Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain-pemain baharunya.
Antara pemain yang mencuri tumpuan jurulatih berusia 41 tahun itu adalah Faris Ramli, D. Saarvindran dan Nasir Basharudin.
“Setakat ini, saya amat berpuas hati. Faris [Ramli] baru tiga, empat hari menyertai kami. Kami menyedari keadaan Saarvindran daripada segi tahap kecergasannya.”
“Saya juga berpuas hati dengan Nasir [Basharudin] kerana dia seorang yang bekerja keras,” ujar Nafuzi kepada Stadium Astro.
Dalam pada itu, Nafuzi turut mengharapkan barisan pemainnya dapat memberikan yang terbaik sekaligus dapat menjelmakan saingan sengit buat pasukan lain dalam Liga Super 2020.
“Saya mahu melihat pasukan saya sebagai pasukan yang berjaya bermain dengan cara kami sendiri. Apabila kami cemerlang, piala itu akan datang dengan sendiri.”
“Saya harap kami dapat membuat yang terbaik musim ini, Insya-Allah,” katanya.
2020 menjadi musim pertama buat Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih Terengganu FC selepas beliau memangku tugasan tersebut berikutan peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim pada Mei tahun lalu.
Kredit Foto: Terengganu Football Club