Pemain sayap lincah PDRM, Muhammad Nabil Bin Ahmad Latpi boleh dianggap sebagai salah seorang bintang tempatan paling menyerlah musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.
Pada usia 31 tahun, perjalanan Nabil dalam dunia bola sepak profesional ini sebenarnya sudah agak lama, namun impak diberikan beliau terdahulu tidak banyak diperkatakan.
Walaupun begitu, ianya umpama suatu rahmat buat anak jati Kedah ini selepas prestasi beliau bersama PDRM musim ini begitu menyakinkan di atas padang.
Terbaharu, Nabil bersama rakan sepasukan beliau berjaya memastikan kemenangan bergaya dapat dilakar ketika PDRM menewaskan Kuching City bagi aksi final pertama MFL Challenge Cup menerusi keputusan 3-0.
Pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Nabil berjaya mempamerkan aksi cukup menyerlah dengan beberapa kali pertahanan lawan menjadi kucar kacir hasil gerakan lincah beliau.
Malah, Nabil juga berjaya menyumbang gol sulung perlawanan menerusi satu tandukan deras hasil gerakan beliau yang pantas memintas pertahanan Kuching City dalam petak penalti.
Jaringan tersebut menjadikan Nabil kini sudah pun meledak tujuh gol secara keseluruhan buat PDRM untuk musim 2023, dan jumlah tersebut dijangka bertambah kerana beliau memiliki baki tiga lagi perlawanan sebelum segalanya berakhir.
Untuk aksi Liga Super sahaja, Nabil sudah pun meledak empat gol secara keseluruhan ketika PDRM berdepan cabaran Kelantan, Sabah, Perak, serta Kelantan United.
Untuk aksi Piala Malaysia, Nabil turut mencatat nama selaku penjaring gol sewaktu pasukan tersebut berdepan Selangor pada aksi 16 terbaik.
Jika dilihat pada usia, seolah-olah Nabil masih lagi berusia dalam lingkungan 20 tahun ke atas selepas pemain ini masih lincah mengawal bola dan licik untuk mengatasi lawan.
Malah, Nabil juga masih mempunyai kepantasan cukup baik ketika situasi serangan balas pantas dan mampu mencipta kombinasi cukup positif bersama rakan sepasukan lain.
Berbaki tiga lagi perlawanan, pemain sayap ini masih mempunyai peluang cukup cerah untuk menambah koleksi jaringan selain cuba menarik perhatian kejurulatihan skuad kebangsaan.
Nabil juga kini mempunyai peluang semakin cerah untuk mendakap trofi sulung beliau musim ini bersama PDRM untuk saingan Challenge Cup, jika prestasi positif mereka terus dikekalkan.