Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Belasungkawa: Perginya Pak Nan, Pengasas Kotai FC Yang Melahirkan Bakat Azman Adnan

Apakah persamaan antara Azman Adnan, anak-anak Sidek, Nicol Ann David, Roslin dan Hafiz Hashim?

Soalan ini mungkin kedengaran sukar. Tetapi bagi mana-mana peminat sukan tanah air, mereka pasti tahu jawapannya – kesemua bintang sukan ini lahir daripada asuhan dan didikan bapa mereka yang amat meminati sukan.

Tanpa bapa-bapa yang meminat sukan seperti Adnan Ahmad, Dato’ Haji Sidek Abdullah Kamar, Desmond David dan Hassan Ikhsan, maka tak lahirlah jagoan-jagoan bola sepak, badminton dan skuasy negara.

Hari ini salah seorang daripada bapa-bapa berjasa ini, En. Adnan Ahmad telah pergi menyahut seruan Ilahi. En. Adnan Ahmad merupakan bapa kepada lagenda penyerang Selangor dan skuad kebangsaan era 90-an, Azman Adnan.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Latar belakang Pak Nan

Allayarham Adnan Ahmad atau lebih mesra dipanggil Pak Nan merupakan bekas tentera yang sangat meminati bola sepak.

Minat Pak Nan terhadap sukan bola sepak tidak sekadar terhad kepada menyokong semata-mata. Pak Nan turut mengambil inisiatif melatih anak-anaknya. Apatah lagi selepas melihat sendiri bakat Azman dan abangnya, Azhar sejak dari kecil.

Editor laman Facebook Retro Bola Sepak dan penulis buku biografi ‘Azman Adnan: Ini Ceritaku’, Zairudin Hj Hashim menceritakan semula kepada Semuanya BOLA tentang kisah Azman semasa bayi.

“Pernah sekali ada orang tersepak bola dan terkena Azman yang masih bayi. Ketika itu, Azman didukung oleh Pak Nan.”

“Kalau bayi lain menangis, Azman pula tidak. Ini membuatkan si penyepak bola dan Pak Nan sendiri terkejut,” cerita Zairudin.

“Si penyepak bola kemudiannya berkata kepada Pak Nan: Boleh jadi pengganti Mokhtar ni, pak cik.”

Orang tua-tua pernah berbicara – setiap kata-kata yang ikhlas itu adalah doa. Dan dengan izin Allah, Azman membesar menjadi salah seorang penyerang Malaysia yang berbisa – seperti Allayarham Mokhtar Dahari.

Tubuh Kotai FC

Apabila Pak Nan sekeluarga berpindah ke Flat Sri Melaka di Cheras, beliau kemudiannya menubuhkan kelab Kotai FC. Semuanya atas minat mendalam Pak Nan terhadap bola sepak serta kemahiran tinggi Azman Adnan semasa masih cilik.

Nama Kotai FC ini diambil daripada nama timangan Azman sendiri yang ketika itu mesra dipanggil Kotai.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Azman dilatih oleh Pak Nan selepas Solat Subuh setiap hari. Dibimbing oleh Pak Nan yang tegas; Azman dan abangnya perlu mengelilingi Flat Sri Melaka sekurang-kurangnya 20 kali. Mereka juga perlu berlatih menggelecek serta menendang dengan tepat dan padu.

Selain itu Azman turut dilatih supaya menajamkan pusingan (turning) badannya sebelum merembat ke arah pintu gol. Pusingan badan Azman begitu sukar dibayangi pemain pertahanan sehingga beliau digelar ‘Man Turn’ pula!

Azmil Azali dan B. Rajinikandh (pertahanan tinggi lampai negara era 90-an) pula pernah mengaku mereka sukar membaca pusingan badan Azman berbanding penyerang import berkaliber pada zaman mereka seperti Scott Ollerenshaw, Alistair Edwards, Brian Bothwell.

Pengulas perlawanan pula seakan boleh menjangka apa yang akan berlaku setiap kali Azman membuat pusingan badan.

Komentar “Azman membawa bola… menggelecek pertahanan lawan… Man, turn… Man… score!!! Golllll!!!” pasti akan bergema di kaca televisyen setiap kali Azman bermain.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Melihat usaha murni Pak Nan melatih anak-anaknya sendiri, ibu bapa di Flat Sri Melaka turut menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai Kotai FC.

Antaranya ialah Azrul Amri Burhan yang duduk di tingkat atas rumah keluarga Azman di Flat Sri Melaka.

Dalam era di mana ramai anak muda tewas dengan godaan najis dadah dan gejala sosial, Kotai FC berjaya menyediakan platform bersukan untuk anak-anak muda Kuala Lumpur.

Kotai FC memberi mereka harapan bahawa budak-budak KL yang miskin juga boleh berjaya jika ada kemahuan dan kesungguhan!

Sumbangan Kotai FC

Meskipun baru bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane, Azman sudah pun membarisi kesebelasan utama Kotai FC yang sering menjuarai pertandingan-pertandingan kecil di seluruh negara.

Untuk pengetahuan anda, pada ketika itu Kotai FC sudah pun dibarisi oleh lagenda-lagenda Kuala Lumpur seperti Fandi Ahmad, Mat Zan Mat Aris dan lain-lain.

Banyak kelab yang merungut setiap kali bintang-bintang ini mewakili Kotai FC. Sudahlah kelabnya bagus, dibarisi pemain yang pernah mewakili Malaysia dan Singapura pula!

Kejayaan Kotai FC pimpinan Pak Nan yang menggilap bakat pemain-pemain muda membolehkan Azman mewakili skuad utama Kuala Lumpur FA ketika umurnya masih belasan tahun.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Paling manis buat penyokong Kuala Lumpur adalah aksi Azman yang muda belia ketika menewaskan skuad berpengalaman Selangor di Stadium Merdeka dahulu.

Maka tak hairanlah penyertaan Azman ke Selangor FA menghancurkan hati ramai penyokong setia Kuala Lumpur.

Namun dari satu segi, ia merealisasikan impian Pak Nan yang mahu Azman menyarung jersi Merah Kuning dan mencontohi kehebatan SuperMokh.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Rumusan

Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Pak Nan dan Kotai FC yang diasaskannya.

Sebagai ibu bapa, kita boleh melihat betapa pentingnya penglibatan kita untuk menanam minat kepada anak-anak kita dalam sukan yang mereka ceburi.

Bayangkan betapa besarnya pengorbanan Pak Nan untuk mengasah bakat Azman dan budak-budak Flat Sri Melaka, Cheras untuk dijadikan bintang bola sepak tanah air. Pengorbanan dari segi masa, wang dan keringat.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Nama Pak Nan seharusnya dikenang kerana usahanya menggilap bakat Azman Adnan – antara sebilangan kecil penyerang tempatan paling berbisa pernah kita saksikan selepas Mokhtar Dahari.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

Nota editor: Artikel ini ditulis hasil sumbangan Zairudin Hj Hashim, editor Retro Bola Sepak (RBS), penulis buku biografi ‘Azman Adnan: Ini Ceritaku’ dan penulis blog di chedinsphere.blogspot.com.