Lebih 2.6 Juta Penonton Saksikan KL City FC Tewaskan JDT, Rangkul Piala Malaysia Selepas 32 Tahun

Lebih 2.6 juta penonton telah menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menentang JDT di ssecara penstriman pada malam tadi.

Ini berdasarkan jumlah tontonan yang direkodkan di laman Youtube unifi pada malam tadi.

Angka sebenar jumlah tontonan dijangka lebih tinggi daripada itu kerana perlawanan turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen seperti Unifi TV, dan beberapa penyiar lain.

Antara rekod tontonan Liga Malaysia sebelum ini dihasilkan pada Mac lalu, juga membabitkan perlawanan JDT, menentang Selangor FC pada Mac lalu. Lebih 1.7 juta direkodkan menyaksikan perlawanan tersebut secara penstriman pada ketika itu.

Perlawanan akhir pada malam tadi sememangnya dijangka akan menarik jumlah tontonan yang tinggi mengambil kira beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Antaranya adalah kerana jumlah penyokong yang dibenarkan masuk ke stadium adalah terhad kerana perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengawal penyakit berjangkit.

Faktor perlawanan diadakan pada hari bekerja juga bermakna rata-rata penyokong bola sepak di seluruh negara lebih selesa menyaksikan perlawanan tersebut melalui peranti atau daripada kaca televisyen.

KL City FC berjaya menewaskan JDT dalam perlawanan akhir pada malam tadi untuk muncul juara buat kali pertama selepas 32 tahun. Kali terakhir skuad warga kota bergelar juara piala berprestij tersebut ialah pada 1989, selepas menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Merdeka.

Kejuaraan pada malam tadi juga merupakan kejuaraan keempat milik KL City FC selepas kali pertama bergelar juara pada 1987.

Tidak kurang 40,000 penyokong daripada kedua-dua pasukan bertanding turut hadir memeriahkan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.

Leave a Reply