Nemanja Matic: Man Utd Mampu Tamatkan Saingan EPL Di Tempat Ketiga

Nemanja Matic

Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic melaungkan keyakinan bahawa The Red Devils akan mampu untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di tempat ketiga sekaligus meninggalkan Leicester City dan Chelsea.

Kedua-dua pasukan di tangga ketiga dan keempat itu mengalami kekalahan pada aksi tempoh hari yang menyaksikan Manchester United hanya ketinggalan tiga mata di belakang The Foxes manakala Chelsea dengan dua mata.

Susulan aksi bertenaga yang ditampilkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu pada ketika ini, Matic melihat peluang amat cerah buat pasukannya untuk merealisasikan impian tersebut.

United juga masih segar dengan dua kemenangan 3-0 bertemu Sheffield United dan Brighton yang menyaksikan Anthony Martial meledakkan hatrik ketika aksi di laman sendiri [Sheffield United] manakala Bruno Fernandes cemerlang dengan dua gol sewaktu berkunjung ke Falmer Stadium.

”Kami perlu untuk memenangi perlawanan kami dan mengharapkan pasukan lain keciciran mata dan saya berharap kami mampu untuk menduduki tangga ketiga. jika kami melakukannya, musim ini akan menjadi sesuatu yang hebat buat kami.”

”Saya sangat yakin, begitu yakin dan saya merasakan pasukan ini kelihatan amat baik pada ketika ini,” ujar Matic menurut laporan Goal.

”Bagi kami, semua aksi adalah perlawanan akhir, tidak menjadi masalah jika ianya benar-benar perlawanan akhir di Piala FA atau Liga Europa, bagi kami setiap perlawanan adalah perlawanan akhir, kami perlu untuk memikirkan tentang perkara itu.”

”Kami perlu cuba untuk memenangi setiap perlawanan dan pada akhirnya, kita akan melihatnya,” tambah Matic lagi.

Manchester United berpeluang untuk terus menghambat Leicester City dan Chelsea apabila akan berdepan pasukan di zon penyingkiran, Bournemouth di Old Trafford pada jam 10.00 malam ini.

Kredit featured image: Catherine Ivill/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Nemanja Matic:

Leave a Reply