Adib Raop adalah pemain yang memberi perbezaan kepada aksi Penang di babak kedua dan adakah beliau layak menjadi pilihan utama pasukan?
Beliau dimasukkan pada minit ke-56 menggantikan Azmeer Aris di posisi bek kiri dan membantu Penang untuk memberi tekanan demi tekanan buat Selangor. Malah mereka telah berhasil mengikat kedudukan selepas itu.
Minit ke-87, hasil sepakan percuma yang diambil Faris Shah Rosli, Rafael Vitor menanduk deras menewaskan Khairulazhan Khalid di gawang. Ia meledak gempita Stadium Bandaraya yang ternantikan jaringan pasukan.
Kemasukkan Adib dan Asnan Ahmad menjana permainan serangan yang menarik buat Harimau Kumbang, tetapi dikecewakan penyudah tumpul.
Malah, kemasukkan pemain tengah, Nik Akif Syahiran selepas itu telah menambah kreativiti dalam menjana serangan ke kubu The Red Giants.
Selangor FC raih kemenangan dramatik ke atas Penang FC!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/qAYuIY0u5H
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 12, 2023
Rahmat Makasuf antara yang menjadi tumpuan apabila tiga peluangnya di depan gawang dilepaskan begitu sahaja dengan percubaan yang sia-sia.
Jika ia dimanfaatkan dengan ledakan gol, sudah tentu skrip yang berbeza akan terjadi dan Penang yang akan membawa pulang tiga mata penuh.
Penang akhirnya tunduk 1-2 kepada Selangor apabila pemain tengah, Noor Al-Rawabdeh meledak jaringan kemenangan pelawat di minit ke-89.
Permainan menarik tuan rumah itu juga meraih sorakan penyokong yang sudah lama ternanti-nanti corak permainan sebegitu yang ‘menghilang’.
Adakah Adib layak untuk diberikan lesen besar untuk berada dalam kesebelasan utama selepas ini? Semuanya BOLA cuba mendapatkan jawapan daripada pengendali, Chong Yee Fatt mengenai perkara itu.
“Kita akan lihat bagaimana perlawanan selepas ini. Pemain yang kita akan turunkan, berbeza [ikut perlawanan]. Setiap pemain membawa corak permainan yang berbeza,” jelas Yee Fatt tentang kemungkinan tersebut.
“Ia bergantung kepada taktikal kita melihat kepada keputusan, pada setiap babak,” jelasnya lagi yang masih memburu kemenangan pertama.
Adib menyertai Penang pada musim lalu dan tampil positif sepanjang musim selepas diubah posisinya daripada pemain sayap kepada bek sayap.
Pengendali itu pernah menjelaskan sebelum ini yang pertukaran pemain dilakukan pada saat barisan kejurulatihan merasakan pemain itu mampu memberikan sesuatu apabila dimasukkan. Ia gagal dijelmakan berdepan Negeri Sembilan tetapi untuk aksi ini, ia hampir ‘membunuh’ lawan.
Mengulas tentang kegagalan Rahmat Makasuf menyudahkan peluang dimilikinya, ini komen Yee Fatt, “Jika kita lihat perlawanan sebelum ini, kita ada peluang macam ini. Cuma kita hanya tidak menyudahkannya. Saya harap kita akan jadi lebih tajam dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.“