15 Pemain B-21 Selangor Champions League Tarik Minat Selangor FA

Selangor FA dilaporkan telah memanggil 15 pemain bawah 21 tahun (B-21) yang beraksi untuk pelbagai pasukan di Selangor Champions League 2019 ke kem pemilihan tertutup menjelang musim 2020. Perkara ini disahkan oleh Football Selangor, sebuah organisasi bawah badan bukan kerajaan (NGO) Selangor Youth Community yang juga merupakan penganjur kejohanan tahunan tersebut.

Menurut Football Selangor, lapan daripadanya telah pun diuji oleh skuad Belia Selangor semasa saingan peringkat kumpulan Selangor Champions League 2019 baru-baru ini. Tujuh daripadanya sebelum ini bermain untuk Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seksyen 11 dan seorang lagi dari Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor.

Mengulas mengenai perkara ini, ketua jurulatih skuad Piala Belia Selangor, Noor Zaidi Rohmat berkata: “Kita jadikan Selangor Champions League sebagai medan terbaik untuk kita uji pemain-pemain baru dari SSN dan PLD sebelum kita adunkan mereka dengan pemain Piala Belia kita sedia ada.”

“Bagi saya, kematangan yang kita tunjukkan dalam saingan kejohanan ini sangat menggalakkan. Walaupun lawan kami rata-ratanya pemain amatur, tetapi ramai di antara mereka merupakan bekas pemain profesional dan masih kompetitif. Kita berjaya tunjuk yang kita mampu beri saingan,” ulasnya lagi.

Sebagai rekod, pasukan Belia Selangor menamatkan saingan kumpulan B Selangor Champions League 2019 di kedudukan kelima. Ini membuatkan Belia Selangor gagal layak ke pusingan suku akhir yang berlangsung minggu lepas.

Antara persembahan cemerlang mereka adalah ketika menewaskan Shah Alam Klasiko 3-0, pasukan yang akan turun beraksi dalam perlawanan separuh akhir Selangor Champions League 2019 pada malam ini.

Empat lagi pemain dibekalkan oleh pasukan yang terkandas dalam aksi suku akhir minggu lepas iaitu NPNG Damansara Damai (3 pemain) dan Puchong Fuerza Gamestop (1 pemain). Kuala Selangor Batu Dua yang bakal turun beraksi dalam perlawanan separuh akhir malam ini pula membekalkan dua pemain.

Baki seorang pemain lagi adalah penyerang muda Subang Protap II, Lokman Hakim. Lokman yang turut bermain untuk skuad Liga M3, Protap, dikesan bakatnya oleh pengurusan pasukan tersebut ketika beraksi untuk Jerantut FA dalam saingan Shopee Piala FA 2019.

Semuanya BOLA difahamkan kesemua 15 pemain ini akan menyertai kem pemilihan Selangor FA ini untuk melengkapkan skuad Piala Belia, Piala Presiden atau Selangor II mereka bagi musim 2020.

Senarai pemain B-21 Selangor Champions League 2019 yang terpilih:

1. Adam Afiz (SSN Seksyen 11)
2. Danial Akmal (SSN Seksyen 11)
3. Dassky Danial Adam (SSN Seksyen 11)
4. Faish Zulkiawal (SSN Seksyen 11)
5. Ahmad Haikal Haziq (SSN Seksyen 11)
6. Zikry Hafiz (SSN Seksyen 11)
7. Razi Raim (SSN Seksyen 11)
8. Izzulfahmi Sanusi (PLD Kuala Selangor)
9. Anas Aqasya (NPNG Damansara Damai)
10. Asyraaf Akmar (NPNG Damansara Damai)
11. Hanif Faizal (NPNG Damansara Damai)
12. Reegan Abraham (Kuala Selangor Batu Dua)
13. B. Sharveswaran (Kuala Selangor Batu Dua)
14. Dirga Surdi (Puchong Fuerza Gamestop)
15. Lokman Hakim (Subang Protap II)

Saksikan aksi separuh akhir Selangor Champions League 2019 di Arena MPSJ hari ini atau secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Football Selangor bermula jam 8.00 malam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN