Beitar Jerusalem: Kelab Paling Rasis & Paling Anti-Muslim Di Israel

Dalam konteks bola sepak, tiada sebab untuk peminat bola sepak di Malaysia untuk mengenali Beitar Jerusalem. Ia berpangkalan di bandar Baitul Maqdis, merupakan salah sebuah kelab terbesar di Israel Premier League, tak pernah melepasi pusingan kedua kelayakan UEFA Champions League dan pusingan playoff UEFA Europa League dan sebuah kelab berideologi konservatif.

Tetapi apabila kumpulan ultrasnya – yang dikenali dengan nama ‘La Familia’ – konsisten memainkan sentimen anti-Muslim dan menyanyi lagu yang menghina Nabi Muhammad SAW sejak 2005, lain ceritanya. Anda perlu kenal Beitar Jerusalem.

Diasaskan oleh konservatif untuk konservatif

Ditubuhkan pada 1936 oleh Shmuel Kirschstein dan David Horn, dua penyokong kuat ideologi Revisionist Zionism.

Sebagai penyokong ideologi Revisionist Zionism, Kirschstein dan Horn percaya serangan orang Arab terhadap penempatan orang Palestin berbangsa Yahudi di Tel Hai dan Galilee (di Tebing Barat) pada era 1920-an dan 1930-an hanya boleh dihentikan dengan tindakan ketenteraan.

Selain itu, Revisionist Zionism juga menyokong pembentukan negara Israel di wilayah Palestin dan Jordan. Matlamat inilah yang menarik minat ramai pemuda berbangsa Yahudi untuk menyokong ideologi sehingga mencetuskan pembentukan sayap pemuda berideologi Revisionist Zionism yang dinamakan ‘Beitar’.

Gerakan Beitar sangat popular sehinggakan tertubuhnya banyak cawangan di Eropah. Di Baitul Maqdis, pengasas cawangannya adalah Kirschstein dan Horn.

Inisiatif Kirschstein dan Horn menubuhkan cawangan Beitar di Baitul Maqdis kemudiannya mendapat sokongan ahli-ahli militan Irgun dan Lehi yang diburu pihak berkuasa. Apabila sokongan semakin bercambah, timbul pula idea untuk menyebarkan ideologi mereka melalui medium sukan bola sepak pula.

Maka tertubuhlah kelab bola sepak Beitar Jerusalem.

Disebabkan identitinya yang diasaskan oleh pendokong Gerakan Beitar, maka tak hairanlah Beitar Jerusalem mendapat sokongan golongan konservatif bersayap kanan dari Parti Likud di Israel.

Siapa pengasas Parti Likud? Tak lain tak bukan Ariel Sharon (dan Menachem Begin). Perdana Menteri Israel sekarang, Benjamin Netanyahu dari parti mana? Tak lain tak bukan Parti Likud.

Embed from Getty Images

La Familia: avatar sentimen anti-Arab di Beitar Jerusalem

Apabila kelab anda diasaskan oleh golongan nasionalis, adalah tak menghairankan jika kelab anda disokong oleh golongan patriotik yang ada kalanya boleh menjadi terlalu patriotik sehingga bersikap rasis dengan golongan yang berlainan bangsa dengan mereka.

Di Israel, Beitar Jerusalem terkenal dengan identiti anti-Arab dan anti-Muslim mereka. Sepanjang sejarah kelab, mereka tak pernah menandatangani pemain berbangsa Arab.

Ini menimbulkan masalah bagi pemilik kelab. Apabila kelab anda berpangkalan di sebuah negara yang 20% populasinya terdiri daripada warganegara berbangsa Arab, sudah tentu anda akan jumpa 1-2 pemain Arab yang berkualiti.

Tetapi malangnya, anda tak boleh menandatangi pemain tersebut – hanya kerana identiti ‘kesucian bangsa Yahudi’ di kelab yang diagung-agungkan penyokong anda.

Watak utama pendokong identiti ini adalah La Familia – kumpulan ultras Beitar Jerusalem.

Embed from Getty Images

Berbeza dengan rata-rata pengurusan kelab yang berideologi tengah-kanan, La Familia adalah kumpulan penyokong tegar yang berideologi paling kanan. Mereka mungkin hanya mewakili kira-kira 20% sahaja penyokong Beitar, tetapi merekalah yang paling bising, paling bersemangat dan paling radikal.

Ditubuhkan pada tahun 2005, La Familia sangat percayakan ketuanan bangsa Yahudi di bumi Israel. Mereka terkenal dengan sorakan rasis terhadap pemain lawan yang berbangsa Arab, sorakan ‘bangsa Arab boleh pergi mati’, ‘kami rasis dan kami bangga’, ‘Muhammad seorang ***********’ dan ‘ibu Muhammad seorang *******’.

نعوذ بالله من ذلك

Nota editor: Kami menapis chant sebenar La Familia selepas mendapat nasihat daripada pembaca. Untuk melihat sendiri chant sebenar mereka, sila baca laporan ini dan ini.

Insiden kontroversi La Familia

Persatuan Bolasepak Israel (IFA) yang perlu mendokong prinsip anti-rasisme ‘Kick It Out’ sebagai syarat menjadi ahli FIFA, bukannya tidak pernah menghukum Beitar Jerusalem atas kelakuan La Familia. Cuma La Familia terlalu degil.

Inilah yang membuatkan setiap pemilik Beitar Jerusalem resah. Mereka ditekan oleh FIFA, UEFA, IFA, media antarabangsa dan kelab-kelab lain supaya menghentikan kelakuan La Familia ini. Tetapi mereka sendiri tahu – memujuk orang rasis supaya berhenti menjadi rasis adalah umpama mencurah air ke daun keladi.

Kes terbaik berlaku pada tahun 2013.

Selepas bertahun-tahun didenda oleh IFA dek kerana kelakuan La Familia, Beitar Jerusalem bertindak menandatangani dua pemain berbangsa Chechnya – tetapi beragama Islam: Dzhabrail Kadiyev dan Zaur Sadayev.

Embed from Getty Images

Mesej dari pengurusan Beitar kepada La Familia adalah jelas – tengok dahulu cara dua pemain Muslim ini bermain sebelum berkelakuan rasis. Tetapi ia tidak dipedulikan oleh La Familia.

Pada hari pertama Kadiyev dan Sadayev menjalani latihan, La Familia galak memprovok pemain kelab mereka sendiri. Bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Israel, La Familia kemudiannya bersorak ‘Perang! Perang! Perang!’ dan ‘Berambuslah ke Masjid Al-Aqsa!’.

Sehari selepas sesi latihan itu, La Familia membakar pejabat kelab mereka sendiri sebagai tanda protes terhadap tindakan pengurusan kelab menandatangani dua pemain beragama Islam.

Kemudian pada perlawanan debut Sadayev dan Kadiyev, Allah memberi sedikit dos ironi kepada La Familia. Sadayev berjaya menjaringkan gol. La Familia berbelah bahagi – nak sorak atau tidak? Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk beredar dari stadium – juga sebagai tanda protes.

Kemudian pada musim panas 2019, sikap merepek La Familia dibogelkan lagi.

Pada ketika itu, Beitar Jerusalem baru sahaja menandatangani seorang pemain tengah Niger bernama Ali Mohamed. Pihak pengurusan kelab awal-awal lagi telah menjelaskan Mohamed sebenarnya beragama Kristian walaupun mempunyai nama seperti Muslim. La Familia masih tidak boleh menerima hakikat ini dan memulakan petisyen pula untuk menuntut Mohamed menukar namanya.

Walaupun beragama Kristian, Ali Mohamed tidak terlepas dari kecaman La Familia angkara namanya yang kedengaran seperti nama Muslim (Foto: The Times of Israel)

Apabila petisyen mereka tidak mendapat sokongan seperti yang diharapkan, La Familia bertindak memprovok Ali Mohamed – pemain kelab mereka sendiri – dalam sesi latihan.

Insiden ini membuatkan pemilik baru Beitar, Moshe Hogeg, tidak dapat bersabar lagi. Hogeg berkata beliau akan menggunakan kekayaannya untuk menyaman mana-mana penyokong kelab yang bertindak rasis terhadap Mohamed.

Ugutan Hogeg ini – yang peliknya – berjaya pula meredakan kelakuan rasis La Familia.

Rasisme takkan mati di Beitar Jerusalem

Boleh dikatakan selagi ada walau seorang pun orang Arab dan orang Islam di muka bumi ini, rasisme di Beitar Jerusalem takkan mati – walau seliberal mana pun pemilik kelabnya.

Apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan provokatif terhadap agama Islam baru-baru ini, sentimen anti-Islam kembali marak dalam kalangan penyokong kelab ini.

Ketika semakin ramai komuniti Islam di Semenanjung Gaza bangkit membuat protes terhadap sokongan Macron yang mempertahankan hak mempersenda agama (susulan kes pembunuhan guru di Perancis yang menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW kepada muridnya), La Familia tampil menyimbah minyak ke api.

Embed from Getty Images

Mereka kembali menyebarkan video sorakan mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW. Video yang dimuat naik ke YouTube pada Julai 2016 itu kini sedang tular di media sosial di Israel. Ini membuatkan ahli politik Israel beragama Islam, Ayman Odeh menyeru kepada YouTube supaya memadam video tersebut.

Itulah kisah Beitar Jerusalem – kelab yang mempunyai kumpulan penyokong paling rasis, paling anti-Muslim dan paling anti-Arab di dunia.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

https://semuanyabola.com/takut-rakyat-palestin-bersatu-israel-paksa-final-palestine-cup-dibatalkan/

Argentina Batalkan Perlawanan Persahabatan Dengan Israel Sebagai Menghormati Palestin

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN