanya akan membawa kebinasaan. Perang Krimea sepanjang tahun 1850an, Perang Dunia ke-2 dan juga Perang Arab-Israel pada pertengahan 1900an telah menyebabkan ramai rakyat Palestin meninggalkan tempat tinggal mereka untuk mencari perlindungan.

Negara-negara jiran seperti Jordan dan Syria adalah antara tempat penduduk Palestin melakukan penghijrahan pada ketika itu. Tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa kira-kira 500,000 daripada mereka memilih untuk ke ibu kota Chile, Santiago.

Ini telah menjadikan Santiago, Chile antara bandar yang mempunyai penduduk teramai di dunia yang berasal daripada Palestin pada hari ini.

Wujudnya komuniti Palestin di Chile turut mengubah landskap bola sepak di negara tersebut, apabila pada 1920, sebuah kelab bola sepak yang dikenali sebagai Club Deportivo Palestino ditubuhkan.

Club Deportivo Palestino

Club Deportivo Palestino adalah kelab bola sepak pertama di dunia yang diasaskan oleh kumpulan pelarian. Nama kelab tersebut sudah cukup untuk menggambarkan asal usul dan salasilah kelab berkenaan.

Sejak penubuhannya, kelab bola sepak ini pernah berjaya menjuarai kejuaraan Primera Division di Chile pada 1955, 1978 dan yang terkini ialah pada 2014, dua gelaran Copa Chile pada 1975 dan 1977, juga dua kejuaraan Primera B pada 1952 dan 1972.

Pada hari ini prestasi Deportivo Palestino mungkin kurang memberangsangkan, tetapi kumpulan penyokong mereka semakin bertambah dari hari ke hari.

https://twitter.com/KhaledBeydoun/status/1391584924424187906

Antara sebab utama Deportivo Palestino semakin mendapat sokongan daripada ramai pihak, adalah kerana kesungguhan mereka untuk memberi sokongan kepada saudara mereka di bumi Palestin, yang berada ribuan batu dari Chile.

Identiti negara Palestin bukan sahaja terpampang pada nama kelab ini. Jersi untuk aksi di halaman sendiri turut melambangkan negara Palestin, dengan warna merah, hijau dan putih menjadi asas.

Oleh kerana itu, tidak menghairankan Stadium Perbandaran de La Cisterna yang menjadi gelanggang tuan rumah kepada Deportivo Palestino sering dihiasi dengan bendera Palestin dan juga kufiya oleh penyokong setia mereka yang bertandang memberi sokongan.

Kebanggan rakyat Palestin

Bekas pemain kebangsaan Palestin, Roberto Kettlun pernah beraksi selama dua musim bersama Deportivo Palestino.

“Saya beraksi selama dua musim bersama Palestino. Ia adalah pengalaman yang menakjubkan. Mereka memiliki pengurusan yang sangat profesional. Beraksi bersama Palestino membuatkan saya rasa sangat dekat kepada tanah air asal usul saya.”

“Setiap kali saya melangkah ke padang, saya dapat merasakan bukan sahaja rakyat Chile yang meyaksikan aksi kami. Malah saya dapat merasakan jutaan penonton lain yang mempunyai salasilah yang sama turut memberi sokongan kepada kami,” ujar Kettlun.

Sebastian Manriquez, pengulas sukan untuk stesen radio di Chile turut berkata:

“Deportivo Palestino bukan sekadar sebuah kelab bola sepak di La Cisterna. Ia adalah sebuah organisasi yang dihormati di Chile. Kelan ini adalah lambang kepada asasl usul tertubuhnya kelab ini di Chile dan kerana ingatan terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Timur Tengah.”

Menurut Manriquez lagi, kelab bola sepak ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara berbanding dengan kelab bola sepak lain di Chile.

Apa tidaknya. Pemain-pemainnya akan turun beraksi di dalam setiap perlawanan, namun ingatan dan hati mereka akan berada beribu kilometer di bumi Palestin.

Ini kerana mereka mengetahui ada lebih ramai penyokong yang bersama mereka walaupun terpaksa mengalami kesengsaraan dan penderitaan akibat penindasan oleh rejim Zionis di bumi Palestin sendiri.

Oleh kerana itu, mana-mana lawan pasti akan menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan Deportivo Palestino. Perlawanan akan menjadi bertambah sengit, dan ada kalanya timbul konfrontasi di atas padang akibat semangat melawan yang dibawa pemain.

Begitu juga dengan penyokong. Mereka bukan hadir semata-mata hanya kerana menyokong sebuah kelab bola sepak. Di La Cisterna, ia ibarat sebuah negara yang dahagakan kemenangan, demi sesuatu yang boleh dibangakan oleh seluruh wilayah.

Semua ini terjadi apabila semua pihak tanpa meminati bola sepak atau tidak bersatu bersama-sama demi Deportivo Palestino. Dengan kata lain, La Cisterna berubah ibarat negara Palestin!

Pengaruh Sosio budaya Palestin-Chile di Timur Tengah 

Hubungan antara Chile dan Palestin yang telah wujud sejak lebih sedekad yang lalu turut mengubah sosio budaya di negara Amerika Selatan itu dengan lahirnya masyarakat Palestin-Chile.

Persatuan Bola Sepak Palestin mengambil sikap terbuka dengan konsep ini, dan ia telah menyaksikan ribuan masyarakat Palestin-Chile yang tidak pandai berbahasa walau sepatah pun bahasa Arab  hadir meredah perjalanan sejauh ribuan batu untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan Palestin dalam aksi-aksi di pentas antarabangsa.

Keadaan di Palestin menyebabkan Persatuan Bola Sepak negara tersebut sukar untuk melaksanakan urus tadbir dari segi logistik.

Perlawanan turut sukar diadakan di Gaza atau di luar Palestin. Begitu juga dengan latihan pusat untuk persiapan menghadapi perlawanan antarabangsa.

Salah satu pilihan lain, ialah untuk menyerap masuk pemain dari luar yang mempunyai salasilah dari negara berkenaan. Ada juga di kalangan negara Timur Tengan yang menggunakan khidmat pemain naturalisasi

Jika Qatar memiliki pemain kelahiran Uruguay seperti Sebastian Soria dan Emerson Sheik, perubahan sosio budaya Palestin-Chile bukan sekadar datu trend, tetapi lebih berkait rapat dengan tanah tumpah asal nenek moyang mereka.

Impak kepada bola sepak Palestin

Bagi skuad kebangsaan Palestin, segalanya bermula daripada individu bernama Nicola Shahwan. Shahwan adalah salah seorang pelarian Palestin yang sudah lama menetap di Chile.

Beliau telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Palestin pada 2002. Pengaruh Palestin-Chile semakin berkembang selepas itu.

Bersama Shahwan, beliau turut membawa masuk beberapa pemain dari Chile yang telah diberikan pelepasan oleh FIFA untuk mewakili Palestin atas tiket salasilah dan asal usul mereka.

Hari ini kita boleh melihat nama-nama seperti Alexis Norambuena, Jonathan Cantillana dan juga Daniel Kabir Mustafa bersama skuad kebangsaan Palestin.

Secara kasar, corak permainan skuad kebangsaan Palestin ialah ‘direct football’, bertunjangkan kekuatan fizikal yang dimiliki oleh pemain tempatan.

Pada hari ini, Palestin boleh berbangga untuk berada di kedudukan ke-104 dunia di dalam ranking FIFA. Ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan, mengambil kira keadaan negara mereka yang porak peranda dan berada di atas Israel yang merupakan musuh kepada Palestin.

Cabaran Club Deportivo Palestino

Walaupun berpusat di Chile, Club Deportivo Palestino sering kali lantang dalam menyuarakan hak mereka untuk menentang Israel yang menduduki bumi Palestin.

Pada Januari 2014, mereka telah didenda oleh Konfederasi Bola Sepak Chile kerana memaparkan peta Palestin sebelum kewujudan Israel pada jersi mereka.

Ia adalah simbolik kepada penafian mereka akan kewujudan wilayah yang dimiliki Israel. Namun demikian, di dalam bola sepak ia dianggap sebagai satu tindakan diskriminasi, yang dilarang sama sekali dalam bola sepak, walau dalam apa bentuk sekali pun.

Akibatnya, kelab bola sepak yang berpengkalan di Santiagi itu didenda sebanyak $1,300 oleh badan bola sepak Chile, dan diarahkan untuk menukar rekaan pada jersi mereka.

Walaupun terpaksa akur dengan perundangan badan bola sepak berkenaan, Deportivo Palestino terus lantang dalam menyuarakan bantahan terhadap rejim Israel dengan mesej-mesej di Facebook rasmi kelab berkenaan.

Sebelum bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengambil langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata-kata: “For us, free Palestine will always be historical Palestine, nothing less.” menghiasi laman Facebook rasmi kelab bola sepak berkenaan.

Pada hari ini kata-kata: “Jerusalem is the capital of Palestine”, turut menghiasai gambar profil Facebook kelab bola sepak berkenaan.

Rumusan

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Mungkin demikianlah ungkapan terbaik untuk menggambarkan Club Deportivo Palestino pada hari ini.

Walau apa pun prestasi Club Deportivo Palestino di Primera Division Chile, perjuangan mereka di atas padang pada hari ini sudah melangkaui bola sepak.

Ia adalah mesej jelas daripada sebuah kelab, antara yang paling unik pernah wujud di dalam sejarah bola sepak dunia; dikuatkan dengan agenda politik demi kelangsungan sebuah bangsa; mengalirkan perjuangan bumi Palestin dengan cara mereka tersendiri.

 

Baca artikel lain mengenai bola sepak Palestin melalui pautan:

Beitar Jerusalem: Kelab Paling Rasis & Paling Anti-Muslim Di Israel

Penyokong Celtic Lancar Kempen Kutip Dana Untuk Rakyat Palestin Di Gaza

Penyokong Celtic Serah Cek Bernilai RM980 Ribu Kepada Rakyat Palestin

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN