5 Pilihan Kapten England FA Yang Baharu Dan Siapa Pilihan Kami?

Menjelang minggu perlawanan antarabangsa Gareth Southgate dan England punyai satu dilema: Siapakah yang selayaknya akan mendapat lilitan kapten skuad The Three Lions?

Harry Kane telah diberikan tugas sebagai kapten dalam perlawanan persahabatan menentang Scotland dan Sepanyol pada Jun yang lalu. Tetapi lilitan itu adalah sementara kerana ketiadaan Wayne Rooney.

Selepas persaraan Wayne Rooney dari pentas antarabangsa, England memerlukan seorang lagi pemain yang dominan di kalangan ahli pasukan untuk memimpin skuad England.

David Beckham, Steven Gerrard, Alan Shearer dan John Terry adalah antara bekas kapten pasukan England yang punyai karisma dan sifat kepimpinan di atas padang sebelum Wayne Rooney.

Menjelang perlawanan menentang Malta dan Slovakia dalam pusingan kelayakkan Piala Dunia zon Eropah, kami senaraikan beberapa nama yang punyai potensi untuk dipilih oleh Gareth Southgate sebagai calon kapten secara tetap skuad England.

1. Eric Dier

Antara sifat yang harus dimiliki oleh seorang kapten ialah sentiasa kerap beraksi di dalam kesebelasan utama. Pemain pertahanan tengah adalah salah satu posisi yang menyaksikan England tidak punyai banyak pilihan pemain.

Kecemeralangan Dier berbanding pemain-pemain Inggeris yang lain di posisi tengah tersebut tidak boleh disangkal. Oleh kerana itu, Eric Dier sering menjadi pilihan automatik Gareth Southagate di posisi tersebut.

Pada usia 23 tahun, Eric Dier mungkin agak muda untuk memikul tanggungjawab sebagai kapten. Dier punyai sedikit sifat baran dan sukar mengawal perangainya di atas padang dengan bentesan-bentesan liar terutama dalam perlawanan besar.

Namun mempercayakan Eric Dier dengan lilitan kapten turut boleh memberikan lebih rasa tanggungjawab dan kematangan kepada pemain seusia Dier.

Malah lilitan kapten tersebut boleh memacu karier antarabangsanya selepas 19 penampilan bersama England sejak debut pertamanya pada 2015. ‘Mr. Dependapble (Pemuda Harapan) England? Kenapa tidak?

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

2. Jordan Henderson

Jordan Henderson telah membuktikan beliau mampu mengambil tanggungjawab kapten dari seorang legenda apabila Steven Gerrard bersara sebagai pemain di Liverpool. Sehingga kini, Henderson telah melaksanakan amanah itu dengan penuh kematangan.

Disebabkan itu, kami tidak melihat Henderson punyai masalah untuk mengambil alih peranan daripada seorang lagi legenda- Wayne Rooney.

Pada usia 27 tahun, Henderson berada di kemuncak prestasi untuk seorang pemain bola sepak.

Tindakan Henderson memuji rakan sepasukan di Liverpool, Trent Alexander-Arnold selepas persembahan cemerlang menentang Hoffenheim adalah salah satu contoh sifat kepimpinan beliau dalam mendorong pemain muda.

Skuad England pada hari ini mempunyai ramai pemain-pemain muda seperti Eric Dier, Dele Alli, John Stones dan juga Jordan Picford yang merupakan generasi baru skuad The Three Lions.

Jika Gareth Southgate mahukan seorang pemimpin untuk skuad mudanya, maka Jordan Henderson merupakan pilihan paling tepat untuk lilitan kapten The Three Lions.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

3. Jack Butland

Jika karakter luaran diambil kira, maka Jack Butland adalah kapten England di dalam senarai menunggu. Kecederaan ketika mewakili England di Berlin pada tahun lalu sedikit sebanyak merencatkan karier antarabangsa Butland.

Jika tidak kerana kecederaan tersebut, Butland pasti pilihan utama Gareth Southgate di posisi penjaga gol, jika prestasi semasa sebelum keretakkan buku lali tersebut berlaku.

Penjaga gol England berusia 25 tahun ini mempunyai perwatakan yang digemari oleh wartawan. Butland sentisa memberi jawapan yang meyakinkan tetapi penuh dengan sikap rendah diri, tanpa mengira keputusan perlawanan.

Idea untuk seorang penjaga gol memakai lilitan kapten mungkin kurang digemari oleh penyokong England. Nama Butland sendiri juga mungkin tidak sepopular seperti rakan sepasukan yang beraksi bersama kelab yang lebih besar.

Tetapi jika mengambil kira kehadiran dominan di dalam pasukan terutama sepanjang 90 minit aksi di padang, Butland adalah individu yang paling sesuai.

Penjaga gol Stoke ini bukan sahaja mempunyai kelebihan fizikal di atas padang. Lebih dari itu, kualiti individu pada Butland membuatkan beliau antara pemain yang dihormati di kalangan rakan sepasukannya.

Sikap hormat kepada seseorang pemain terutama di dalam pasukan yang mempunyai dereta pemain bintang hanya membuktikan Butland punyai kualitinya yang tersendiri.

Jika Jack Butland adalah pilihan Southgate, maka skuad England berada di dalam sepasang tangan yang selamat!

. (Photo by Clive Rose/Getty Images)

4. Harry Kane

Harry Kane adalah pemain kegemaran ramai. Ramai berpendapat Kane sepatutnya diberikan lilitan kapten pasukan England selepas Wayne Rooney mengumumkan persaraannya.

Tidak ramai calon yang layak di dalam skuad England pada hari ini yang mempunyai karisma kapten-kapten terdahulu. Dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak untuk 2 musim berturut-turut di EPL, sudah tentu perhatian penyokong England adalah kepada Kane.

Kane sudah pun mempunyai pengalaman memimpin England dalam 2 perlawanan antarabangsa terdahulu- dan Kane telah membuktikan beliau boleh menjadi kapten yang baik.

Di peringkat kelab, Harry Kane telah dilantik oleh Mauricio Pochettino sebagai penolong kapten. Jelas Kane dibentuk untuk menjadi seorang pemimpin di kalangan rakan sepasukannya.

Pada usia 24 tahun, Kane mempunyai masa depan dan karier yang panjang di hadapannya jika kecederaan tidak membantut perancangan masa depan penyerang Tottenham Hotspur itu.

Kane adalah calon yang memiliki semua kriteria yang ditetapkan sebagai seorang kapten. Jika Kane adalah pilihan Southgate, maka kita akan menyaksikan seorang lagi pemain England yang akan memakai lilitan kapten untuk 10 tahun akan datang.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

5. Adam Lallana

Adam Lallana mungkin bukan pilihan popular di kalangan pengikut bola sepak England. Tetapi kenapa tidak Lallana diberikan peluang untuk membuktikan kredibilitinya sebagai pemimpin di atas padang?

Lallana adalah antara pemain England yang menonjol dalam kejohanan Euro 2016 yang lalu. Anugerah Pemain Terbaik England 2016 sekadar membuktikan kenapa Lallana adalah antara pemain penting skuad The Three Lions.

Walaupun Lallana bukan kapten kepada kelabnya sekarang iaitu Liverpool, Lallana telah memainkan peranan sebagai kapten dengan baik ketika beliau bersama Southampton pada musim 2013-14.

Malah prestasi terbaik Adam Lallana pada musim tersebut, disifatkan antara yang terbaik pernah dilaluinya. Ini membuktikan Lallana tidak rasa gentar untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang kapten.

Lallana sedang mengalami pemulihan selepas kecederaan ‘harmstring’ yang dialaminya.

Selepas pulih dan cergas sepenuhnya, Lallana sudah pasti akan menjadi antara pemain pilihan Southgate menjadikan antara sebab mengapa pemain Liverpool ini antara calon kapten yang wajar dipertimbangkan.

Adam Davy – EMPICS / Contributo

Pilihan kami: Tidak ada pemain yang layak

Benar. Kami tidak memikirkan mana-mana pemain di dalam skuad England sedia ada layak untuk memakai lilitan kapten jika karisma dan ciri-ciri kapten The Three Lions sebelum ini diambil kira.

Untuk menjadi seorang kapten skuad kebangsaan England, anda harus menjadi wajah England. Ia bukanlah tanggungjawab mudah untuk dipikul. Seorang kapten untuk pasukan seperti England memerlukan lebih dari sifat kepimpinan.

Ia perlukan ciri yang lebih dinamik.

England sudah terlalu lama tidak memenangi trofi di peringkat antarabangsa. Steven Gerrard, David Beckham, John Terry, Alan Shearer, Tony Adams dan juga Wayne Rooney, kesemuanya gagal memimpin pasukan England untuk memenangi trofi dalam kejohanan-kejohanan besar.

Buat masa ini kami berpendapat adalah lebih baik untuk Gareth Southgate menggilirkan peranan kapten di kalangan calon-calon pemain yang difikirkan sesuai.

Akan tiba satu hari nanti sebelum sepak mula Piala Dunia 2018 di Rusia, Southgate akan menemui sendiri kapten pilihannya.

Sumber:

1. Squawka (2017): Debate: Who should replace Wayne Rooney as England captain?;http://www.squawka.com/news/debate-who-should-replace-wayne-rooney-as-england-captain-analysis/983621#XJh0WBrShgX3ViCZ.99

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN