Alex Oxlade-Chamberlain dikatakan menolak tawaran untuk ke Chelsea walaupun selepas Arsenal bersetuju untuk membenarkan pemain tersebut untuk menuju ke Stamford Bridge.
Arsenal dilaporkan telah bersetuju menerima tawaran £40 juta yang ditawarkan Chelsea untuk pemain tersebut.
Pemain berusia 24 tahun itu sebaliknya mahukan perpindahan ke Anfield, untuk menyertai rejim Juergen Klopp jika Arsenal mahu menjualnya.
Bidaan daripada Liverpool untuk Alex Oxlade-Chamberlain dijangka akan tiba kepada Arsenal selewat-lewatnya pada Khamis, hari terakhir jendela perpindahan musim panas ini.
Bagaimanapun, bidaan oleh Liverpool untuk Alex Oxlade-Chamberlain dijangka lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh Chelsea.
Jika Arsenal gagal mencapai persetujuan untuk menjual pemain tersebut pada jendela perpindahan musim ini, maka Alex Oxlade-Chamberlain dijangka akan menghabiskan baki kontrak setahunnya di Emirates sebelum berpindah secara percuma ke mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Malah menjelang Januari 2018, Alex Oxlade-Chamberlain sudah dibenarkan untuk berbincang perihal kontrak dengan kelab lain berdasarkan peraturan Bosman.
Keadaan tidak memihak kepada Arsenal dalam kes Alex Oxlade-Chamberlain, menyebabkan hierarki di Arsenal mahukan penyelesaian segera untuk bekas pemain akademi Southampton itu.
Oxlade-Chamberlain telah beraksi di dalam kesemua 3 perlawanan pada musim ini untuk Arsenal, termasuk dalam kekalahan 4-0 kepada Liverpool.
Pengurus Chelsea, Antonio Conte jelas mahu memperkuatkan skuad kendaliannya, Chelsea sebelum jendela perpindahan musim panas ini ditutup pada tengah malam 31 Ogos akan datang.
Bintang England itu telah tampil sebanyak 198 kali dan menjaringkan 9 gol untuk Arsenal sejak menyertai kelab London itu daripada Southampton pada Ogos 2011.
Alex Oxlade-Chamberlain adalah bakat muda yang menyertai akademi Southampton sejak berusia 7 tahun.
Pada 2 Mac 2010, pemain sayap ini melakukan penampilan pertama untuk skuad senior Southampton pada usia 16 tahun, 199 hari dalam kemenangan 5-0 ke atas Huddersfield Town.
Penampian tersebut menjadikan Oxlade-Chamberlain sebagai pemain kedua termuda yang pernah tampil untuk Southampton selepas Theo Walcott yang juga merupakan rakan sepasukan beliau di Arsenal.
Rekod Alex Oxlade-Chamberlain adalah lebih baik di peringkat antarabangsa dengan 27 penampilan sejak melakukan debut antarabangsanya menentang Norway pada Mei 2012.
Sehingga ke hari ini, Alex Oxlade-Chamberlain telah menjaringkan 6 gol untuk England.
Sumber:
1. David Ornstein, BBC Sport (2017): Alex Oxlade-Chamberlain: Arsenal man turns down £40m Chelsea move; http://www.bbc.com/sport/football/41077833