Pablo Mari Tak Jadi Pergi Tinggalkan Arsenal

Pablo Mari Arsenal

Arsenal telah mengumumkan pihaknya telah bersetuju untuk mengikat pemain pertahanan, Pablo Mari secara tetap dengan harga €8 juta dan akan mengikat kontrak selama empat tahun selepas meminjam pemain berkenaan dari kelab Brazil, Flamengo pada Januari lalu

Sebelum ini, pemain Sepanyol berusia 26 tahun itu telah membantu Flamengo menjuarai Liga Brazil dan Copa Libertadores pada tahun lepas dan hanya sempat beraksi tiga perlawanan sahaja untuk The Gunners sebelum mengalami kecederaan serius pada buku lalinya ketika menentang Manchester City.

Karier Mari pada peringkat awal di Sepanyol bermula dengan Real Mallorca di mana beliau membuat debut ketika berusia 17 tahun. Beliau kemudian berhijrah ke kelab Catalan, Gimnastic de Tarragona dan beraksi selama tiga musim sebelum disambar Manchester City pada 2016.

Tanpa sempat membuat sebarang penampilan untuk The Citizen, Mari telah dipinjamkan selama tiga musim berturut-turut di tiga kelab berbeza – di Sepanyol bersama Girona untuk musim 2016/17, kemudian ke Belanda bersama NAC Brenda pada 2017/18 sebelum kembali semula ke Sepanyol bersama Deportivo La Coruna pada musim berikutnya.

Seorang lagi pemain yang dipinjamkan, Cedris Soares juga akan melengkapkan perpindahannya ke kelab utara London tersebut dari Southampton. Musim lepas beliau beraksi lima perlawanan liga untuk Arsenal dan menjaringkan gol ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Norwich City dalam penampilan pertamanya.

Memulakan kariernya bersama Sporting Lisbon, Cedric telah membuat 33 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal. Beliau merupakan anggota skuad negaranya yang menjuarai kejohanan EURO 2016 dan turut mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Dunia 2018.

Perkembangan mengenai Mari dan Cedric itu tentunya melegakan pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang mahukan skuad yang serba lengkap di semua posisi. Sebelum ini mereka telah pun menyambung kontrak pemain pertahanan berpengalaman, David Luiz.

Ianya mungkin akan disusuli dengan ketibaan Gabriel Magalhaes dari kelab Perancis, Lille dalam masa terdekat bagi menambah lagi kekuatan pasukan di bahagian pertahanan sebelum kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bermula pada 12 September ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Arsenal:

Leave a Reply