PAFA Online Store Dekatkan ‘Yop-Yong’ Dengan Pasukan Perak

PAFA Online Store

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan Kerajaan Malaysia akibat penularan wabak Novel Coronavirus (COVID-19) ketika ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) dengan pelancaran stor dalam talian, PAFA Online Store baru-baru ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Kehormatnya, Tuan Haji Mohamad Azlin Mohd Nadzri dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, pengenalan stor dalam talian tersebut membolehkan para peminat The Bos Gaurus di seluruh negara untuk mendapatkan barangan rasmi pasukan tanpa perlu hadir ke stor fizikal di Ipoh terutamanya ketika tempoh PKPB yang dilanjutkan sehingga Jun.

“Segala barangan rasmi pasukan seperti pakaian dan cenderamata akan dijual di laman sesawang khas yang disediakan buat semua peminat The Bos Gaurus iaitu store.peraktbg.my. Peminat tidak lagi perlu berasa runsing untuk mendapatkan barangan rasmi dan asli secara terus daripada pihak PAFA.

“Ini juga merupakan satu langkah yang diambil PAFA untuk memperkukuh kedudukan Perak sebagai salah satu pasukan utama di negara ini. Apabila dilancarkan baru-baru ini, kami telah pun menerima sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat di seluruh negara.”

Antara produk yang boleh didapati di PAFA Online Store.

Selain itu, Mohamad Azlin tidak menafikan bahawa PAFA sedikit terkesan dengan penularan COVID-19 yang membelenggu negara.

“Wabak yang membelenggu negara ini telah mengakibatkan Liga Malaysia ditangguhkan dan sudah tentu semua pasukan terlibat turut merasai kesannya terutamanya dari sudut kewangan.

“Oleh itu, PAFA harus mengambil langkah proaktif dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan pasukan terjaga selain terus mendekatkan pasukan dengan peminat.”, ujarnya lagi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditunda sehingga tarikh yang akan diumumkan, susulan penularan COVID-19.

PAFA Online Store boleh dilayari secara dalam talian di store.peraktbg.my.

Leave a Reply