Mukhriz Mahathir: Mana Geran Penyiaran 2019 Dan Jadual Liga Malaysia 2020?

Mukhriz Mahathir Kedah FA 2020

Dalam sidang media sempena Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada 5 Disember lalu, Presiden KFA, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir telah membangkitkan beberapa isu dan paling mencuri tumpuan adalah tunggakkan geran penyiaran dan jadual Liga Malaysia musim 2020 yang masih belum diumumkan.

Mukhriz Mahathir meluahkan rasa kecewanya kerana sehingga kini pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum menjelaskan bayaran tambahan berjumlah RM1.5 juta seperti yang telah dijanjikan sebagai geran broadcasting fees kepada pihak KFA.

Ianya sedikit sebanyak telah mengganggu pengurusan berkaitan urusan bajet pasukan kerana menurutnya, sebahagian daripada geran tersebut telah dirancangkan untuk pembayaran gaji.

“Disamping itu, kita juga rasa kecewa kerana sampai ke hari ini, walaupun sudah dijanjikan oleh MFL bahawa kita akan mendapat tambahan RM1.5 juta yang dikatakan sebagai geran yang datang daripada broadcasting fees, tetapi ia masih belum diterima.

“Sepatutnya [diterima] pada bulan Ogos yang lepas, tangguh bulan November dan sekarang sudah masuk Disember pun masih belum dapat lagi. Ini tidak sepatutnya berlaku,” ujar Mukhriz Mahathir.

“Berkait dengan broadcast fees ini, setiap kali ada siaran langsung permainan khususnya di Stadium Darul Aman, jumlah penonton yang membeli tiket dan datang ke stadium berkurangan.

“Kutipan hasil jualan tiket setiap kali ada siaran langsung, menurun. Ia perkara yang kita boleh terima sekiranya geran penyiaran ini kita dapat. Tetapi setakat ini, tidak dapat,” tambahnya sambil berharap MFL memandang serius supaya ia tidak berulang di musim 2020.

“Ia membebankan dari segi cash flow. Pasukan akan menghadapi tekanan dalam menguruskan kewangan pasukan. Bagi pasukan yang kaya raya, mungkin tiada masalah,” tegas Mukhriz Mahathir.

Disamping itu, KFA turut mempersoalkan mengenai jadual Liga Malaysia untuk musim 2020 masih belum diumumkan oleh pihak MFL. Kedah yang akan menghadapi saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan pastinya ini sedikit sebanyak menimbulkan kesukaran buat mereka untuk mengatur persediaan pasukan.

“Sampai hari ini, jadual 2020 kita tidak dapat lagi, kita tidak tahu bila kita akan main. Kalau ada awal, kita boleh merancang.

“Ya, kita tahu CEO MFL sudah letak jawatan, mungkin sebab itu ada kelewatan, tetapi tidak sepatutnya berlaku. Kalau berlaku perkara sebegini di peringkat negeri, pelbagai teguran yang kami terima,” sindir Presiden KFA itu lagi mengenai penjadualan musim 2020.

Mengenai bajet pasukan untuk musim hadapan dan dengan penglibatan Helang Merah dalam saingan ACL, Mukhriz Mahathir menganggarkan sekitar RM32 juta akan diperlukan oleh pasukan.

Kredit Featured Image: KFA

Leave a Reply