Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui barisan anak buahnya sudah bersedia dan cergas 100 peratus untuk membuat perhitungan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 bertemu Leicester City, Ahad nanti.
Perlawanan di King Power Stadium itu turut memberikan makna yang cukup besar buat kedua-dua pasukan kerana pemenang aksi tersebut sudah pasti akan mendapat tiket ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Namun, terdapat juga keadaan di mana kedua-dua pasukan masih boleh layak bersama-sama ke persaingan paling berprestij di Eropah itu walau apa sahaja keputusan yang dicatatkan.
Tetapi mereka perlu mengharapkan bantuan pasukan di tangga keenam, Wolverhampton Wanderers untuk menewaskan Chelsea di Stamford Bridge. Jika perkara tersebut berlaku, Chelsea bakal berputih mata dan hanya akan beraksi dalam saingan Liga Europa 2020/21.
Sebaliknya jika Chelsea berjaya mencatatkan kemenangan atau mengutip satu mata di laman sendiri, keputusan seri [jika terjadi] di King Power Stadium akan membawa Manchester United ke saingan tersebut.
Tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara pelbagai kebarangkalian tersebut, Solskjaer nyata optimis anak buahnya mampu untuk mencatatkan kemenangan ke atas The Foxes nanti.
”Kami tidak pernah mendapat yang terbaik dengan masa pemulihan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini tetapi ia kerana kami berada dalam saingan Piala FA.”
”Begitulah tetapi ketika ini kami mendapat rehat selama tiga hari, tambahan sehari sebelum hari Ahad membuatkan kami kini 100 peratus segar,” ujar Solskjaer menurut laporan Sky Sports.
”Kami telah memberikan diri kami satu peluang yang hebat. Kami mahu untuk memberikan peluang kepada diri sendiri menuju ke sana dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah dengan menewaskan mereka [Leicester City].”
”Sekarang, kami tiada masalah dengan keputusan seri, tetapi kami akan ke sana untuk kemenangan. Anda akan membuat persiapan seperti biasa untuk memenangi perlawanan.”
Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Ole Gunnar Solskjaer: