Pemain sayap Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya akhirnya menerima pengiktirafan paling bermakna dalam kariernya setelah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan sebaik sahaja pasukannya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.
Anugerah tersebut ternyata layak buat pemain berusia 27 tahun itu yang menyumbang gol pertama dan membantu pasukannya menang 2-0 bagi menamatkan penantian 32 tahun warga Kuala Lumpur untuk melihat pasukan mereka kembali memenangi kejohanan berprestij berkenaan.
Bagaimanapun timbul sedikit perdebatan kerana ada juga pihak yang berpandangan bahawa pemain yang selayaknya menerima anugerah pada malam bersejarah itu adalah Kevin Mendoza.
Penjaga gol import Filipina itu ternyata begitu kebal dan cukup ampuh untuk menafikan sembilan percubaan tepat JDT bagi memastikan gawang KL City tidak dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan.
Berikut adalah tiga sebab mengapa Zhafri Yahya yang dipilih untuk menerima anugerah ini.
Penjaring gol
Dalam perlawanan bola sepak, mendapatkan gol adalah perkara paling penting untuk dilakukan bagi mendapatkan kemenangan.
Walaupun pada separuh masa pertama JDT jelas mendominasi permainan dengan 60 peratus penguasaan bola, Bojan Hodak sedar bahawa peluang pasukannya untuk mendapatkan gol adalah tipis.
Maka pilihan yang ada adalah memanfaatkan peluang yang dimiliki setiap kali mereka melancarkan serangan ke arah kubu lawan yang dikawal ketat oleh dua pemain pertahanan import kental dan berprofil tinggi iaitu Mauricio dos Santos serta Shane Lowrey.
Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba pada minit ke-66 selepas Zhafri Yahya bijak membuat larian dan mencuri ruang untuk menyudahkan hantaran lintang J. Parthiban dari sebelah kiri.
66' GOL | Zhafri Yahya menyudahkan hantaran J. Partiban untuk gol pembukaan malam ini!@KLCityFootball 1-0 @OfficialJohor #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/SxxJiTdroj
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 30, 2021
Ia adalah jaringan yang membangkitkan semangat pemain-pemain KL City, ia merupakan gol yang membuatkan seluruh pasukan percaya mereka mampu mengejutkan gergasi bola sepak tanah air seperti JDT dan mencipta sejarah gemilang.
Beliau juga merupakan penjaring gol ketika aksi separuh akhir menentang Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tempoh hari selain turut menyumbang satu lagi gol ketika perlawanan menentang Pahang di peringkat kumpulan.
Beliau telah beraksi dalam semua 11 perlawanan untuk KL City dalam kempen Piala Malaysia musim ini dan turut bermain dalam 21 dari 22 perlawanan Liga Super menjadikannya antara pemain dengan minit tertinggi dalam kalangan rakan sepasukannya yang lain di belakang Kevin Mendoza, Romel Morales dan Daniel Ting.
Zhafri di mana-mana
Zhafri kekal di atas padang selama 83 minit sebelum keluar digantikan oleh Arif Shaqirin. Tetapi kita boleh lihat sepanjang keberadaannya di atas padang, beliau begitu gigih membantu pasukan sama ada ketika menyerang mahu pun bertahan.
Sewaktu KL City merencanakan serangan menerusi permainan terbuka atau mendapat sepakan percuma, Zhafri kerap kali menjadi sasaran untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol.
Pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya menjadi duri dalam daging Melaka United FC dengan menyumbang 2️⃣ gol dalam 2️⃣ pertemuan musim ini, termasuklah gol penyamaan pada aksi SF1!
📺 Siaran langsung perlawanan malam ini di unifiTV 703, unifi playTV & YouTube.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/bLQBlofoza
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 26, 2021
Ketika bertahan pula, beliau akan turun ke bawah bagi membantu rakan sepasukannya terutamanya Kamal Azizi dan Akram Mahinan bagi menyekat pergerakan pemain lincah JDT seperti Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi.
Walaupun Benjamin Mora mula mengubah taktikalnya pada babak kedua dengan memasukkan La’Vere Corbin Ong bagi merancakkan serangan, namun Zhafri sentiasa berdisiplin mengawal pergerakan pemain tinggi lampai itu dalam memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi.
Pengiktirafan kepada kesetiaan
Pada usia 27 tahun, Zhafri Yahya merupakan pemain paling lama berkhidmat untuk pasukan Kuala Lumpur dalam skuad yang ada pada ketika ini.
“Ini adalah percapaian tertinggi yang saya miliki, terima kasih kepada jurulatih dan juga media, peluang dimiliki malam ini tidak akan dilepaskan dengan jaringan gol,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
“Kami bukan pasukan pilihan terapi fokus selama 90 minit adalah tunjang utama kemenangan malam ini, saya betul-betul terkejut dengan keputusan malam ini, tidak pernah kalah selepas 21 perlawanan dan pentas akhir pula menewaskan JDT.”
Pemain yang dilahirkan pada 25 September 1994 ini merupakan produk Piala Presiden Selangor sebelum dibawa oleh jurulatih berpengelaman Ismail Zakaria ke Kuala Lumpur pada 2016 untuk beraksi di Liga Premier.
Pada musim kedua beliau membantu pasukannya menjuarai liga divisyen kedua itu untuk layak secara automatik ke Liga Super.
Walaupun skuad The City Boys berdepan prestasi turun naik dan turun naik liga, Zhafri terus menumpahkan taat setianya kepada pasukan yang menaikkan kariernya di pentas Liga Malaysia sehingga hari ini.
Penutup
Artikel ini bukanlah mahu menidakkan kehebatan dan sumbangan Kevin Mendoza dalam perlawanan akhir ini. Penjaga gol kelahiran Denmark itu telah melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.
Tetapi kecemerlangan dan komitmen Zhafri Yahya juga harus kita hargai berdasarkan persembahannya sepanjang musim ini.
Ketika KL City dilanda masalah kecederaan, beliaulah pemain yang menjadi harapan Bojan Hodak untuk diubah posisinya daripada pemain tengah kepada bahagian sayap dan kepatuhannya untu mengikut segala arahan dan taktikal jurulatihnya itu ternyata berbaloi dan membuahkan hasil.
Biarpun nama pemain kelahiran Meru, Selangor ini tidaklah segah pemain-pemain bintang lain di negara ini, tetapi pada pada hari ini beliau telah membuktikan bahawa setiap impian dan cita-cita boleh dicapai degan usaha keras yang berterusan.
Tahniah Zhafri Yahya!