George Weah: Pemenang Ballon d’Or Pertama Afrika, Kini Calon Utama Presiden Republik Liberia

Weah

Satu masa dahulu George Weah tiba di London untuk menyertai Chelsea ketika kelab Stamford Bridge itu berada di bawah kendalian pengurus dari Itali, Gianluca Vialli.

Penyokong Chelsea tidak perlu menunggu lama untuk melihat aksi George Weah yang berusia 34 tahun pada masa itu.

Ini adalah kerana beliau diberikan pelepasan oleh pihak FA untuk beraksi menentang Tottenham Hotspur, pada hari yang sama beliau menandatangani kontrak bersama Chelsea.

Vialli memasukkan Weah sebagai pemain gantian ketika perlawanan berbaki 30 minit, dan beliau tidak mengecewakan dengan jaringan tunggal perlawanan 3 minit sebelum wisel penamat untuk memberikan 3 mata untuk Chelseaa.

Pada musim 1999-2000 itu juga, Weah turut membantu Chelsea  layak sehingga ke perlawanan akhir Piala FA.

Selepas menjaringkan 5 gol daripada 14 perlawanan untuk Chelsea, Weah berada di dalam kesebelasan utama untuk bertemu Aston Villa- perlawanan akhir terakhir yang diadakan di Stadium Wembley sebelum ia ditutup untuk kerja menaik taraf.

Latar belakang

Nama sebenar Weah ialah George Manneh Oppong Ousman Weah. Beliau dilahirkan pada 1 Oktober 1966 di sebuah perkampungan miskin di Monrovia, Liberia.

Ayah beliau adalah seorang Afrika berketurunan Ghana, T.Weah dan ibunya dikenali sebagai Anna Ouyeweah. Disebabkan kemiskinan dan desakan hidup, Weah dibesarkan oleh neneknya, Emma Klonjlaleh Brown.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Weah mendapat pendidikan awal di Muslim Congress School sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Wells Hairston High School.

Bola sepak bukanlah karier pertama untuk Weah. Sebelum bakat bola sepaknya dikesan, Weah pernah bekerja sebagai seorang juruteknik untuk salah sebuah syarikat telekomunikasi di Liberia.

Tetapi nenek Weah merupakan antara individu awal yang memberi galakkan kepada Weah untuk serius di dalam bola sepak.

Karier awal bola sepak

Di peringkat awal karier bola sepak, Weah beraksi untuk beberapa buah kelab di Liberia. Antara kelab awal yang pernah disertai oleh Weah ialah Young Survivors, Bongrange Company, Mighty Barolle, dan juga Invincible Eleven.

Pada 1987, pada usia 21 tahun, bakat Weah dikesan oleh Arsene Wenger yang merupakan pengendali AS Monaco pada masa itu. Maka bermulalah perjalanan ‘mutiara daripada Afrika’ di benua Eropah.

(Photo by Bob Thomas/Getty Images)

Sepanjang kariernya bersama Monaco, Weah menjaringkan 55 gol melalui 155 penampilan di antara 1987 sehingga 1992. Pada satu ketika ratio jaringan Weah adalah 1 jaringan untuk setiap 2 perlawanan untuk Monaco di Ligue 1.

Kerana itulah Arsene Wenger- kini pengurus Arsenal, dianggap sebagai individu yang istimewa oleh Weah. Arsene Wenger dianggap seperti seorang ayah dalam karier Weah, menjadi individu yang bertanggungjawab untuk memberi kejayaan kepada beliau di Eropah.

Selepas Monaco, Weah turut beraksi bersama Paris Saint-Germain (1992-1995), AC Milan (1995-1999), Chelsea (1999-2000) dan juga Manchester City (2001) sebelum kembali ke Perancis bersama Olympic Marseille (2001-2002)

Paris St Germain’s George Weah celebrates. (Photo by Phil O’Brien/EMPICS via Getty Images)

Sepanjang 15 tahun karier di Eropah, Weah telah menjaringkan sejumlah 172 gol merentasi 3 negara di mana beliau pernah beraksi. Namun karier Weah di Eropah paling dikenang ketika beliau beraksi untuk AC Milan.

AC Milan, Ballon d’Or & Peman Terbaik Dunia FIFA

AC Milan mempunyai deretan pemain berstatus legenda. Daripada era Giovanni Trapattoni sehinggalah ke era Franco Baresi, Maldini, dan Ruud Gullit serta Kaka; George Weah tetap mempunyai catatan istimewa bersama kelab Rossoneri ini.

Weah menyertai AC Milan pada musim panas 1995 selepas 3 musim yang hebat bersama PSG. Di Milan, George Weah digandingkan oleh Fabio Capello bersama dengan Roberto Baggio- satu lagi nama ikonik dalam bola sepak Itali.

Mandatory Credit: Claudio Villa/Allsport

Perubahan yang dilakukan untuk nominasi percalonan Ballon d’Or pada tahun itu, menyaksikan George Weah dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut pada musim itu, menewaskan nama yang lebih gah di eropah seperti Jurgen Klinsmann dan Alessandro del Piero.

Sebagai individu yang mempunyai peranan besar dalam karier bola sepaknya, anugerah berkenaan turut didedikasikan oleh Weah kepada Arsene Wenger.

Mandatory Credit: Claudio Villa/Allsport

Weah turut dinobatkan sebagai penerima FIFA World Player of the Year pada tahun yang sama, untuk melengkapkan pengiktirafan ke atas bakatnya sejak berkecimpung di dalam bola sepak.

Di AC Milan, Weah muncul sebagai penjaring terbanyak kelab Serie A berkenaan pada musim pertamanya dengan 15 gol melalui 36 penampilan dalam semua pertandingan untuk membantu AC Milan memenangi kejuaraan Serie A yang ke-15 dalam sejarah kelab berkenaan.

Claudio Villa /Allsport

Weah dan AC Milan bergelar juara Serie A sekali lagi pada 1999.

Namun Weah hanya memiliki 2 kejuaraan Serie A tersebut ketika bersama Milan walaupun berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Coppa Italia pada 1998 sebelum tewas dua kali dalam perlawanan Supercoppa Italiana pada 1996 dan 1999.

Karier peringkat antarabangsa

Liberia adalah sebuah negara kecil berkeluasan 111,369 km persegi dengan kepadatan penduduk seramai 4,503,000. Namun demikian Weah tidak pernah membelakangkan pasukan negaranya.

Weah melakukan segala yang beliau mampu untuk negaranya. Daripada pemain sehinggalah tampil sebagai jurulatih skuad kebangsaan, Weah turut membelanjakan wang dari poket sendiri untuk pasukan kebangsaan negaranya.

Sepanjang bergelar pemain, Weah dan Liberia tidak pernah tampil di dalam Piala Dunia walaupun pernah bergelar pemain terbaik dunia. Percubaan yang paling hampir ialah pada 2002, namun Liberia hanya kurang 1 mata dari merealisasikan impian Piala Dunia Weah menjadi satu kenyataan.

Bagaimanapun Weah pernah membantu Liberia untuk melayakkan diri ke dua kejohanan Piala Afrika pada edisi 1996 dan 2002, namun gagal melepasi pusingan peringkat kumpulan dalam kedua-dua kejohanan.

Magis dan kontroversi

Sepanjang bergelar pemain, Weah pernah menampilkan magis yang pernah memukau bola sepak dunia. Antara jaringan yang sentiasa dikenang sehingga ke hari ini ialah jaringan penyamaan ketika membantu AC Milan mengikat Hellas Verona 2-2 dalam saingan Serie A, Itali.

Setelah sepakan penjuru tidak menjadi oleh Hellas Verona, Weah melarikan bola dari kotak penalti kawasan sendiri, menggelecek dan melepasi hampir keseluruhan pemain Verona pada masa itu sebelum menewaskan penjaga gol lawan di arah gawang bertentangan.

Pada November 1996, karier Weah turut terpalit dengan kontroversi kerana bertindak ganas sehingga mematahkan hidung pemain pertahanan Porto, Jorge Costa dalam satu perlawanan Champions League.

Tindakan Weah itu dipercayai kerana provokasi berunsur perkauman oleh Costa. Pertahanan Portugal itu menafikan dakwaan Weah sebelum Costa turut mengambil tindakan undang-undang terhadap pemain Liberia tersebut.

(Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)

Oleh kerana tidak ada individu yang tampil sebagai saksi untuk dakwaan Weah (termasuk rakan sepasukan AC Milan), Weah telah digantung sebanyak 6 perlawanan kerana tindakannya terhadap Costa.

Di sebalik insiden itu, Weah masih menjadi penerima FIFA Fair Play Award pada 1996.

Aktivis kemanusiaan dan politik

Hasil kerja dan perjuangan Weah dalam kerja kemanusiaan mendapat perhatian ramai. Bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah menggelarkan Weah sebagai ‘Ikon Kebanggaan Benua Afrika’.

Antara kerja kemanusiaan yang pernah dan sedang dilakukan oleh Weah ialah kempen imunisasi, dan juga pendidikan mengenai HIV/AIDS di Ghana dan Liberia.

(Photo credit should read DOMINIQUE FAGET/AFP/Getty Images)

Weah juga merupakan individu yang memperkenalkan pendidikan vokasional dan lantang dalam memperjuangkan kaedah dalam membasmi kemiskinan di Liberia.

Usaha murni Weah turut mendapat pengiktirafan Unicef yang melantik beliau sebagai duta badan dunia tersebut atas usaha dan isu yang diperjuangkannya di Liberia dan Afrika.

Namun begitu, Weah berpendapat beliau boleh melakukan lebih lagi untuk membantu Afrika khususnya di Liberia melalui platform politik.

Pada 2005 beliau pernah bertanding untuk jawatan Presiden negara berkenaan, namun tewas kepada Johnson-Sirleaf. Pada masa itu, penduduk Liberia berpendapat Weah tidak mempunyai pengalaman untuk mentadbir negaranya.

(Photo credit should read -/AFP/Getty Images)

Sepertimana ketika begelar seorang pemain, Weah bukanlah individu yang mengenal erti putus asa. Tahun ini George Weah tampil sebagai salah seorang daripada 20 calon yang bertanding untuk pilihanraya presiden Liberia.

Semalam Mahkamah Tinggi Liberia memutuskan supaya undian peringkat kedua pilihanraya presiden Liberia diteruskan selepas ianya ditangguhkan lebih sebulan kerana dakwaan penipuan undian di peringkat pertama.

Undian peringkat kedua untuk Pilihanraya Presiden Liberia dijadualkan pada 26 Disember akan datang.

Undian peringkat kedua harus diadakan selepas tiada calon yang memenangi lebih daripada 50% undi untuk dibenarkan perlantikan sebagai Presiden Liberia, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan dan perundangan negara berkenaan.

(Photo credit should read ISSOUF SANOGO/AFP/Getty Images)

Kali ini situasinya adalah undian satu lawan satu bagi Weah, berhadapan dengan Joseph Boakai yang merupakan Timbalan Presiden Liberia sebelum ini.

Dalam proses undian peringkat pertama pada Oktober lalu, Weah memperolehi 38.4% undi, berbanding Boakai dengan jumlah 28.8% undian. Mampukah Weah mengatasi lawannya nanti? 26 Disember adalah penentu.

Rumusan

Daripada seorang bintang dan legenda bola sepak kepada seorang aktivis kemanusiaan, kini George Weah bercita-cita meneruskan perjuangan sebagai Presiden Republik Liberia.

Apa pun keputusan undian selepas 26 Disember hadapan, ia adalah satu lagi pencapaian luar biasa buat bekas pemenang Ballon d’Or pertama dari Afrika ini.

Daripada Raja Bola Sepak Afrika, kini calon utama Presiden Republik Liberia.

Selamat maju jaya George Weah!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN