Menurut laporan Stadium Astro, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tampil menyatakan yang beliau menghormati keputusan bekas pemain sayap Perak, Nor Hakim Hassan yang akhirnya memilih untuk menyertai Selangor bagi musim 2020.
Khabar angin awal menyatakan yang Nor Hakim Hassan akan menyertai Terengganu, namun sebaliknya berlaku apabila Selangor mengumumkan penyertaan pemain tersebut dan Sang Penyu tewas dalam perebutan untuk mendapatkan tandatangannya.
Pemain yang beraksi di posisi sayap menyerang kiri Perak pada musim 2018 dan 2019 itu adalah pemain kelahiran Terengganu dan akan bersaing bersama pemain skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli, jika kembali ke bumi Terengganu musim 2020.
Mengakui pernah mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut, Nafuzi Zain jelas tidak kecewa, namun akan meneruskan dengan pemain-pemain sedia ada disamping hanya menanti seorang lagi bek import untuk melengkapkan senarai pemain.
Pemain pertahanan tengah itu dijangkakan akan tiba pada Isnin depan untuk melengkapkan senarai lima pemain import selepas kapten, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov, Faris Ramli dan terbaru, Dominique da Sylva yang menggantikan Kipre Tchetche.
“Memang dia [Nor Hakim Hassan] berada dalam perancangan TFC dan saya juga mahukannya dalam pasukan ini,” ujarnya yang ditemui sejurus sesi latihan pasukan petang kelmarin.
“Tetapi, kami hormati keputusan dia dan saya akan teruskan dengan pemain sedia ada,” tambahnya lagi kepada Stadium Astro.
Sementara itu, menurut laporan itu lagi, pemain berpengalaman, Ashari Samsudin masih dalam proses rundingan untuk kekal bersama Sang Penyu dan Nafuzi Zain menafikan istilah ‘buang’ kepada pemain yang hampir keseluruhan kariernya di sana.
Hanya pada musim 2017, Ashari Samsudin meninggalkan pasukan untuk menyertai Pahang namun kembali semula pada musim 2018. Terengganu dikatakan ada menawarkan kontrak kepadanya tetapi masih belum mendapat respon positif daripada pemain tersebut.
“Tidak timbul isu TFC ‘buang’ Ashari kerana sentuhannya masih diperlukan dan segala keputusan terletak di tangan dia.
“Mungkin juga persaraan menjadi pilihan tetapi hanya dia yang boleh menjawab persoalan itu,” jelas pengendali muda itu lagi.
Dan dengan hanya menanti seorang lagi pemain iaitu bek import, Terengganu sudah menjalani latihan sejak beberapa hari lalu.
Kredit Featured Image: TFC