Nostalgia Pemain KL Halang Presiden Sendiri Ke Stadium Di Final Piala Malaysia 1987

Di dalam mana-mana perlawanan akhir Piala Malaysia, kehadiran VIP, khususnya Presiden Persatuan Bola Sepak masing-masing adalah perkara biasa.

Malah kehadiran mereka, terutama yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak negeri dianggap sebagai penyeri majlis.

Pada malam tadi Kuala Lumpur City menamatkan penantian selama 32 tahun untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sejarah Kuala Lumpur di pertandingan Piala Malaysia

Sepertimana pasukan-pasukan lain, Kuala Lumpur juga mempunyai sejarah tersendiri di dalam pertandingan bola sepak yang sudah berusia 100 tahun ini.

Kali pertama Kuala Lumpur mara ke perlawanan akhir ialah pada 1985. Namun dalam final pertama mereka itu, skuad warga kota dikecewakan 2-0 oleh pasukan Johor.

Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia pertama mereka pada 1987, menewaskan 1-0 di Stadium Merdeka pada ketika itu.

Skuad warga kota mengulangi kejayaan yang sama pada musim 1988 dan1999 – juga menentang lawan yang sama – menewaskan Kedah dengan jaringan 3-0 pada 1988, dan 2-1 pada musim berikutnya.

Kuala Lumpur pada era itu dianggap sebagai antara pasukan terkuat di dalam negara, dengan deretan bintang tempatan dan import. Era tersebut juga dianggap sebagai era emas bola sepak skuad warga kota.

Antara pemain-pemain yang membarisi skuad warga kota pada ketika itu ialah Serbegeth Singh, Razif Ismail, Mat Zan Mat Aris, Lim Teong Kim, Subadron Aziz, Yap Wai Loon, Hashim Marman dan penjaga gol skuad kebangsaan, Abdul Rasyid Hassan.

Manakala pemain import yang masih dikenang sehingga ke hari ini ialah seperti Fandi Ahmad, Malek Awab dan K.Kannan daripada Singapura.

Jika 1987 adalah kali pertama Kuala Lumpur melakar sejarah menjuarai Piala Malaysia, 1989 pula adalah kali terakhir mereka melakukannya, sehinggalah 32 tahun kemudian apabila skuad kendalian Bojan Hodak menyingkirkan Melaka United melalui penentuan sepakan penalti pada malam tadi.

Individu yang bertanggungjawab membangunkan pasukan Kuala Lumpur pada ketika itu tidak lain dan tidak bukan adalah Tan Sri Elyas Omar.

Pernah dianggap pembawa nasib malang

Selain daripada kejuaraan Piala Malaysia, Kuala Lumpur turut pernah menjuarai Divisyen 1 pertandingan bola sepak negara pada 1986 dan 1988.

Skuad warga kota turut pernah bergelar juara Piala FA pada 1993, kejuaraan terakhir Kuala Lumpur ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Elyas Omar.

Seperti yang dikatakan tadi pertandingan akhir Piala Malaysia buat pertama kali pada 1985 ketika Tan Sri Elyas Omar mengambil alih. Situasinya hampir sama dengan musim ini apabila Kuala Lumpur City FC diambil alih oleh kumpulan pengurusan baharu, membenarkan semua urusan dalaman pasukan itu diperkemaskan.

Selepas tewas kepada Johor di pertandingan akhir 1985, seperti yang kita semua tahu Kuala Lumpur sekali lagi tampil dalam perlawanan akhir pertandingan bola sepak paling berprestij di dalam negara dua tahun kemudian.

Anehnya, majoriti pemain Kuala Lumpur tidak mahu Presiden mereka itu hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Mereka bersunguh-sungguh enggan presiden mereka yang banyak berjasa itu menyaksikan perlawanan di stadium sehingga dua pemain Kuala Lumpur, Fandi Ahmad dan Saidin Osman menemui Tan Sri Elyas Omar secara bersemuka untuk menyampaikan hajat tersebut.

“Saidin memberitahu saya di dalam longhat utara bahawa saya sepatutnya menonton perlawanan tersebut melalui siaran secara langsung di hadapan kaca televisyen. Dan jika kemenangan tampak seperti berpihak kepada KL, saya harus bergegas ke stadium.”

Sumber: KL Hawk

“Fandi juga berkata saya harus menonton perlawanan daripada kaca televisyen, dan hanya ke stadium pada 15 minit terakhir perlawanan untuk sempat melihat pemain menerima piala daripada DYAM Agong.

“Saya berpendapat pemain-pemain cuba memberitahu saya dengan kaedah yang sopan bahawa saya adalah pembawa nasib malang. Saya berharap saya tidak sedemikian. Tetapi tanggapan sedemikan agak melucukan pada pandangan saya,” ujar Tan Sri Elyas Omar kepada akhbar New Strait Times satu ketika dahulu ketika mengenang pengalaman tersebut.

Kisah sebenarnya yang berlaku

Kisah sebenarnya kejadian tersebut adalah kerana pemain Kuala Lumpur rasa tertekan dengan kehadiran presiden mereka di dalam stadium.

“Kami mahu memenangi kejuaraan Piala Malaysia untuk Datuk. Jika beliau berada di stadium, ia akan membuatkan kami kaku dan tertekan ketika perlawanan,” ujar Fandi lagi.

Kredit: Chedinsphere.blogspot

Kuala Lumpur tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia 1985 kepada Johor dan Tan Sri Elyas Omar adalah antara hadirin yang hadir pada malam tersebut di Stadium Merdeka.

“Saya mungkin akan membuat penampilan di stadium sebelum sepak mula, meninggalkan perlawanan selepas perlawanan bermula dan kembali ke stadium selepas perlawanan tamat,” ujar Tan Sri Elyas Omar sambil berseloroh mengenai perkara itu.

Jasa dikenang zaman berzaman

Tan Sri Elyas Omar meninggal dunia pada usia 82 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira dua tahun lalu akibat pelbagai kompilasi kesihatan.

Sumbangan beliau kepada negara ketika menjawat jawatan di dalam kerajaan sememangnya tidak dinafikan. Allahyarham juga mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang sukan.

Sumber: Bernama

Antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah ketika sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Di bawah pimpinan Allahyarham, skuad badminton negara menjadi juara Piala Thomas 1992.

Ia adalah pencapaian yang gagal diulangi oleh sukan badminton negara sehingga hari ini.

Bagi penyokong bola sepak skuad warga kota, Tan Sri Elyas Omar adalah seorang legenda.

Perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT pada musim ini sedikit sebanyak pasti telah menggamit nostalgia lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN