Penyerang Arsenal, Olivier Giroud yang tampil memberi bayangan mahu berpindah keluar daripada Emirates baru-baru ini, telah mendapat pelbagai respon atas kenyataannya itu.
Salah seorang alumni ‘Arsenal Invincible Squad’, Robert Pires memohon Giroud untuk terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama pengurus, Arsene Wenger, sebelum membuat sebarang keputusan.
Giroud yang kini berusia 31 tahun dilihat telah menjadi pilihan kedua kepada Wenger dan tampak masih belum dapat menembusi kesebelasan utama pasukan sejak kemasukkan Alexandre Lacazette.
“Situasi kini tidak mudah baginya (Giroud) kerana dia mahu pergi dan beraksi untuk Perancis di Piala Dunia.
“Sebagai pemain, dia tampak tidak selesa (dengan situasi tersebut) tetapi itulah bola sepak dan Arsene Wenger juga dalam dilema ketika ini, samaada untuk memilih Giroud atau Lacazette,” ujar Pires kepada Goal.com.
Pires menyatakan perkara pertama yang dia akan lakukan jika dia berada di dalam situasi Giroud adalah berjumpa dengan Wenger dan juga ketua eksekutif, Ivan Gazidis.
“Selepas pertemuan itu, baru dia boleh buat keputusan, tetapi saya faham situasi Giroud, dia sebenarnya tidak selesa ketika ini,” jelas Pires yang sehingga kini masih berlatih di pusat latihan Arsenal di London Colney.
Walaubagaimanapun, bercakap kepada Standard Post, Wenger berpendapat, mungkin terdapat salah faham kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Giroud itu.
“Saya telah membacanya, ia bukan apa yang dia (Giroud) maksudkan. Selalunya, itulah cara anda tafsirkan. Namun secara peribadi, saya mahu dia kekal sehingga akhir musim dan kemudian baru kita akan lihat.”
“Bagi saya, dia bukanlah pemain simpanan, dia adalah pemain utama, namun saya mempunyai ramai penyerang yang baik dan anda tidak boleh turunkan mereka secara serentak,” ulas Wenger lagi.
Sementara itu, menurut penulis Pain In The Arsenal, Andrew Dowdeswell, situasi tersebut sama sekali tidak akan berubah, samaada Giroud berpindah atau terima sahaja perubahan peranannya di dalam pasukan.
“Giroud adalah pemain yang bagus. Tetapi dia tidak perlu menjadi pemain dalam kesebelasan utama. Masa itu telah berlalu. Sudah tiba masanya untuk dia dan kelab bergerak ke hadapan,” jelas Dowdeswell dalam tulisannya.