“Kami Memang Tiada Nasib” – Meskipun Tersingkir, Aksi Bertenaga Melaka United Raih Pujian

Zainal Abidin Melaka United Piala Malaysia

Bola sepak sememangnya sukan yang ‘kejam’. Itulah hakikat yang perlu ditelan oleh pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan selepas melihat pasukannya tersingkir di separuh akhir Piala Malaysia setelah tewas kepada Kuala Lumpur City menerusi penentuan penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan termasuk masa tambahan yang menyaksikan KL City terlebih dahulu di depan pada awal permainan menerusi J. Parthiban sebelum Syamim Yahya menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Namun dalam perlawanan ini jelas skuad Sang Kancail lebih banyak mendominasi perlawanan dan memperoleh deretan peluang terutamanya yang digerakkan oleh penyerang import sensasi mereka, Sony Norde, namun terpaksa akur apabila nasib tidak menyebelahi mereka.

Zainal yang ditemubual selepas perlawanan dari raut wajahnya jelas terpancar kekecewaan dan dilihat agak sebak, namun beliau berharap pencapaian mara sehingga ke separuh akhir ini akan menjadi permulaan kepada kegemilangan pasukan ‘kerdil’ ini pada masa hadapan.

“Bagi saya memang kami tiada nasib. Mereka bermain dengan baik apabila tambahan masa, mencipta peluang-peluang, tetapi masih lagi tidak dapat menjaringkan gol,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.

“Sudah menjadi nasib kami tidak dapat mencipta sejarah melangkah ke perlawanan akhir, tetapi saya harap pasukan ini akan berterusan melakukan yang terbaik untuk Liga Super 2022, insyaAllah.”

Di awal pertandingan, tiada siapa yang meramal pasukan ini mampu mara sejauh ini. Namun pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, pemain Melaka United telah menunjukkan karakter yang cukup luar biasa.

Zainal ternyat berjaya membentuk persefahaman dan keserasian pemainnya dan ia berjaya ditonjolkan di atas dengan aksi yang memerangkap pemain-pemain KL City yang dilihat lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan.

Melaka United walaupun di antara pasukan terawal yang ditubuhkan dalam sejarah bola sepak negara belum pernah mara ke perlawanan akhir piala berprestij ini sejak diperkenalkan pada 1921.

‘Dulu Ditendang Sekarang Disayang’ – Penyokong Melaka United Usah Ragu Dengan Magis Zainal

Zainal sebagai salah seorang legenda bola sepak negara ini sudah pun merasai nikmat mendakap Piala Malaysia sebagai pemain sebanyak empat kali iaitu pada 1981 dan 1982 bersama Selangor, kemudian 1986 bersama Pahang dan kembali memenanginya bersama Selangor pada 1997 di penghujung kariernya.

Namun harapan beliau untuk melihat pasukannya melakar sejarah pada penganjuran ke-100 antara kejohanan tertua di rantau Asia ini nampaknya masih belum tercapai,

Bagaimanapun rata-rata pemerhati berpendapat Melaka United seharusnya mengekalkan jurulatih berusia 59 tahun ini untuk jangka masa panjang.

Leave a Reply