Pengendali FELDA United, Nidzam Jamil berkata yang beliau dan para pemainnya sudah awal-awal tahu tentang pengunduran FELDA United, tetapi tetap bertekad untuk memberikan aksi yang terbaik dalam aksi terakhir CIMB Liga Super, minggu ini.
FELDA United akan turun menentang Selangor yang masih segar dengan kemenangan besar minggu lalu di Stadium UiTM, Shah Alam dan Nidzam Jamil mahu anak-anak buahnya mempamerkan aksi dan tentangan yang terbaik berdepan lawan.
Beberapa hari lalu, pihak pengurusan baharu FELDA memaklumkan yang musim ini adalah musim terakhir kelibat The Fighters dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Ini menjadikan aksi minggu ini merupakan aksi terakhir mereka selepas 13 tahun.
Memetik kenyataan Nidzam Jamil, “Mereka sudah memaklumkan perkara ini lebih awal, jadi tiada isu untuk sedih yang melampau-lampau. Seperti saya kata tadi, kami bukan pembuat dasar tetapi kami ditugaskan memberi aksi terbaik.”
“Pihak pengurusan kelab juga telah memberi jaminan akan menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum kontrak kami berakhir, jadi pada saya dan para pemain, its fair enough,” tambah pengurus berusia 40 tahun itu kepada Sinar Harian.
Bercakap mengenai pertembungan dengan Selangor, beliau berkata, “Selangor yang menjadi lawan Felda United dalam aksi terakhir liga musim ini adalah pentas terbaik untuk pemain-pemain bangkit dengan menunjukkan kemampuan mereka.”
Pertembungan antara Nidzam Jamil dan Selangor pada musim lalu menyaksikan Selangor mempunyai kelebihan dengan satu menang dan satu keputusan seri.
Dalam pada itu, bintang sensasi FELDA United, Danial Amier Norhisham mengakui emosinya sedikit terganggu dengan pengunduran pasukan tersebut daripada saingan musim hadapan, namun bertekad mahu menyelamatkan pasukan daripada tersingkir.
Biarpun nasib pasukan tersebut masih samar-samar, namun, maruah pasukan mestilah menjadi keutamaan mereka. Senada dengan jurulatihnya, Danial Amier berkata kepada Berita Harian, “Bagi saya, dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.”
Ujarnya sambil berharap yang The Fighters akan kekal di Liga Super, “Biarpun peluang itu dilihat sukar kerana turut mengharapkan Sabah tewas kepada UiTM FC, kami tetap menjalani latihan seperti biasa dan kekal fokus dengan misi mencatat kemenangan.”
KREDIT FETURED IMAGE: FELDA UNITED FC