Pemain tengah berpengalaman Harimau Malaya iaitu Natxo Insa menjadi antara paling kecewa selepas skuad kebangsaan mencatat kekalahan kedua di saingan Piala Asia 2023.
Terdahulu, Harimau Malaya gagal untuk mencipta kemenangan sulung mereka di pentas tersebut bagi peringkat Kumpulan E, selepas mereka merekodkan kekalahan 0-1 di tangan Bahrain.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berada di tempat terakhir kini di carta kumpulan dan hampir pasti tidak akan melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Natxo yang dibawa masuk pada separuh masa kedua untuk memperkukuhkan jentera tengah jelas sangat kecewa apabila Malaysia kini tidak lagi mampu untuk mara ke peringkat seterusnya.
Ujar pemain senior tersebut, kekalahan itu menjadikan impian mereka untuk mara lebih jauh di saingan Piala Asia 2023 tidak lagi kesampaian apabila gagal membawa pulang sebarang mata.
Kekecewaan tersebut semakin bertambah selepas Malaysia yang dijangka membawa pulang satu mata pada aksi tersebut terpaksa menelan keputusan perit hasil jaringan lawan ketika minit akhir permainan.
“Perasaan itu benar-benar teruk dan saya fikir kami telah berjuang sehingga ke minit terakhir dan cuba mengambil kesempatan.
“Kami mungkin mempunyai tiga, empat kali peluang untuk untuk jaringkan gol. Tetapi ini adalah bola sepak, kita bolos pada saat akhir permainan,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Natxo mahu rakan sepasukan lain kembali mencipta kebangkitan untuk aksi seterusnya tanpa memikirkan lagi episod kekalahan lalu.
“Sekarang, inilah masa untuk melakukan pemulihan, menenangkan minda. Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting dan kami mesti menghadapi dengan profesional.
“Kami tahu perkara ini berlaku dalam bola sepak. Ia akan berlaku sekarang, pada masa hadapan, akan berlaku lagi.
“Kami adalah manusia, kami tahu kami mewakili negara dan kami mahu fokus ke hadapan dan bersedia menentang Korea Selatan,” kata pemain tersebut lagi.
Natxo yang dibawa masuk pada separuh masa kedua menjadi antara pemain paling teruk menerima kritikan, selepas impaknya tidak dirasai sepanjang tempoh beliau beraksi di atas padang.