Dengan Kemasukan Kylian Hazard Ke Chelsea, Mari Kenali 4 Adik Beradik Hazard

Selepas Eden dan Thorgan Hazard pada tahun 2012, Chelsea melengkapkan perpindahan seorang lagi ahli keluarga Hazard semalam apabila menandatangani Kylian Hazard dari kelab Hungary, Ujpest. Kylian, 22, akan menyertai skuad bawah-23 Chelsea.

Bermain di posisi sayap kiri seperti abangnya, Eden, Kylian merupakan produk akademi LOSC Lille sebelum berhijrah ke kelab Belgium, White Star Brüssel (2013) dan Zulte Waregem (2015).

Dengan perpindahan masuk Kylian juga, bermakna Chelsea sudah menandatangani 3 adik-beradik Hazard. Eden Hazard kini merupakan pemain kesebelasan utama Chelsea sejak berpindah dari Lille pada 2012.

Thorgan Hazard yang menyertai Chelsea beberapa hari selepas abangnya, Eden, kini merupakan pemain kesebelasan utama kelab Bundesliga, Borussia Mönchengladbach selepas 3 musim berkelana di barat London.

Eden, Thorgan dan Kylian mempunyai seorang lagi adik mereka, Ethan Hazard yang kini baru berusia 14 tahun. Adakah Chelsea akan menandatangi Ethan juga pada satu masa nanti?

Kenali adik-beradik Hazard

1. Keempat-empatnya bermain di posisi sama

Uniknya adik-beradik Hazard ini adalah kerana keempat-empat mereka bermain di posisi sama sejak remaja sehinggalah kini.

Eden Hazard sehingga kini masih merupakan salah satu penyerang sayap kiri terbaik di dunia. Thorgan yang muda 2 tahun daripada Eden, juga merupakan penyerang sayap kiri sebelum diajar bermain di posisi pemain tengah menyerang di Mönchengladbach oleh bekas pengurus, Lucien Favre.

Kylian Hazard yang lahir 2 tahun selepas Thorgan, juga merupakan seorang penyerap sayap kiri di Ujpest. Begitu juga Ethan Hazard yang kini bermain di skuad bawah-15 kelab kecil Belgium, Tubize.

2. Siapa paling hebat?

Antara Eden, Thorgan dan Kylian, jelas sekali Eden yang paling terkenal kerana kehebatannya di mata peminat bola sepak Eropah.

Ketika di Lille, Eden pernah menjadi Pemain Terbaik Ligue 1 pada musim 2010/2011, 2011/2012 selain merangkul anugerah Pemain Muda Terbaik Ligue 1 pada 2 musim sebelumnya, 2008/2009 dan 2009/2010.

Sebaik berhijrah ke Chelsea pada 2012, Eden pernah menjadi Pemain Terbaik Premier League dan Pemain Terbaik PFA 2014/2015 serta Pemain Muda Terbaik PFA pada musim 2013/2014. Beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Chelsea untuk 3 musim berturut-turut sejak 2014.

Tetapi Thorgan juga tidak kurang hebatnya.

Ketika dipinjamkan oleh Chelsea ke Zulte Waregem, Thorgan pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Belgium Pro League 2014. Paling menarik, anugerah tersebut turut disampaikan sendiri oleh adik beliau, Ethan.

Apabila berhijrah ke Borussia Mönchengladbach, Thorgan muncul pemain paling disayangi oleh penyokong melalui siri persembahan cemerlangnya pada musim 2015/2016 yang membantu kelab menduduki tangga ke-4 Bundesliga.

Ini sekaligus membantu Mönchengladbach layak ke pusingan play-off UEFA Champions League 2016/2017.

Tetapi jika kita tanya soalan ini kepada Eden sendiri, beliau mempunyai jawapan lain.

“Siapa paling hebat? Mak saya!” dedah Hazard ketika ditemuramah oleh Chelsea TV

Ibu adik-beradik Hazard ini, Carrine (gambar bawah, tiga dari kiri), merupakan bekas pemain profesional Divisyen Satu Wanita Belgium sebelum bersara selepas mengandungkan Ethan.

(Picture by Raphael Cardinael/Photonews via Getty Images)

Bapa adik-beradik Hazard, Thierry juga merupakan bekas pemain bola sepak profesional. Beliau pernah bermain bersama kelab divisyen ke-2 Belgium, La Louviere ketika zaman mudanya.

Sumber:

1. Mathew Nash (2014). Not Thorgan! Eden Hazard reveals best footballer in his family … his mum!. HITC. http://www.hitc.com/en-gb/2014/04/26/not-thorgan-eden-hazard-reveals-best-footballer-in-his-family-hi/

2. Football Wonderkids (2017). Player profile – Ethan Hazard. Football Wonderkids. http://football-wonderkids.co.uk/player/ethan-hazard/

3. Chelsea (2017). Kylian Hazard signs. Chelsea FC. http://www.chelseafc.com/news/latest-news/2017/08/kylian-hazard-signs.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN