Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic melaungkan keyakinan bahawa skuad The Red Devils mampu untuk memberikan tekanan buat dua pasukan utama dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Manchester City.
Liverpool dinobatkan juara EPL buat kali pertama ketika saingan masih berbaki tujuh perlawanan manakala Manchester City pula merupakan juara bagi dua musim terdahulu.
Sehubungan dengan itu, Matic melihat United yang menamatkan kempen musim ini di tangga ketiga mampu untuk menghalang penguasaan yang dijelmakan dua kelab gergasi tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
”Saya secara peribadinya ingin memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United. Saya merasakan kelab kami sentiasa perlu untuk berjuang bagi merebut kejuaraan.”
”Kami sentiasa perlu untuk mencuba sebaik yang mungkin buat kelab ini, seperti apa yang telah kami lakukan pada ketika ini.”
”Dan saya merasakan kami tidak boleh membenarkan kelab lain memenangi liga ketika aksi masih berbaki tujuh atau 10 perlawanan sebelum musim ditamatkan.”
”Jadi, kami perlu untuk bersaing sehingga ke akhirnya,” ujar Nemanja Matic menurut laporan Goal.
”Sudah tentu, kami mempunyai skuad muda tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan. Saya merasakan pemain muda kami sudah berpengalaman menikmati beberapa musim sebelum ini.”
”Jadi, bermula musim hadapan, kami perlu untuk bersaing bagi merebut kejuaraan. Saya tidak tahu sama ada kita akan memenanginya tetapi saya pasti kami akan bersaing hebat sehingga ke akhirnya.”
Musim 2019/20 menyaksikan Liverpool muncul selaku juara selepas mengumpul 99 mata, berkelebihan 18 mata di hadapan pencabar terdekat Manchester City yang gagal untuk merealisasikan impian menjulang trofi EPL buat kali ketiga berturut-turut.
Kredit featured image: Alex Livesey – Danehouse/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Nemanja Matic: